Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Sabtu, 25 Februari 2012

Rabiul Awwal Bulan Kelahiran Nabi Muhammad Sudah berlalu

Rabiul Awwal 1433 sudah melabuhkan tirainya, tidak sedar hari ini sudah masuk 2 Rabiul Akhir 1433, bulan mulia kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Ada tak kita rasa sedih, atau biasa jer, atau tak rasa apa-apa macam hari-hari biasa yang lain?

Bagi orang yang menyatakan rasa cinta dan sayang kepada kepada kekasihnya, pasti sentiasa ingat, sebut-sebut dan hafal biodata dan ciri-ciri kekasihnya, begitu jugalah sepatutnya kita sayang dan kasih kepada Rasulullah SAW Nabi akhir zaman yang kelahirannya marahmati sekelian alam...

Ataukah kita pura-pura kata cinta dan kasih pada nabi tetapi dalam masa yang sama menetang ajaran dan sunnah Nabi... Kita sambut Maulid Rasul dengan belanja makan-makan sahaja yang mencecah rubu-ribu ringgit, jemput penceramah popular, pasang kanopi banyak-banyak, adakan pertandingan sepanduk, berarak keliling kampung dan bandar tapi sekadar sambut sahaja tanpa ada rasa sesuatu dalam hati sanubari kita.

Di Johor rata-rata sambutan Maulirurrasul macam dianggap wajib bagi sebahagian masyarakat, macam tak sah kalau tak buat maulud, tak tau dapat fatwa dari mana. Tak salah sambut secara sederhana dan tak membazir...

Kadangkala pelik juga di negeri kelahiran ana ni sebab sambutan maulud diadakan walaupun dah masuk bulan Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadi akhir dan Rejab pun ada masjid, surau dan badan tertentu masih buat maulud...rasanya negari dan negara lain tak buat...

Kita tak kira berapa banyak kita berselawat kepada Nabi SAW, pastinya cuma sedikit itupun sebab ikut pak imam baca semasa marhaban sahaja.

Marilah kita menghayati perjuangan Rasulullah dan benyakkan selawat kepadanya semoga akan mendapat syafaat di akhiran kelak.

Yang tersirat disebalik selawat.


Tanpa dijadualkan, Subuh tadi saya dipelawa mendadak oleh Tuan Imam untuk memberi tazkirah seusai solat. Saya terima sebagai satu amanah daripada orang tua yang sangat saya hormati. Cuma lebih kurang 15 ke 20 minit. Dan ahli jemaah pagi itu lebih kurang 2 saf sahaja.

Berbicara secara santai untuk mengingatkan diri sendiri disamping mengingatkan orang lain dalam majlis yang kurang “glamour” begitu terasa lebih tenang dan harmoni. Saya rindukan suasana yang sebegitu sebenarnya. Tidak ada karenah birokrasi, ganjaran serta protokol itu dan ini, aliran kasih sayang dan ukhwah terasa lebih murni dan sejati.

Namun, setelah tamat, saya rasa masih banyak yang ingin saya kongsikan bersama saudara dan sahabat serta kenalan. Lalu di pagi yang penuh barakah – Hari Jumaat, Maulidur Rasul ini saya ingin kongsikan sebuah tulisan, bersamaan kedatangan Maulidur Rasul ini. Terimalah… YANG TERSIRAT DI SEBALIK SELAWAT.

Bila kita kenal sesuatu yang indah, baik dan benar, kita akan jatuh cinta. Bila sudah cinta, kita banyak mengingat apa yang kita cintai itu. Dan bila kita banyak mengingat, pasti banyak pula kita menyebutnya… Kata orang tua dahulu, bila hati teringat, mulut akan menyebut!

Jadi, tanda cinta kita kepada sesuatu, banyaklah kita menyebut-nyebutnya. Dan begitulah kitaran cinta kepada Rasulullah saw. Tanda kenal, cinta. Tanda cinta, ingat. Dan tanda ingat, banyak menyebut… Semakin banyak ingatan, semakin banyka pula sebutan. Dan di situlah signifikannya selawat!

Ya, semoga Allah berikan hati yang sentiasa ingat kepada Rasulullah saw lalu kita mampu berselawat ke atas baginda – sebagai tanda kasih, tanda cinta kepadanya. Tidak cukup jika berselawat pada Hari Keputeraannya atau membacanya hanya ketika dalam tahiyyat awal atau akhir, sebaliknya jadikan ia basahan lidah setiap masa – gembira atau berduka, ketika ramai atau bersendirian, siang mahupun malam.

Sebenarnya, bukan sahaja manusia dituntut berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, malah Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke atas baginda. Pujian daripada Allah dan para malaikat ini justeru ketinggian akhlak dan keperibadian baginda.
Firman Allah swt:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna-sempurna salam.”
(Al-Ahzab 56)

Bayangkan, tanpa Rasululah alam ini tidak akan diberkati. Kedatangannya adalah untuk memberi rahmat untuk alam ini. Alam itu gelap gelita, Rasulullah adalah penerang kepada penghuni-penghuni dunia. Kata bijak pandai, dunia tidak akan aman, selagi manusia yang menghuni di atasnya tidak berakhlak. Dan inilah misi utama kedatangan Rasulullah SAW yakni memberi rahmat kepada alam dengan berusaha memperbaiki akhlak manusia.

Firman Allah:
“Dan tidak diutuskan (nabi Muhammad SAW) melainkan untuk memberi rahmat buat sekelian alam.”

Rahmat kedatangan Rasulullah ini adalah dalam bentuk akhlak yang paling murni untuk dipelajari dan diteladani oleh semua manusia. Ini ditegaskan sendiri oleh sabda baginda:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.”

Tanpa Rasulullah tidak akan ada kasih-sayang sejati dikalangan manusia. Ibu-bapa tidak akan dihormati, anak-anak tidak akan disayangi, kaum wanita tidak akan dilindungi, yang miskin tidak akan dibela, yang kaya tidak akan pemurah, yang berkuasa tidak akan adil, yang diperintah tidak akan taat. Cara hidup Jahiliyah yang serba kejam, hina dan kucar-kacir akan terus bermaharajalela. Namun kedatangan baginda telah memberhentikan semua itu.

Baginda berjuang bermula dengan seorang diri. Diseru kaum keluarga terdekat dan sahabat terapat. Daripada Siti Khadijah, kemudian Sayidina Ali serta Sayidina Abu Bakar… Sedikit demi sedikit. Dan 23 tahun kemudian, ada lebih 124,000 para sahabatnya yang bertebaran di Makkah, Madinah dan seluruh jaziratul Arab. Baginda rela kehilangan apa sahaja demi menyelamatkan umatnya daripada kejahilan dan kesyirikan. Daripada cacian, dihalau hinggalah ancaman bunuh – semuanya telah baginda lalui demi perjuangan yang suci.

Jika pada hari ini kita memuja pemimpin yang berjasa… maka siapakah pemimpin yang lebih besar jasanya daripada Rasulullah SAW? Bagindalah yang telah membebaskan kita daripada kesempitan hidup dunia untuk menikmati kelapangan hidup di akhirat. Baginda jualah yang membebaskan kita daripada penghambaan sesama manusia untuk menjadi hamba keoada Allah. Baginda yang mengeluarkan kita daripada ksempitan dunia untuk menuju kelapangan akhirat.

Soalnya, bagaimana kita memperingati jasa-jasanya itu?

Ya, kita mesti berselawat ke atas baginda. Kelebihan solawat telah banyak kita dengar. Namun apakah yang Allah swt benar-benar inginkan daripada selawat kita? Allah swt inginkan supaya hubungan kita dengan Rasulullah swt adalah berterusan. Oleh sebab itu kalimah, “Asyhaduallah ila ha illallah.”diikuti kemudiannya dengan kalimah “wa ashaduanna Muhammadar Rasulullah”. Apabila kita menyebut kalimah ini, rasakan diri kita adalah hamba Allah, lalu seterusnya perlu kita tanyakan bagaimanakah caranya hendak menjadi hamba Allah yang sebenar?

Lalu menyusul pengertian kalimah keduanya: “Wa asyhadu anna muhammadar Rasulullah.” Iaitu dengan mencontohi Rasulullah saw. Bagindalah individu yang pada setiap masa merasakan dirinya hamba. Ketika menjadi seorang ayah, seorang jeneral, seorang Nabi, malah sebagai pemimpin, baginda tetap merasakan diri sebagai hamba kepada Tuhannya.

Bagaimana rasa diri hamba? Ya, umpama seorang hamba, tentu dirinya tidak layak melakukan sesuatu sesuka hati. Apa yang dilakukan mesti mengikut arahan majikan atau tuannya. Jadi dengan amalan selawat ini, kita berharap menjadi hamba Allah setiap masa,di setiap tempat dan setiap ketika. Maka dengan itu bererti hubungan kita dengan Rasulullah juga adalah hubungan yang berterusan. Sebab kita hendak jadikan Rasulullah ini sebagai teladan bagaimana menjadi hamba Allah sebenar pada setiap masa dan ketika.

Allah swt bukan sahaja menurunkan Islam dalam bentuk ilmu dan ilmiah. Dia juga turunkan Islam dalam bentuk amaliah atau praktiknya, yakni melalui Rasulullah. Jadi Al-Quran itulah dalam bentuk ilmu, Rasulullah itu pula mempraktikkan isi Al-Quran. Jadi inilah yang Siti Aisyah katakan, jika kamu ingin melihat Al-Quran hidup, maka tengoklah peribadi baginda dalam kehidupan seharian. Dan bagi kita umat Islam akhir zaman ini… tidak ada jalan lain untuk ‘melihat’ keperibadian Rasulullah selain melihat sejarah hidup Rasulullah SAW.

Peri pentingnya sirah Rasulullah, ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Didiklah anak-anak kamu tiga perkara: Kecintaan kepada nabi kamu, kecintaan kepada keluarga baginda dan membaca Al Quran.”

Justeru, generasi Salafussoleh begitu bersemangat mengajarkan anak-anak mereka tentang sirah Nabi Muhammad SAW sehingga diseiringkan dengan pengajaran Al quran. Sebab sirah merupakan penterjemah makna-makna Al Quran secara praktikal. Imam Zainul Abidin bin Husin bin Ali RA berkata:
“Kami mengetahui soal perang-perang Rasulullah SAW sebagaimana kami mengetahui surah-surah yang ada dalam Al Quran.”

Mudahkan mencintai atau mencontohi Rasulullah?

Kita tidak pernah berjumpa Rasulullah. Kita hanya mendengar kisah kehebatan iman dan akhlak baginda sejak di bangku sekolah. Jadi, bagaimana hendak menyemai cinta kepada Nabi Muhammad SAW?

• Menerima seruan dan dakwah Nabi Muhammad SAW.
Apa yang telah disampaikan oleh rasulullah kita terima dan kita terus laksanakan. Semakin cepat kita menunaikan seruannya maka semakin bertambah kecintaan kita terhadapnya. Sayidina Ali misalnya, telah menerima seruan dakwah Rasulullah tanpa harus berbincang terlebih dahulu dengan sesiapapun, hatta ayah-ibunya sendiri.

Tidak ada gunanya mengaku cinta kalau tidak dibuktikan dengan perbuatan. Kata cinta, tetapi sunnah baginda kita cerca atau pinggirkan. Malangnya, inilah sikap kebanyakan umat Islam kini. Mengaku cinta, tetapi bergaul bebas, mendedahkan aurat, makan riba, minum arak, menipu, rasuah. Baginda sangat bencikan riba, tetapi ada dikalangan umat Islam yang masih mengamalkan riba.

• Mencintai apa yang dicintai Nabi.
Apa sahaja yang dicintai oleh nabi Muhammad SAW dari segi cara hidupnya – cara solat, puasa, mentadbir, menguruskan perniagaan, mengatur rumahtangga, makan, minum, pakaian sehingga cara baginda masuk tandas – akan kita teladani.

• Membenci siapa yang membenci nabi.
Siapa sahaja yang memperleceh-lecehkan kedudukan nabi Muhammad adalah musuh kita. Kita tidak akan berkawan apalagi bersahabat dengan mereka yang terang-terangan menghina nabi Muhammad SAW. Tidak kira mereka itu kaya, berkuasa atau ternama sekalipun. Siapa yang membenci Rasulullah itulah musuh kita.

Sebab itu umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya Nabi Muhammad diperlecehkan melalui lukisan, tulisan atau kata-kata.

Menjaga hadis-hadis Nabi.
Maksud menjaga hadis di sini ialah dengan menghafaz dan mengamalkannya. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Samurah bin Jundub RA bahawa dia berkata:
“Di zaman Nabi, aku adalah seorang anak kecil, namun aku turut pula menghafaz hadis dari baginda, sedangkan orang-orang di sekelilingku semuanya lebih tua dariku.”

Ibarat seorang yang sedang bercinta. Kebiasaannya seseorang itu akan mengikut atau menyebut-nyebut nama orang yang dicintainya. Dia mesti mempunyai rasa suka atau cinta kepada orang itu.Kemudian rasa cinta itu dilahirkan dalam tindakan. Jadi cinta pada Rasulullah itu bukanlah semata-mata dengan kata, tetapi dengan tindakan. Oleh itu, dalam kehidupan ini, setiap tindakan mestilah menunjukkan kecintaan kepada Rasululah. Misalnya, acara mencukur rambut bayi dan kenduri aqiqah.

