Sambil berjanji untuk komited dalam menjayakan agenda yang sudah dirancang untuk membangunkan Felda, beliau berkata: "Bila kita dilantik, biasalah ada yang tak suka, orang tak suka saya dari dulu. Apa sahaja jawatan yang saya pegang...ada sahaja yang tidak suka. Biarlah, saya tetap akan terus majukan Felda."
Mohamed Isa berkata demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini sebagai mengulas dakwaan Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof, semalam bahawa pelantikannya menerajui Felda adalah suatu yang sedih dan mengakibatkan kebimbangan pasaran.
Mohamed Isa berkata, latar belakang individu yang membuat kenyataan juga perlu dilihat sama ada mereka hebat di dalam bidang yang mereka ceburi sehingga boleh membuat kenyataan itu.
"Mereka yang cakap begini biasanya mestilah hebat tapi kita kena tengok rekod mereka, hebat sangat ke sehingga boleh sesuka hati mendakwa itu dan ini... apapun biarlah," katanya.
Mengenai pencapaian Felda, beliau berkata tahun lalu mereka mencapai kutipan jualan keseluruhan tertinggi oleh peneroka sejak 2006 iaitu sebanyak RM1.06 bilion berbanding hanya RM911 juta tahun sebelumnya.
"Kita juga bangga, daripada 36,000 usahawan yang menghasilkan produk untuk Felda, 33 orang mencatatkan jualan lebih RM1 juta setahun," katanya.
Terdahulu, Mohamed Isa melancarkan program Promosi Produk Usahawan Satu Wilayah Satu Industri Felda di Aeon Jusco di AU2, Setiawangsa, yang bermula semalam hingga Ahad.
Sebanyak 150 produk makanan dan kraftangan hasil daripada usahawan Felda dipamerkan di ruang legar pusat membeli-belah itu sebagai langkah meletakkan produk Felda dalam pasaran pasaraya besar tempatan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan