Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Memaparkan catatan dengan label Allahuakbar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Allahuakbar. Papar semua catatan

Ahad, 10 Februari 2013

Salam Perkenalan Baru & Persaudaraan Baru


Bagi memenuhi tuntutan menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) saya mudahkan carian untuk anda memperoleh maklumat atau informasi terkini, sahih lagi benar isu-isu politik, agama, akidah, perkauman, rasuah, kezaliman, keadilan, maaruf, mungkar, skandal, penyelewengan, salah guna kuasa, golongan marhain (daif), kesombongan golongan bangsawan (elit) di seluruh tanahair amnya dan terperinci di Parlimen Sembrong (P153) khususnya.

Nantikan isu panas dari kami dari sumber yang bersih, elakkan dari mencari sumber arus perdana yang tidak mempunyai kredibiliti lagi menyeleweng, menipu minda rakyat dan boleh dikatagori sebagai pembohong besar.

Blog baru yang akan dijadikan rujukan baru Rakyat Sembrong Bangkit

Selasa, 5 Februari 2013

Jaga-jaga! Bangunan Hospital Kluang Berkualiti Rendah

Hospital Baru Kluang (Gambar Lama) yang bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitar Parlimen Kluang, Sembrong, Simpang Renggam dan Air Hitam tetapi awas malang tidak berbau?

Projek Pembinaan Hospital Kluang, Johor (Laporan Audit)
KKM telah menandatangani perjanjian projek pembinaan Hospital Kluang, Johor berkapasiti 256 unit katil dengan Kluang Health Care Sdn. Bhd. (Kluang HC) bagi menggantikan hospital sedia ada. 
Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina. Ketua Setiausaha Kementerian telah bertindak sebagai Pengarah Projek manakala Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan dilantik sebagai Wakil Pengarah Projek. 
Projek ini telah siap dibina pada 12 Oktober 2011 dan mula beroperasi pada 30 Disember 2011. Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pelaksanaan projek pembinaan Hospital Kluang adalah kurang memuaskan
Kelemahan yang ditemui seperti berikut: 
  1. Pelantikan perunding yang tidak teratur sehingga mengambil masa 66 bulan.
  2. Yuran profesional perunding terlebih dinyatakan sejumlah RM0.74 juta dan RM0.62 juta telah dibayar.
  3. Bayaran perunding sejumlah RM0.75 juta dibayar sebelum kontrak ditandatangani.
  4. Asas kelulusan bagi Perakuan Kelambatan Dan Lanjutan Masa (EOT) 2 dan EOT 3 adalah diragui.
  5. Kerja pembinaan yang berkualiti rendah.
  6. Perolehan 385 peralatan import bernilai RM11.64 juta telah dibuat tanpa kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri walaupun nilai perolehan yang diimport melebihi RM50,000.
Ulasan saya : Setiusaha pastinya orang yang paling berkredibiliti. Tapi, projek ini diselia oleh KSU KKM, namun masih punyai kesalahan yang sepatutnya tidak berlaku seperti ayaran sebelum tandatangan dan pembelian tanpa kelulusan. Kerugian minima RM 2.11 juta

Hospital Kluang Kini Dikenali Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom 
KLUANG: Penduduk daerah Kluang pada Rabu secara rasmi menerima hospital baharu dikenali sebagai Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, sempena nama bonda Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata hospital bernilai RM390 juta itu mula beroperasi 30 Disember tahun lepas, bagi menggantikan hospital lama berusia 80 tahun yang tidak mampu lagi menampung keperluan penduduk.

"Hospital baharu ini dibina di atas tapak seluas 16 hektar dan terletak kira-kira lapan kilometer dari hospital lama dan merupakan satu projek reka dan bina dengan dilengkapi 268 katil serta 220 unit kuarters untuk kediaman pelbagai kategori anggotanya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian hospital itu di sini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Majlis perasmian hospital itu disempurnakan Enche' Besar Hajjah Khalsom Abdullah. Turut berangkat ke majlis tersebut Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Liow berkata hospital baharu itu mempunyai 798 anggota kesihatan terdiri daripada bahagian klinikal, sokongan klinikal dan sokongan bukan klinikal.

Hospital itu terdiri daripada dua blok bangunan utama yang menyediakan perkhimdatan sekunder dilengkapi dengan perkhidmatan teknikal, sokongan klinikal dan bukan klinikal.

Antara perkhidmatan yang ada di hospital baharu itu ialah unit rawatan pesakit luar yang meliputi klinik pakar, rehabilitasi dan hemodialisis; bahagian rawatan pesakit dalam termasuk unit ortopedik, unit pembedahan mulut dan pediatrik.

"Saya percaya yakin dan percaya dengan wujudnya hospital baharu ini status kesihatan penduduk Kluang akan terus meningkat, ditambah lagi dengan adanya kemudahan yang lebih canggih serta anggota kesihatan yang terlatih dan berdedikasi," katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga amat gembira kerana mendapat pekenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar untuk membuat pengisytiharan nama hospital itu kepada nama baharu iaitu Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom. -BERNAMA

PRSB : Inilah akibatnya bila projek dilaksanakan secara runding terus, terus masuk poket kroni, menyalahgunakan kuasa, membazirkan duit rakyat, lepas tu buat main cincai sahaja, dengan bahan binaan yang tak mengikut spec dan bermutu rendah ia pasti mengundang bahaya kepada kakitangan dan pesakit... 

Sumber 


Abu Lahab Menyambut Kelahiran Muhammad s.a.w

Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w,kerabat baginda,para sahabat dan para shuhada' yang bermati-matian mempertahankan Islam untuk memastikan kelangsungan Agama Islam di seluruh dunia.

Sekarang kita berada di bulan Rabiulawwal,yang mana bulan ini merupakan bulan kelahiran junjungan besar kita Muhammad s.a.w yang telah banyak berkorban untuk ummatnya. Seperti kebiasaan, pada bulan ini kita akan sibuk untuk membuat persediaan bagi meraikan hari kelahiran baginda.

 Alhamdulillah,kesedaran pada diri masyarakat kini terhadap hari kelahiran nabi amat tinggi dan mereka peka akan peristiwa ini walaupun mungkin kerana program-program yang dijalankan oleh pihak tertentu.

Ana cukup bangga akan sesetengah pihak yang menjalankan banyak program sempena hari kelahiran nabi. Mereka mengadakan perarakan,perhimpunan,jamuan dan sebagainya.Bahkan tidak cukup dengan itu,ada sesetengah pihak yang sanggup menaja pakaian seragam untuk organisasi mereka semata-mata untuk perarakan.

Namun bukan itu yang akan menjadi buah bicara ana pada post kali ini, apa yang hendak diketengahkan adalah sejauh mana masyarakat pada hari ini meletakkan Nabi Muhammad s.a.w yakni pesuruh Allah,kekasih Allah, ditempat yang tinggi dalam diri mereka...paling tidak pun mereka meletakkan Muhammad itu sebagai idola mereka...jika kita tanya pada anak kecil siapa Idola mereka, pasti mereka tidak akan menjawab Muhammad s.a.w.Inilah penyakit ummat Islam sekarang.

Dalam kesungguhan mereka meraikan Maulid nabi s.a.w, mereka jugalah yang menjadi penentang terhebat jika hukum Allah hendak dilaksanakan. Mereka mengatakan hukum Allah sudah tidak relevan, hukum itu tidak sesuai dengan masyarakat majmuk, hukum itu kejam!!! dan sebagainya.

Sedarlah saudara sekalian, bahawa Allah adalah pencipta kita,Dia tahu apa yang baik dan yang buruk bagi kita. Ana ingin memberi satu analogi seorang pencipta kereta, dia tahu apa yang perlu untuk kereta itu...jika dia kata kereta itu menggunakan minyak petrol maka petrollah yang perlu kita gunakan...tapi jika kita ingkar!,sombong!, takbur! dengan mengikut kepala sendiri maka rosaklah kereta itu.

Fikir-fikirkan... Kalaulah kita gembira dengan kelahiran Nabi s.a.w. dan menyambutnya dengan berbagai cara, maka sesungguhnya Abu Lahab bapa saudara Nabi s.a.w. lebih baik daripada kita. Kerana sewaktu kelahiran Nabi s.a.w., orang datang berjumpa dengan Abdul 'Uzza, yakni nama sebenar Abu Lahab.

100 unta aqiqah

Orang cerita kepada Abu Lahab "Ya Abdul 'Uzza, sesungguhnya adik ipar kamu yang namanya Aminah telah selamat melahirkan seorang anak, anak itu lelaki, ayah kamu yang namanya Abdul Mutalib telah memberi nama anak itu dengan nama Muhammad." Apa jawab Abu Lahab? ia menyatakan syukur kepada Rabbihaka'bah, tuhan yang menjaga Ka'bah, dan dia telah mengorbankan 100 ekor unta sebagai tanda seronok dan gembira dengan kelahiran Muhammd s.a.w.

memerdekakan hamba

Seratus ekor unta shabat...kita 100 ekor ayam pun belum tentu. Bayangkanlah, 40 tahun sebelum itu dialah orang yang paling gembira dan seronok, dialah yang mengeluarkan segala-galanya untuk sambut kelahiran Nabi s.a.w. bahkan dialah orangnya yang memerdekakan beberapa orang hamba, diantaranya Thuwaiba yang kemudiannya pernah menjadi ibu susu Nabi, dia merdekakan mereka kerana begitu seronok dengan kelahiran Nabi s.a.w.

Satelah 40 tahun kelahiran Mumammad dan dilantik menjadi Nabi, perkara pertama dilakukan Nabi s.a.w. ialah mengumpulkan saudara-maranya, bapa saudara dan sebagainya dan menyeru, "Wahai bapa-bapa saudaraku!, sepupu-sepupuku!, adik-beradikku! Aku hendak ceritakan kepada kalian satu perkara, kalau aku katakan di belakang bukit ini ada segerombolan tentera hendak menyerang kita apakah kalian percaya?" jawapan penduduk Mekah yang kebanyakan adik-beradik Nabi s.a.w. pada waktu itu berkata

 "Muhammad, bahkan kami percaya apa yang kamu katakan kerana kamu tidak pernah berbohong kepada kami." maka jawab Nabi s.a.w. "Maka pada hari ini aku ingin istiharkan aku adalah utusan Allah", lalu bangun Abu Lahab seraya berkata "Tabballaka ya Muhammad" yang bermaksud "Celakalah Muhammad, apakah kerana ini kamu kumpulkan kami?".

tabbat yada...

Maka turunlah ayat Al-Qur'an surah Al-Masad, "Tabbat yada abi lahabiu'n watab..." ertinya "Celakalah Abu Lahab..." hingga akhir ayat, maka celakalah Abu Lahab bukan Muhammad s.a.w. yang celaka.

 Abu Lahablah orang yang menjadi penentang utama dalam perjuangan Nabi untuk menegakkan Islam...sedarlah sahabat sekalian, jangan kita ikut mereka yang kononnya mengaku cintakan Rasul tapi pada masa yang sama merekalah yang menentang syariat Islam bila hendak dilaksanakan.

Ingat sahabat, pada akhirat kelak rakyat akan dibangkitkan bersama-sama dengan pemimpin mereka dan pada waktu ini mereka saling tuduh menuduh antara satu sama lain jika pemimpin mereka itu tidak menjalankan hukum Allah.

Jadilah orang-orang yang ingin melihat Islam dianggkat sebagai satu cara hidup yang menepati fitrah manusia dimuka bumi ini.

Wallahhua'lam...

Isnin, 4 Februari 2013

Fenomena Ustaz Azhar Idrus Diakui TV3


Akhirnya kebenaran itu tetapmenang dan mengatasi kebatilan.

Jika sebelum ini fenomena Ustadz Azhar Idrus cuba disembunyi dan dinafikan oleh media massa arus perdana, tetapi tiba-tiba malam tadi, ada slot berita di dalam Buletin Utama TV3 untuk Ustadz Azhar Idrus.

Malah pembaca berita TV3 turut menyebut Wacana yang diadakan di Stadium Darul Makmur Kuantan itu dihadiri oleh 100,000 orang terutama anak muda. Rasanya ini kali pertama TV3 menyebut angka yang betul di dalam laporannya untuk aktiviti dan majlis yang bukan dianjurkan UMNO-BN.

Saksikan beritanya:

Sabtu, 2 Februari 2013

Ulamak Muda Masuk Umno VS Artis Masuk PAS

Ulama' muda Umno Fathul Bari dan artis yang menyertai Pas Abby Abadi

Oleh Subky Latif

Adapun Abby Abadi, seorang pendatang baru dalam PAS dan ketua Ulama Muda di pejabat Umno yang bernama Fathul Bari tidak ada kena mengena dan tidak ada sebarang hubungan.Mungkin keduanya tidak kenal mengenal dan mungkin juga tidak pernah bersua jumpa.

Yang menariknya ialah Cik Puan Abby Abadi ini adalah seorang seniwati yang ada kedudukan dan ada pasaran dalam industeri perfileman.

Kita tidak tahu di mana dia mengaji dan mendapat didikan agama? Tetapi di tengah memanjat puncak kerjayanya di dunia hiburan, dia terjun ke dalam arena perjuangan PAS dan berazam memupuk dan menegakkan akidahnya dan akidah umat.

Dia menerima Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai pemimpinnya.

Manakala Syeikh Fathul Bari, seorang yang berstatus ulama muda, sudah tentu berpendidikan agama yang tinggi, jika tidak masakan dia dikenali sebagai ulama, anak bekas Mufti Perlis.

Di mana dia mengaji tidak penting lagi tetapi dia adalah seorang ulama dan seorang pendakwah.

Tetapi dia terjun dalam perjuangan Umno dan menerima Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai pemimpinnya.

Tentulah pelik. Seorang penghibur yang statusnya dalam agamanya adalah seorang awam saja memilih parti yang memperjuangkan Islam dan dipimpin oleh para ulama. Dunia yang digelumanginya selama ini adalah amat berbeza dengan cara hidup pemimpin dan penyokong PAS.

Mungkin 10 tahun dulu tidak tahu apa-apa tentang luar dan dalaman PAS selain daripada yang didengarnya PAS adalah sebuah parti pembangkang yang memperjuangkan Islam. Yang dikatakan perjuangan Islam itu mungkin dia tidak tahu.

Tetapi sekonyong-konyong dia masuk PAS dan duduk sepentas dengan pemimpin-pmimpin yang antaranya tok-tok guru yang berserban dan berjanggut. Dia berazam untuk menghabiskan dunianya di situ.

Manakala ulama muda Fathul Bari pula sebagai anak mufti tentulah terdidik dari kecil dalam suasana Islami, dan sebagai ulama muda tentulah pergaulan dan hidupnya sentiasa dalam kawalan yang baik. Imej dan gambaran luarannya pun dilihat sebagai orang beragama. Mengikut bahasa orang dulu gayanya itu adalah lebai.

Peliknya dia tidak memilih parti yang memperjuangkan Islam seperti yang disertai Abby tetapi dia menyertai Umno yang perjuangannya sejak mula adalah sekular nasionalis. Baik di bawah Dato’ Onn Jaafar, di bawah Tunku Abdul Rahman Putra dan lain-lain tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan.

Semua tokoh Umno itu tidak menolak Islam sebagai agama mereka tetapi mereka tidak menerima Islam sebagai garis perjuangan politik. Kesemuanya berkata bahawa Islam tidak sesuai bagi dijadikan dasar politik dengan dalih Malaysia tidak didiami oleh orang Islam saja.

Abby Abadi yang terhad pengetahuan dan fahamannya tentang Islam tidak memilih parti seperti Umno itu tetapi ulama muda yang terididik dalam suasana Islami memilih Umno dan menolak PAS yang disertai oleh majoriti ulama.

Ajaib. Itulah kehendak Allah. Abby tidak memiliki kitab dan tidak pandai baca kitab menyertai perjuangan politik Islam, Fathul Bari memiliki banyak kitab dan pandai baca kitab tidak menyertai parti Islam tetapi menyertai parti nasionalis.

Quraisy VS Yahudi

Saya tidak hendak menyamakan kejadian Abby dan Fathul ini dengan zaman kelahiran Rasulullah SAW di Mekah dulu. Orang Jahililyah Quraisy tidak pernah baca kitab. Yang baca kitab ialah Yahudi Bani Israil. Orang Quraisy dengar orang Yahudi menunggu kelahiran Nabi Akhir Zaman.

Apabila Nabi lahir, yang menunggunya tidak menyambutnya, tetapi Arab yang tidak tahu tentang isi kitab menerima kenabian itu.

Itulah kebesaran Allah.

DSAI serah sumbangan kpd Hamas disertai Afldin Aqsa Sharif

Dalam satu majlis yang serba ringkas sempena kunjungan wakil Hamas di Ibu Pejabat Parti KeADILan Rakyat, Tropicana, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sumbangan bernilai USD700,000 ( RM2.2JUTA) kepada wakil pimpinan Hamas.

Tujuan tersebut adalah bagi pembinaan Masjid An-Nour Al-Muhammadi di Gaza, Palestin.


Menariknya turut serta adalah seorang seorang Ahli UMNO yang merupakan Pelakon dan juga Pelawak terkenal tanah air Afdlin Shauki.

Afdlin Shauki, dilaporkan pada 3 Januari 2012 telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO di Ibu pejabat UMNO.. sila baca laporannya di ( SINI )

Afdlin juga sebelum menyertai UMNO telah menyindir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu sketsa Maharaja Lawak Mega 2011,  sila lihat video di ( SINI )

Apakah selepas ini selebriti Afdlin Shauki sebagai akan diambil tindakan oleh UMNO kerana hadir sama dalam upacara yang bersejarahyang melibatkan musuh UMNO no 1 iaitu Anwar Ibrahim ini?

Bersamalah kita nantikannya...

Sementara itu The Malaysian Insider melaporkan..

Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dianggap oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu langkah baik diambil Putrajaya tetapi mempersoalkan mengapa terpaksa menunggu begitu lama untuk mengiktiraf Hamas sebagai sebuah pemerintah yang sah di Palestin.

Menurut Anwar, berbeza dengan Pakatan Rakyat yang sudah lama mengiktiraf Hamas sebagai sebuah organisasi sah, langkah kerajaan Malaysia baru-baru ini lambat dan tidak mencerminkan keikhlasan sebenar oleh Najib.

“Saya tidak bersetuju dengan orang ramai yang mengatakan langkah Najib tersebut sebagai gimik politik sebelum pilihan raya,” kata Anwar.

“Sokongan kami kepada Hamas adalah sejak dahulu lagi, bersama-sama PAS. Berbeza dengan kerajaan Malaysia, kami tidak iktiraf mereka selepas Mac 2008.”

Walau bagaimanapun, ketua pembangkang itu masih mengalu-alukan lawatan Najib ke Palestin dan memujinya sebagai langkah baik.

“Namun, saya mengalu-alukan lawatan Najib ke Palestin walaupun ia adalah yang kali pertama dalam sejarah pentabdiran negara,” tambah Anwar meraikan kedatangan pemimpin utama Hamas di ibu pejabat PKR pagi tadi.

Jumaat, 1 Februari 2013

Datang Lambat Dapat Pahala Juga?


12:04pm

Jan 31

Salam sayang utk penduduk komuniti presint 11c yg beriman dan dirahmati Allah

Dulu waktu sekolah rendah, kalau DATANG LAMBAT, kena denda kutip sampah sekitar kawan sekolah.

Naik sekolah menengah, kalau DATANG LAMBAT, pengawas ambik nama dan cikgu disiplin akan sebut nama waktu perhimpunan.

Kena denda juga kutip sampah atau cuci tandas. Masuk universiti, kalau DATANG LAMBAT ke kuliyyah, lecturer potong 'carry mark'. Ada juga yang terus tak boleh masuk, lecturer kunci pintu.

Bila dah bekerjaya, kalau DATANG LAMBAT, bos akan marah, bonus dan kenaikan gaji terjejas. Bahkan kalau selalu sangat, HR akan hantar showcause letter.

 Tapi... Kalau DATANG LAMBAT solat jemaah, samada tertinggal rakaat pertama atau bahkan kalau datang ketika tahiyyat akhir, Allah tetap beri ganjaran 27 kali pahala.

Tak kena tolak jadi 20, 10 atau 7. Tetap juga 27. Cuma pahala afdhalnya yang mungkin berbeza di sisi Allah.. Allahuakbar...

Betapa Allah sangat sayangkan hambaNya.. Jadi, datanglah malam ini ke surau yg tinggal ruang 2 saf (muat utk 70 org lbh kurang) utk sama-sama solat berjemaah.

alasan

Ketepikanlah seketika alasan kesian/takut tinggal keluarga, penat lelah letih, moga Allah mmberi kekuatan kpd kita menepis/melawan nafsu terutamanya drp bisikan syaitan yg menggoda tak henti2.

Kita hebat di luar, kita hebat juga bila di kalangan hamba-Nya apabila dipanggil/diseru OLEHNYA YANG MAHA AGUNG, MAHA BESAR, MAHA KUASA, MAHA MULIA, MAHA SUCI, MAHA MEMBERI REZEKI, MAHA SEGALA-GALANYA.....

"maka bagaimana mereka merasa takut sedangkan kiranya mereka masih menolak akan kedatangan hari yg mana anak2 rambutnya menjadi uban, di mana langit akan terbelah, janji Allah akan berlaku" 

mafhum ayat surah muzammil.

Selasa, 29 Januari 2013

Kecundang Akibat Ikut Irama Musuh Lawan Jamaah

Dengan Wang, Yang Bergelar Ustaz Pun Boleh Gugur

Akhirnya NAsaruddin Mat Isa digugurkan dari Majlis Syura Ulama PAS. Sudah empat tahun TB mendedahkan bagaimana Nasa serta kuncu2 nya berusaha membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan berpadu dengan UMNO.

Ketahuilah wahai pembaca sekelian. Fitnah wang ringgit serta keduniaan ini bukannya satu fitnah yang kecil. Dan tidak kira siapa kamu, samada kamu penjual surat kabar, peniaga barang pasar, pembuat bakul, pekedai runcit, petani, nelayan dsbnya kamu pasti lemah apabila wang ringgit dilayangkan di hadapan kamu.

Bukan setakat orang biasa sahaja, tapi mereka yang bergelar alim ulama yang mempunyai ijazah dari Jordan serta fasih berbahasa Arab juga boleh lemah gemalai apabila wang dilayangkan di hadapan mata mereka.

Janganlah kita ingat apabila seseorang itu lulus dari Timur Tengah maka orang itu kebal dari segala fitnah dan godaaan syaitan.

 Kadang-kadang orang cacat yang kerja meminta sedekah dan menjual pensil serta tisu adalah lebih mulia dari seorang yang mempunyai PhD dari Al Azhar. Tulang Besi mendapat maklumat sewaktu Tan Sri Khalid Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil Ijuk, ahli PAS yang menjadi wakil calon beliau telah didatangi beberapa orang dari parti lawan.

 Orang-orang itu menawarkan wang yang banyak serta sebuah helikopter yang akan membawa beliau kemana sahaja. Janji beliau tarik diri dari menjadi wakil calon. Apabila beliau tarik diri, maka secara otomatik pencalonan Tan Sri Khalid Ibrahim terbatal dan calon BN menang tanpa bertanding.

Namun, pakcik yang cacat itu menolak sama sekali dan memberitahu beliau lebih rela hidup cacat dan miskin dari menerima wang rasuah tetapi kelak dibakar api neraka.

Seorang lagi contoh adalah bekas ADUN Wakaf Baru, Hj Ramli. Pada waktu S46 baru sahaja melompat dalam UMNO, datang orang ke rumah beliau tengah2 malam buta. Datangnya untuk menawarkan kepada Haji Ramli wang sejuta atau dua juta cash supaya beliau melompat kepada UMNO sekaligus runtuh kerajaan PAS di Kelantan.

Namun, Haji Ramli telah menghalau orang itu kerana beliau takutkan balasan Allah di akhirat kelak. Tulang Besi telah bertanya sendiri dgn Haji Ramli tentang peristiwa itu. IMAN ADALAH MUTIARA Iman itu adalah mutiara. Yang dapat menghadapi ujian dan cabaran seperti ini adalah mereka yang benar-benar beriman kepada ALlah dan Hari Akhirat.

Tidak kira orang itu penjual kacang putih ataupun pemegang PhD dari Al Azhar. Yang penting adalah imam bukan kelulusan. Kalau hati penuh dengan iman, maka kamulah yg layak diberi amanah kepimpinan. Atas sebab itu Tulang Besi rasa amat kesal sewaktu Pemilihan Pemuda PAS tahun lepas.

Label ulama dijual dengan sebegitu murah sekali demi memenangkan calon2 dari kem pro PERPADUANG. Sedangkan yang digelar ulama itu bukan layak pun digelar ulama. Tapi mereka tidak kira. Terus menerus menggunakan label ulama untuk menipu perwakilan pemuda bagi mengundi calon mereka.

DIlaporkan oleh orang2 yang rapat dengan arwah Presiden PAS dahulu, bahawa arwahnya pernah berkata di dalam PAS ini, golongan ulama lah yang lebih banyak belot kepada perjuangan Islam. Biasanya golongan bukan ulama atau professional lah yang paling setia dan istiqamah dalam PAS.

 Lihatlah contoh seperti Haji Subky Latif (wartwawan professional), Tn Syed Ibrahim ( peguam), Salahuddin Ayub, Haji Mat Sabu, Haji Mahfudz Omar, Haji Husam Musa, Arwah Dr Abbas Alias, Dr. Hatta Ramli, Dr Lolo Ghazali, Dr Mariah Mahmud bapanya, Hj Muhsinun Tahir, Zulkifli Sulong dan banyak lagi.

Kalau ada professional dalam PAS yang belot pun adalah Haji Suhaimi Said yg sekarang ni dah masuk PKR, Malek Husin yg belot pada PAS tapi skrg ni jadi aktivis PKR, Hasan Ali yg kena tendang dari PAS, Zin Mahmud yg jadi penulis di Utusan.

Malahan L Mankadir Syamsi pun sudah aktif semula dalam PAS walaupun pada satu masa dia berehat sebentar dan menumpu perhatian kepada pembuatan drama. Tulang Besi pernah berdemo dengan L Mankadir Syamsi di Masjid Bangsar satu masa dahulu.

Akhir kata, jadikanlah pemergian Ustaz Nasa ini satu iktibar. Bahawa godaan dunia ini satu godaan yang cukup besar. Sesiapa sahaja boleh kalah dengan godaan dunia tak kira dia tok guru, ustaz lulusan Jordan, pemain bola sepak, artis dsbnya. Jangan kita pandang remeh dengan godaan dunia walau satu saat.

Atas sebab itu lah Allah SWT dalam Al Quran memberi penerangan yang jelas tentang bagaimana dunia ini akan dihancurkan oleh Allah SWT pada Hari Kiamat kelak. Ia sebagai peringatan kepada kita bahwa dunia yang kita tatang dan agungkan ini akan Allah SWT jadikan leper seperti lempeng dan akan hilang selama-lama nya.

Pada Ustaz Nasa, ingat lah. Bukan 10-15 orang yang kamu khianati. Malahan, ratusan ribu penyokong dan pendokong perjuangan Islam akan mengutuk dan memaki kamu serta mendoakan kebinasaan kamu. Jgn lupa tu, wahai Nasa. Dunia ini hanya sementara. Akhirat jua yang kekal selama-lama.

TB

Kalimah Ni Kenapa Tak Tukar Sekali?


Beratus Tahun Org Melayu Guna Kalimah2 Hindu dalam Amalan Keagamaan

Oleh kerana orang2 Melayu ni terlampau risau sangat pasal Kalimah tanpa melihat makna, maka Tulang Besi ingin membawa beberapa kalimah agama Hindu yang digunakan oleh orang2 Melayu dalam amalan ISlam mereka:

1.0 Sembahyang: Asal dari perkataan sembah + hyang. Sembah itu maksudnya menyembah dan "Hyang" itu adalah nama salah satu dewa agama Hindu. Ertinya perkataan sembahyang itu bererti menyembah dewa Hyang. Orang Melayu menggunakan perkataan sembahyang bagi menggantikan perkataan "solah"

 2.0 Puasa : Asal dari perkataan sanskrit "upavāsa". Ia merujuk kepada amalan berpuasa agama Hindu yakni menahan makan dan minum pada hari-hari tertentu. Orang Melayu gunakan perkataan PUASA bagi menggantikan perkataan "Suum" yang digunakan dalam Al Quran.

3.0 Air Sembahyang: Bagi menggantikan perkataan "wudhu"

 4.0 Syurga : Perkataan agama Hindu bagi merujuk kepada tempat orang2 baik akan pergi selepas mereka mati. Perkataan ini digunakan bagi mengganti perkataan "Jannah" dalam Al Quran

5.0 Neraka : Juga perkataan agama Hindu bagi menggantikan perkataan "Jahannam" yang digunakan dalam Al Quran

 6.0 Dosa : Juga dari perkataan Sanskrit "dosa". Ia perkataan Sanskrit yang tidak diubah lansung dan digunakan secara meluas oleh orang Melayu. Ia juga sebahagian dari perkataan agama Hindu

7.0 Pahala: Juga berasal dari perkataan Sanskrit bagi menggantikan perkataan "Ajr" di dalam Al Quran.

 Soal TUlang Besi adalah setelah beratus tahun orang Melayu gunakan perkataan2 agama Hindu ini, berapa ramaikan orang Melayu telah bertukar agama kepada agama Hindu?

TULANG BESI

 PRSB : Umno sibukkan kalimah Allah, tetapi hukum Allah tak mahu laksana? hipokrit dan munafik

Selasa, 15 Januari 2013

Amanat Hadi DiPopularkan Oleh Peniaga Agama?


Saya tidak menduga petikan ucapan saya diawal 80-an telah dimartabatkan oleh seorang peniaga agama dalam PAS yang telah melompat masuk UMNO selepasnya, telah dijadikan satu polemik. Petikan ucapan saya ini pula secara terancang telah dijadikan hujah untuk merendahkan PAS, dan saya dijadikan sasarannya. Saya percaya bahawa isu lama ini diberi nyawa semula oleh UMNO, mungkin kerana menutup isu yang dikira menghantui mereka, seperti kegusaran generasi peneroka FELDA dan penyelewengan yang berlaku kepada FELDA, riuh-rendah pembongkaran Deepak, penganiayaan mereka terhadap orang Melayu, dan lain-lain kelemahan kerajaan UMNO-BN yang begitu menekan mereka di hujung penggal pemerintahan ini. Alhamdulillah, saya baru sahaja selangkah kehadapan untuk menyahut cabaran, manakala mereka pula berundur sepuluh langkah kebelakang.

Isu “takfir” (kafir mengkafir) dicetuskan oleh golongan sekular di dalam UMNO, diseluruh dunia Islam, termasuklah di negara Arab, bagi menyanggah kebangkitan Islam di zaman selepas mencapai kemerdekaan seawal tahun 60an. Kebanyakan kalangan umat Islam menjadi mangsa serangan pemikiran barat sehingga berjuang menganut ideologi yang dibawa oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam. Kalangan umat yang masih menganut Islam, tetapi kerana jahilnya telah menghina hukum-hukum Islam yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadith sahih lagi mutawatir, seperti halal dan haram, hukum-hukum yang berkait dengan negara dan masyarakat, politik,ekonomi dan sebagainya.

Ada yang menghalalkan riba, arak dan judi, menghina hukuman qisas dan hudud, mempersenda hukum menutup aurat dan sebagainya, kerana kejahilan. Di waktu itulah kita mendengar istilah ‘hantu kum-kum’ dilabelkan kepada kalangan muslimat yang menutup aurat dan memakai hijab. Ada pula yang berdiri diatas pentas komunis yang menolak adanya Tuhan dan menolak agama, dalam keadaan masih bersembahyang. Sebahagian umat Islam pula tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mempertahankannya, tetapi mempelajari kitab turath (kitab-kitab lama) yang menegaskan hukum murtad berdasarkan kepada kefahaman masyarakat dizaman kita bitu dikarang, sebelum umat Islam dijajah sepenuhnya. Akhirnya berlakulah gejala murtad secara jahil di satu pihak dan penentangan terhadapnya disatu pihak yang lain, sehingga meledakkan isu kafir mengkafir dalam masyarakat Islam.

Isu ini berlaku diseluruh dunia Islam. Malangnya golongan yang berkuasa memerintah mengambil kesempatan perpecahan masyarakat Islam bagi mengekalkan kedudukan mereka diatas landasan yang salah dan menjadikan parti Islam dan paraulamanya sebagai kambing hitam yang dikorbankan dengan hukuman bunuh, penjara dan sebagainya. Terpenting bagi mereka yang berkuasa adalah untuk menang bagi terus memerintah selama-lamanya dengan cara yang salah, tanpa ambil peduli kerosakan akidah yang berlaku.

Ramai di kalangan ulama PAS dan pemimpinnya merengkuk dalam penjara sejak awal60an, malangnya ramai pula kalangan agamawan yang menjadi syaitan bisu, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang menghina Islam. Maka meledaklah pada waktu itu kenyataan seperti : “Kalau laksanakan hukum Islam berlakulah huru-hara, tak cukup batu nak bina jalan dan bangunan, boleh makan sup tangan bila banyak tangan dipotong kerana mencuri” dan sebagainya. Di peringkat kampung ada yang menjadi imam masjid membuat ucapan yang sama kerana jahil hukum Islam sepenuhnya, hanya tahu hukum sembahyang dan ibadat yang lain sahaja. Terlalu jauh untuk mengetahui sistem politik, ekonomi Islam dan segala sistemnya sehingga keperingkat antarabangsa dan angkasa lepas.

PAS dan parti Islam di negara lain menghadapi cabaran getir bagi membetulkan masyarakat yang songsang pemikirannya ini. Ketika itulah kita berdepan dengan umat yang jahil, para ulama yang lemah dan kerajaan yang zalim. Di negara Arab,Mursyid Am Ikhwan Muslimin Sheikh Hasan Hudaibi menulis buku “Nahnu Dua’at La Qudat” (Kita Pendakwah Bukan Hakim Yang menjatuhkan hukuman). PAS berada dalam kerajaan campuran 1970 -1978 memberi kesempatan kepada bahagian agama Jabatan Perdana Menteri, menerbitkan buku Mustika Hadith Jilid 1 menampilkan perkara yang merosakkan iman (membatalkan iman), bagi menyedarkan penganut Islam adanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, bukan sahaja membatalkan sembahyang. Malangnya ramai kalangan pengikut UMNO tidak mempelajarinya di waktu itu.

Apabila PAS ditendang keluardaripada BN pada tahun 1979 isu kafir mengkafir dihidupkan semula. Pimpinan PAS dibawah pimpinan Datuk Asri, telah menugaskan saya menulis buku kecil dengan tajuknya “Batas – Batas Iman dan Kufur” dengan huraian yang lebih terperinci daripada kitab Mustika Hadith yang terlalu ringkas penerangannya. Saya panjangkan lagi dalam buku yang saya namakan Muqaddimah Aqidah Muslimin.

Apabila kalangan UMNO yang masih bebal memainkan isu tersebut, mereka sengaja mencari mana-mana ucapan saya yang difikirkan menjadi hujah bagi mereka, sehingga ke satu capan saya di selidik oleh pasukan yang ditugaskan secara khusus, maka terpilih sedutannya yang difikirkan munasabah. Saya telah dicabar dalam sidang Dewan Undangan Negeri 1982. Saya terus menjawab :”Ya ! Sebenarnya itu ucapan saya “. Maka hamba Allah yang mencari peluang terus mengangkat martabatnya kepada nama amanat yang disebarkan kepada umum. Namun petikan secebis daripada ucapan yang panjang itu tidak merosakkan sedikit pun mesej untuk menyelamatkan umat daripada gejala murtad secara jahil dan tidak sengaja.

PAS berulang kali mengajak kalangan ilmuwan agama dalam UMNO secara langsung dan melalui pihak ketiga kalangan NGO Islam, dengan ruang terbuka dengan UMNO boleh mendapat khidmat daripada mana-mana mufti yang sanggup menjadi khadamnya, kalau malu secara tertutup atau tidak mahu secara terbuka. UMNO tidak menjawab.

Tiba-tiba Presiden UMNO di masa itu memberi isyarat kepada kalangan agama dalam UMNO supaya berdebat, dengan tajuk secara unilateral pihak UMNO yang menentukannya tanpa berunding dengan pihak PAS, pihak UMNO melantik pengerusi dan penentuan masa. PAS menerima dengan terbuka. Akhirnya PAS dipujuk membatalkan debat dengan UMNO, padahal UMNO lah yang membuka pintunya. Akhirnya UMNO terpaksa diselamatkan oleh perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengisytiharkan pembatalannya seperti perisytiharan tarikh puasa dan hari raya.

Saya bentangkan senario tersebut semata –mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum baligh di masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang sebenarnya.


Mendahului Arab Spring

Apa yang penting bagi kita semua ialah tidak kedengaran lagi suara dari kalangan orang Melayu yang bercakap bahawa politik tidak ada kaitan dengan agama ataupun yang berani menghina hukum Islam seperti yang berlaku dalam tahun 80an dahulu. Di sini kita mendahului Arab Spring yang masih mencetuskan kalangan nasionalis Arab yang menghina Islam. Maka saya nasihatkan kepada ahli PAS tidak melatah dengan permainan kalangan UMNO yang masih jahil atau hanya mencari kesempatan tanpa batas halal dan haram atau tanpa perhitungan dosa dan pahala.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat sejahtera dari perkara yang tidak diingini." (al-Furqaan : 63)
Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
10 Januari 2013

PRSB : Sejarah perjalanan gerakan Islam di Tanah Melayu boleh dijadikan contoh jatuh bangunnya, sabar jadi resepinya, masih lagi belum berupaya  untuk memerintah Persekutuan Malaysia walhal sudah lama berjuang, dakwah secara silmiah dan beransur-ansur ini terbukti berkesan dalam memahamkan rakyat khususnya dalam membenteras fahaman sekular (yang terkandung dalam amanat Haji Hadi) walaupun memgambil masa yang amat panjang.

Kefahaman masyarakat majmuk dalam hukum Hudud yang terbukti masyarakat non-muslim pun sekarang rata-rata di Malaysia tidak takut, malahan mengalu-alukan berikutan dengan kadar Jenayah yang tinggi yang tak dapat dibendung oleh undang-undang sekular ciptaan Barat (penjajah). 

Tanah Melayu telah dijajah lebiih awal dari negara arab semenjak 1511M iaitu selama 446 tahun mendahului sejarah penjajahan di negara timur tengah dan umat islam di sini terpaksa menghempas pulas mempertahankan akidah dan perlu diketahui ulamak pondok dan pasentren cukup banyak berjasa memainkan peranan dalam menjaga agama.

Isnin, 14 Januari 2013

Cina Mulia Kerana Islam : Hafizah dari Negara Tionghua



Wanita-wanita Cina Hafidzah 30 Juzuk Al-Quran

 Gambar di atas menunjukkan wanita-wanita Cina yang baru sahaja lulus menjadi seorang hafidzah Al-Quran. Seseorang yang hafal Al-Quran selalu istimewa.

Wanita-wanita Cina yang telah mendapat predikat HAFIDZAH AL-QUR'AN telah melalui masa-masa sukar. Mereka tidak mampu bercakap Bahasa Arab secara FASIH kerana loghat bicara yang berbeza.

Akan tetapi mereka menunjukkan bahawa walaupun demikian, terbukti mereka mampu mendapat gelaran Hafidzah-hafidzah Al-Quran, mendapat sanad, Ijazah dengan berjaya menamatkan pengajian. Subhanallah

Terbukti Islam tidak dimiliki oleh bangsa Arab dan Melayu (baca Melayu Umno) sahaja. Iman dan auratnya terpelihara walaupun mereka adalah manoriti di Tanah besar China, Persaudaraan yang terjalin berasaskan aqidah bukan atas dasar bangsa dan suku kaum. Takbir!

Ahad, 13 Januari 2013

Beli paper Guang Ming Daily Walaupun Aku Tak Faham

..


Muka hadapan Akhbar GMD foto Himpunan Kebangkitan Rakyat di dalam Stadium Merdeka dan persertanya melimpah hingga ke luar. 

Saya berada di bawah score board Stadium Merdeka pada perhimpunan ini pada mulanya agak gusar dengan kehadiran peserta kalau hanya sekadar penuh dalam stadium sehingga ada veteran Pas Kluang bekas Pesara Tentera Jurutera yang mengatakan paling tinggi 200 000, raut wajah dan bahasanya macam mengiayakan bahawa perhimpunan ini hambar malah lebih teruk kehadirannya dari Himpunan Bersih 3.0 yang lalu, betul (pada pandangan matanya) tetapi ternyata salah kerana beliau tak kira dan tak nampak orang melimpah luar stadium dengan berdiri dan berarak di atas jalanraya dan duduk aman di bawah pokok serta berehat di dalam bangunan masjid  mencecah 1juta.Takbir...

Khamis, 10 Januari 2013

Kalau Di Malaysia jadi Mursi & Ismail Al-Hafiz


Presiden Mesir dan Perdana Menteri Palestin Gaza lahir dari gerakan Ikhwan Muslimin kedua-duanya hafal 30 juz Al-Quran

Hafiz (penghafal Al-Quran) dan juga pemimpin negara. Itulah dua gelaran yang disandang oleh Mohammed Mursi dan Ismail Haniya.

Mursi tercatat sebagai Presiden Mesir pertama yang hafal Al-Quran.Beliau yang mempunyai nama lengkap Mohammed Mursi Issa Ayyat ini bersama isteri dan seluruh ahli keluarganya adalah penghafal Alquran.

Mursi menjadi Presiden ke-5 Mesir sejak 30 Jun 2012 yang lalu. Mursi menjadi Anggota Parlimen di Majlis Rakyat Mesir pada penggal tahun 2000-2005 dan seorang tokoh terkemuka di Ikhwanul Muslimin.

Sejak 30 April 2011, beliau menjabat jawatan Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sebuah parti politik yang didirikan oleh Ikhwanul Muslimin setelah Revolusi Mesir 2011. Beliau dipilih sebagai calon presiden dari FJP pada pilihan raya umum presiden Mei-Jun 2012 yang lalu.

Pada 24 Jun 2012, Lembaga Pemilihan Umum Mesir mengumumkan bahawa Mursi memenangi pilihan raya umum Presiden dengan mengalahkan Ahmed Shafik, Perdana Menteri terakhir di bawah kekuasaan Hosni Mubarak.

Selain Mursi, pemimpin dunia yang juga penghafal Al-Quran adalah Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya. Bahkan anaknya yang bernama Aid berjaya menyempurnakan hafalan Al-Quran dalam 35 hari dan memperoleh gelaran mumtaz (sempurna).

Baik Mursi mahupun Haniya memiliki akar yang sama, iaitu Ikhwanul Muslimin.

Mursi mewakili sayap politik Ikhwan di Mesir melalui Parti Kebebasan dan Keadilan. Sedangkan Haniya adalah pemimpin Hamas yang didirikan oleh Syaikh Ahmad Yassin sebagai pemimpin perjuangan Ikhwanul Muslimin di Palestin. -HalimIslam

Permit Himpun Di Staduim Merdeka Sudah Dapat


Himpunan 12 Jan: Penganjur dibenar guna Stadium Merdeka

Naib presiden PKR Tian Chua berkata bahawa pengurusan Stadium Merdeka membenarkan panganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat menggunakan tempat bersejarah berkenaan bagi perhimpunan 12 Januari.

"Pihak pengurusan balas kepada panitia Perhimpunan Kebangkitan Rakyat bahawa pemohonan mengguna Stadium Merdeka dibenarkan. Hidup rakyat," katanya dalam satu tulisan di Twitter hari ini.

Tambahnya, jawatankuasa berkenaan kini sedang mengadakan mesyuarat bagi persiapan terakhir, susulan perkembangan itu.-mk

Sidang Media selepas Mesyuarat HKR


Lampu hijau untuk himpunan rakyat di Stadium Merdeka




KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Stadium Merdeka telah memberi ‘lampu hijau’ kepada penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 2013 yang akan diadakan Sabtu ini.

Pengerusi HKR Mohammad Sabu yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, hasil perbincangan antara penganjur dan pengurusan stadium telah memutuskan bahawa perhimpunan itu dibenarkan, namun perlu memenuhi syarat tertentu.

Syarat itu termasuk bayaran deposit RM75,000 dan masa himpunan dalam stadium dihadkan daripada pukul 2 sehingga 5 petang sahaja.

“Kelulusan dibuat pada pukul 2.30 petang tadi dan kita akan hantar jawatankuasa untuk berunding lebih lanjut dengan pihak pentadbir stadium tentang peraturan yang ditetapkan pukul 10 pagi esok.

“Kita juga akan maklumkan segera kepda Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar mengenai persetujuan ini dan penyelarasan akan dibuat dengan KPN untuk memastikan himpunan berjalan dengan aman, tenteram, dan teratur,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Katanya, proses rundingan itu juga bakal menyentuh cara untuk menempatkan sejuta penyokong HKR dalam Stadium Merdeka yang hanya mampu menampung kapasiti 40,000 sehingga 50,000 orang sahaja.

Sementara itu Naib Presiden PKR Tian Chua turut mengulangi jaminan HKR akan dijalankan secara aman tanpa sebarang provokasi.

“Takkan ada huru-hara. Kita akan pastikan semuanya berjalan dengan lancar. Kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada penganjur dan polis untuk mengawal keadaan,” katanya.

Rabu, 9 Januari 2013

Fatwa Atau Takwa, Terpulang...


Mantan Mufti Perlis Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin melontarkan satu persoalan yang mencuit minda dan mengoncang jiwa untuk dirungkai secara realiti tetapi berhemah dan berilmiah.

PERLUKAH VERSI KHAS APABILA BUKAN ISLAM MENYANYIKAN LAGU-LAGU RASMI NEGERI-NEGERI INI?
PRSB : Sekiranya ikut Fatwa harap ianya tak dipengaruhi oleh unsur politik dan fahaman rasis atau assabiyah, tapi jika Taqwa jadi sandaran maka Allah itu memang untuk semua, tak kira agama, warna kulit atau bangsa.

Selasa, 8 Januari 2013

Khalid Samad Menang, Blogger fitnah menyesali perbuatannya

Blogger pro Umno, Dr Norvandri Hasan Basri (gambar) atau dikenali juga Dr MiM hari ini memohon maaf secara terbuka kepada anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ekoran dakwaan beliau kepada AJK PAS Pusat itu.

Permohonan maaf ekoran dakwaan Khalid adalah Bishop itu akan diletakkan dalam blog beliau novandri.blogspot.com dan Harakahdaily.net hari ini.

Dr Novandri juga bersetuju membayar sejumlah wang ganti rugi yang tidak disebutkan.

Penyelesaian luar mahkamah ini dinyatakan di depan hakim mahkamah Pulau Pinang hari ini.

Dr Novandri melalui blognya, novandri.blogspot.com pada 15 Januari 2010 lalu menulis satu tulisan dalam blognya bertajuk 'Penjarakan Khalid Bishop Samad'.

Ekoran itu, Khalid melalui peguamnya, Mohamad Hanipa Maidin menuntut supaya Novandri menarik balik tulisan dan gambar yang menunjukkan Khalid memakai tanjak Kristian dan salib dari blognya.

Setelah sekian lama berlalu, hari ini Novandri bersetuju untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan memohon maaf secara terbuka kepada Khalid.

Hari ini keputusan persetujuan penyelesaian di luar mahkamah dimaklumkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Turut hadir adalah Khalid Samad bersama peguamnya, Mohamad Hanipa Maidin dan peguam yang mewakili Dr Novandri.

Berikut adalah permohonan maaf dari Novadri yang mesti disiarkan dalam Harakahdaily dan juga blog beliau, novandri.blogspot.com -HD/


Ahad, 6 Januari 2013

BIODATA PROF DR. MUHAMMAD MURSI

Mohammed Morsi, 
Egypt’s First Islamic President
Mohammed Morsi

Dr. Muhammad Mursi lahir pada 20 Ogos 1951 di Wilayah As-Syarqiyah, di sebuah perkampungan Al-Udwah. Beliau hidup dalam sebuah keluarga sederhana yang mementingkan pendidikan Islam. Bapanya seorang petani dan ibunya seorang suri rumah. Berkahwin pada tahun 1978, mempunyai lima anak dan tiga cucu. Difahamkan kelima-lima orang anaknya adalah hafiz dan hafizah Al-Quran, malah beliau sendiri dan isterinya juga adalah hafiz/hafizah Al-Quran.


Di dalam dunia pendidikan Dr. Mursi telah melanjutkan pendidikannya di Universiti Cairo dalam bidang Kejuruteraan pada tahun 1970 hingga 1975. Selepas itu, beliau memperolehi Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di Universiti yang sama (Cairo) pada tahun 1978. Tahun yang sama beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya dan memperolehi Sarjana Kedoktoran, memperolehinya pada tahun 1982 di Universiti Southern California.


Beliau dilantik untuk menjadi pensyarah di Universiti Southern California, kemudian menjadi pembantu Prof. di Universiti California-North Ridge. Setelah kembali dari Amerika Syarikat, beliau ditawarkan sebagai Profesor dan Ketua di Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material pada tahun 1985 hingga tahun 2000 di Universiti Zaqaziq.

Dakwah dan Politik

Dr. Mursi tidak hanya berkhidmat sebagai ahli akademik, malahan beliau turut terlibat ke gelanggang dakwah dan konsisten membela dan memperjuangkan keadilan dan kebebasan, menentang segala bentuk kezaliman dan kekejaman. Beliau yang aktif sebagai ahli Maktab Irsyad (Dewan Syura) Ikhwanul Muslimin ini, ikut bertarung dan terpilih sebagai ahli parlimen untuk tempoh 2000-2005. Dan pada pilihanraya parlimen 2005, Dr. Mursi meraih suara terbanyak, mengalahkan musuh politiknya daripada Nasional Demokratic Party (NDP) parti Mubarak,namun setelah keluar keputusan yang tidak berpihak kepadanya, hingga dilakukan pemilihan semula yang memenangkan parti Mubarak.
Permasalahan lain yang menjadi perhatian utamanya adalah berkaitan Palestin dan Al-Quds, sebagai permasalahan Umat Manusia yang mempunyai hati nurani, dan tidak hanya permasalahan Bangsa Palestin sahaja, tapi menjadi permasalahan bersama umat Islam. Dr. Mursi terpilih sebagai ahli Majlis Penentangan Terhadap Zionisme di Wilayah Syarqiyah. Selain itu, Dr. Mursi juga terlibat sebagai pengasas Jawatankuasa Mesir Menentang Projek Zionisme.


Dr. Muhammad Mursi sangat terkenal dalam bidang akademik melalui pelbagai kajian dalam bidang industri yang menyentuh pengeluaran hasil bumi Mesir, malah beliau mempunyai puluhan kajian dalam menyelesaikan kajian permukaan logam yang dianggap sebagai bidang utama kepakarannya, sehingga kajiannya diiktiraf oleh NASA pada tahun sekitar lapan puluhan yang lalu.

Penjara dan Penangkapan

Dr. Mursi merupakan di antara pendakwah yang bergiat cergas dalam Jemaah Ikhwanul Muslim, perjuangan, pengorbanan, diri, jiwa dan harta telah diwaqafkan dalam jalan dakwah. Sedar dengan akibat yang akan dihadapinya, melawan kezaliman rejim dan sistem kezaliman, penjara, pengusiran, dan sebagainya, adalah istilah yang tidak pernah lepas dari benak para pejuang seperti dirinya.


Sikapnya yang terus menentang tindakan dan perilaku rejim zalim, menyebabkan beliau sering ditangkap. Selepas terjadinya pemalsuan parlimen pada pemilihan tahun 2005, Dr. Mursi menjadi tulang belakang dalam melakukan demonstrasi dan menyokong kehakiman yang bebas. Akibatnya, pada 18 Mei 2006, beliau ditangkap bersama 500 orang anggota Ikhwanul Muslimin di depan bangunan Mahkamah Cairo dan bangunan mahkamah Al-Jala di ibu negara Cairo, dan akibatnya beliau telah diheret ke dalam jeriji besi selama 7 bulan.


Dr. Mursi juga pernah ditangkap bersama-sama dengan sebahagian besar pimpinan Ikhwanul Muslimin yang lain, pada hari Jumaat pagi 28 Januari 2011 yang terkenal sebagai Jumaat Amarah (Jumaat Al-Gadhab) supaya beliau tidak terlibat dengan demonstrasi. Tidak hanya beliau yang dizalimi, keluarganya turut menjadi sasaran penangkapan, anaknya Dr. Ahmad ditangkap di saat Dr. Muhammad Mursi mencalonkan diri pada pemilihan tahun 2000.


Sebagai satu pengiktirafan karier politik perjuangannya selama lima tahun, Majlis Syura Ikhwanul Muslimin telah memilihnya sebagai anggota Maktab Irsyad, dan pasca Revolusi Mesir. Majlis Syura Ikhwanul Muslimin juga memilihnya sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) iaitu sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.


Perlu diungkapkan kembali bahawa Ikhwanul Muslimin selama lebih kurang 80 tahun berjuang demi sebuah keadilan dan kebebasan. Selama itu pula mereka ditindas dan dizalimi. Telah banyak jiwa dan darah yang mengalir sepanjang beliau berdakwah, bermula dari pengasasnya Assyahid Imam Hassan Al Banna, yang syahid terbunuh secara misteri, malah saat kematian Hassan Al Banna menyaksikan pejuang Islam ini telah dilayan dengan keji oleh pemerintah, disusuli Sayyid Qutub, Muhammad Al- Farigili, Abdul Qadir Audah, hingga As-Syahid Nashir Uwais, dia antara pemuda Ikhwan yang syahid pada Revolusi 25 Januari 2011.
Hari ini tokoh pejuang Ikhwanul Muslimin, Dr. Muhammad Mursi telah dinobatkan sebagai Presiden Mesir yang baru menggantikan Hosni Mubarak yang telah digulingkan atas suara-suara akar umbi Dataran Tahrir yang telah menyalakan api perjuangan demi sebuah pembaharuan yang dikehendaki oleh rakyat Mesir sendiri.


Kini di pundak Dr Mursi tergalas segala keringat dan air mata malah percikan darah juga menjadi saksi revolusi yang dicetuskan oleh rakyat untuk mengangkat dirinya sebagai pemimpin yang diharapkan untuk melakukan perubahan seterusnya mengangkat martabat Islamiah.

Pemain Bola Yang Hafal 19 juz Al Quran


LONDON – Pentas bola sepak Liga Perdana Inggeris banyak dihuni pemain-pemain beragama Islam yang datang dari luar negeri.

Bintang bolasepak Liga Premier Muslim yang menonjol kebanyakan berasal dari Perancis.

Diantara bintang bolasepak Muslim yang dikenali adalah pemain tengah Arsenal, Abou Diaby. Pemain 25 tahun berkewarganegaraan Perancis ini telah menghafal Al-Quran hingga 19 juz.

Dalam akaun twitter, salah satu pengajar Ebrahim Collage di London, Mufti Muhammad, @ Mufti_Muhammad_ mendedahkan seorang bintang bolasepak yang datang ke Emirates Stadium Arsenal pada tahun 2006 itu hafal 19 juz Al-Quran.

Bagi Diaby, kunjungan ke Ebrahim Collage adalah perkara biasa. Sebab ia berasa selesa berada dalam komunitinya, seperti diterangkan Republika Online.

“In conversation with Arsenal Footballer Abu Diaby @ Ebrahim college dinner tonight, who s memorised 19 ajza of Qur’an! (Dalam perbincangan dengan pemain Arsenal Abu Diaby di Ebrahim Collage pada tiap kali makan malam, siapa yang hafal 19 juz Al-Quran,” sentil Mufti Muhammad kepada Diaby.

Muslim Rohingya

Sifat sosial Abou Diaby yang sangat perhatian terhadap umat Islam yang lain juga ia tunjukkan, apabila dirinya terlibat dalam penggalangan dana untuk Muslim Rohingnya di London Muslim Center.

Dalam acara penggalangan dana itu, Abou Diaby melelong jersey (kostum) Arsenal miliknya untuk Muslim Rohingnya.

Di Arsenal sendiri ada beberapa pemain yang tercatat beragama Islam, antaranya Abou Diaby, Bacary Sagna, dan sebelumnya ada Samir Nasri dan Kolo Toure yang kini mempertahankan Manchester City.

Sementara itu, pemain Muslim Arsenal lain yang komited terhadap Islam adalah bek muda Armand Traore. Namun jebolan Akademi Arsenal kelahiran 8 Oktober 1989 itu kini berpindah kelab di Queens Park Rangers.

Pemain pasport Perancis keturunan Senegal ini telah lama memeluk Islam dan pada 2009 lalu ketika masih mempertahankan Arsenal ia mula “sedar” untuk menghilangkan seluruh tatu yang dilakarkan di tubuhnya.

“Saya rasa ini (tatu) menjadi kesalahan terbesar dalam hidup saya, tapi saya akan cuba meluruskan segalanya,” ungkap Traore.

“Agama saya telah memberi keuntungan kepada kehidupan dan kerjaya saya. Saya selalu menjadi muslim tapi tidak pernah mempraktikannya dan saya hanya berkata ‘saya seorang muslim’,” jelasnya. ~detikislam