Majlis Aqiqah dan mencukur rambut diraikan ibu dan ayah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Ia adalah sunnah Rasulullah yang mulia. Ketika anak Rasulullah iaitu Fatimah az-Zahra melahirkan Hassan, Nabi pun berkata:
“Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya. Kemudian bersedekahlah dengan mengeluarkan perak seberat timbangan rambutnya.”

Seorang ulama Syeikh Dahlawi Rahimullah mengulas tentang hadis di atas dengan katanya:
“Sesungguhnya anak itu jika telah berpindah dari janin menjadi bayi merupakan sebuah nikmat yang wajib disyukuri, Bentuk kesyukuran yang terbaik adalah dengan menggantikannya. Mengingatkan bahawa rambut bayi merupakan bahagian dari perkembangan janin, dan menghilangkannya merupakan petanda kemerdekaannya menuju perkembangan sebagai anak, maka seharusnya bila rambut itu ditimbang (nilai) dengan perak.”

Setelah ditimbang, berat rambut Hassan adalah sedirham. Sedirham itulah disedekahkan. Kita mungkin antara bayi-bayi kecil satu ketika dulu didendang dengan selawat dan marhaban. Jika anak itu lelaki, diberikan permulaan nama “Muhammad” – Muhammad Rasul, Muhammad Taufik, Muhammad… supaya mendapat keberkatan Allah swt. Lebih-lebih lagi ayah dan ibu mengimpikan anaknya nanti membesar dan mencontohi akhlak Nabi Muhammad saw.

Sabda Rasulullah SAW:
Namakanlah anak-anakmu dengan nama-nama para Nabi. Sedangkan nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdul Rahman dan nama yang paling benar adalah Harith dan Hamman, sedangkan nama yang paling buruk adalah Harb dan Murrah.”

Apabila anak lelaki sudah membesar, diadakan pula majlis berkhatan yang juga diiringi dengan selawat dan puji-pujian membesarkan Allah. Sesetengah masyarakat setempat mengadakan acara tambahan bagi meraikan atau menyemarakkan semangat kanak-kanak. Antaranya acara mandi beramai-ramai di sungai, berarak sambil didukung atas bahu bapa sendiri dan sebagainya. Semuanya dengan tujuan untuk menggembirakan hati anak-anak yang akan berkhatan.

Berkhitan sebenarnya satu perintah. Nabi saw pernah bersabda:
“Termasuk fitrah (kesucian) adalah berkumur, menghirup air ke dalam hidung (ketika berwuduk), mencukur misai, bersiwak, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut kemaluan dan berkhitan.”

Apabila usia meningkat remaja, teringin pula berumahtangga. Majlis pernikahan diatur. Termeterailah ikatan janji untuk berkasih dan bercinta selama-lamanya dengan iringan syahadah dan selawat. Ketika itu, kedua-dua pengantin berharap dapat hidup sebagai suami isteri yang bahagia dan harmoni. Rasulullah SAW bersabda:
“Yang lebih utama lagi ialah lidah yang berzikir, hati yang bersyukur dan isteri yang solehah yang akan membantu seorang mukmin untuk memelihara keimanannya.”

Jika rumahtangga mencontohi rumahtangga Rasulullah, kehidupan akan dipenuhi kebahagiaan dan keberkatan. Sabda Rasulullah SAW:
“Mahukah aku beritahukan sesuatu yang dapat dijadikan sebagai harta simpanan seseorang? Iaitu isteri yang solehah. Jika seorang suami memandangnya, dia membuatnya gembira jika ia memerintahkannya, dia mematuhi, dan jika dia pergi, maka dia akan selalu menjaganya.”
Sebaliknya jika kehidupan rumahtangga tidak dipandu iman, kehidupan bagaikan neraka dunia sebelum ke neraka sebenarnya.

Sehinggalah apabila kita mati, kita diajar bagaimana bertalkin di dalam bersolawat untuk Rasulullah. Terbuktilah setiap kehidupan kita dari sejak lahir sehingga kini mesti berhubung dengan Rasulullah saw. Oleh kerana itu jadikanlah berselawat itu teman dalam kehidupan kita.

Kelebihan bersolawat

Pengalaman kita, doa akan cepat dimakbulkan apabila kita memulai dengan berselawat. Kita akan dapat ketenangan hati. Menyebut nama orang soleh (dalam konteks ini Rasulullah SAW) akan mendatangkan rahmat. Dan yang paling penting ialah dengan bersolawat kita dapat keberkatan dan syafaat. Berselawat adalah sumber kepada syafaat. Syafaat Nabi di akhirat nanti terdapat 5 jenis:

• syafaat untuk membebaskan umat manusia daripada dahsyatnya suasana di Padang Mahsyar
• syafaat untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa sebarang hisab atau perhitungan
• syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukuman setimpal, supaya hukuman itu kemudian ditarikbalik.
• Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka
• Syafaat untuk menaiki ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.

Selawat juga mengundang keberkatan hidup di dunia. Apabila kita menyebut nama orang-orang soleh, ia mendatangkan rahmat. Rahmat itulahkeberkatan… Bila ada keberkatan, insya-Allah akan ada kelebihan yang berterusan dan berkekalan.

Keberkatan yang sangat diharapkan ialah keberkatan dari segi rezeki. Kedua, dari segi umur kita, ketiga daripada usaha kita dan keempat, dari segi ilmu. Ini bermakna walaupun ada masanya kita hanya mendapat ‘sedikit’ tetapi dengan keberkatan, insya-Allah, yang sedikit itu adan mencukupi. Misalnya, umur walaupun pendek tapi banyak bakti dan jasanya. Inilah yang terjadi kepada Imam Nawawi, Imam Syafie dan Umar Ibn Aziz.

Jumlah kitab karangan Imam Nawawi misalnya, tidak sepadan dengan umurnya. Usianya hanya sekadar 40 an tetapi beliau sangat produktif. Begitu juga Umar Ibn Aziz, yang hanya sempat menjadi khalifah selama 2 tahun tetapi tempoh pendek itu dipenuhi dengan kecemerlangan yang tidak dapat ditandingi oleh khalifah-khalifah Bani Umayyah yang lain. Inilah pentingnya mendapat ‘umur’ yang berkat.

Manakala ilmu yang berkat pula ialah ilmu yang mampu menyuluh kelemahan diri, menyuluh kebesaran Allah dan menambah amalan soleh kita. Rezki yang berkat pula akan menjadi sumber kekuatan untuk melaksanakan ketaatan, baik ketaatan kepada Allah mahupun khidmat sesama manusia.

Inilah peri pentingnya kita berselawat sebelum berdoa.Tanpa berselawat sekaligus putus hubungan dengan Allah. Bila hubungan kita putus dengan Allah, berbagai-bagai kesusahan akan berlaku. Yang paling kita takuti, hilang keberkatan dalam hidup. Ini akan menyebabkan rezeki kita walaupun banyak tetapi masih tidak cukup-cukup malah melalaikan kita pula.

Umur kita mungkin panjang tapi sayangnya sarat pula dengan dosa. Usaha kita mungkin banyak, tapi tidak dapat meraih kejayaan. Ilmu pun mungkin banyak, tapi menyebabkan kita lalai dan derhaka kepadaNya. Makin tinggi ilmu, semakin ego. Jadi, marilah kita banyak berselawat, justeru ia adalah sumber keberkatan dalam kehidupan!

Keajaiban Selawat

Assalammualaikum & hye readers !
Aku just copy jer bnda kat bwah ni . Sebagai peringatan untuk diri sendiri dan korang-korang yang baca entry ni . Sama-sama la kita renungkan keajaiban selawat ni dan selamat beramal :)
Apakah pentingnya selawat ? Kenapa semua orang berselawat ? Besar sangatkah selawat itu ? Mari kita sama-sama selidik kebesaran selawat ini . Tak seronoklah berselawat bila kita tak tahu kelebihan-kelebihan selawat .


Oleh itu , antara kelebihan selawat ialah ;

1. Sabda Rasullah SAW: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda – (Hadis Riwayat Muslim.)
2. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.
3. Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insyaAllah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.
4. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.
5. Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.
6. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.
7. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.
8. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.
9. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki dan sebagainya dalam dirinya.
10. Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, insya-Allah akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.
11. Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.
12. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.
13. Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.
14. Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.
15. Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.
16. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.
17. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.
18. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.
19. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.
20. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.
21. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.
22. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, insya-Allah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.
23. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.
24. Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmat-Nya.
25. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya-Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.
26. Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.
27. Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.
28. Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.
29. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Hadis Riwayat Abu Naim.
30. Sabda Nabii SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat – Hadis Riwayat Thabrani
Demikianlah betapa banyaknya ganjaran bagi orang-orang yang berselawat. Oleh itu, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kita tergolong dalam orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat, insya-Allah.
Wallahu a’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan