Air terjun pelangi di Sungai Lembing
Pahang yang menakjubkan pengunjung tetapi berhati-hatilah, malang tidak berbau. Sumber foto acham
KUANTAN: “Saya hairan bagaimana anak saya boleh hilang sedangkan dia
berjalan di tengah-tengah antara kami lima beranak. Sebelum itu saya
lihat dia begitu ceria berlari-lari bersama dua beradiknya yang lain.
“Sebaik menyedari kehilangannya, hati saya terus terdetik sesuatu
yang buruk menimpanya dan cuba mencari di kawasan sekeliling namun
gagal,” kata Chan Tah Jek, 45, bapa kepada murid tahun tiga yang ditemui
mati dalam sebuah lubuk di kawasan perkelahan Air Terjun Pelangi,
Sungai Lembing, dekat sini.
Dalam kejadian jam 1 tengah
hari kelmarin, Chan Pek Sheng, 9, hilang ketika dia bersama empat ahli
keluarganya dan empat sanak saudara lain dalam perjalanan turun dari
kawasan perkelahan itu.
Bagaimanapun, mayat kanak-kanak itu hanya ditemui jam 1.30 tengah
hari semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat membabitkan Polis
Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan dibantu penduduk kampung
berhampiran.
Tah Jek berkata, mereka pergi ke kawasan air
terjun berkenaan pada jam 6.40 pagi kelmarin kerana tertarik dengan
kisah keindahan pelangi selain mahu membawa tiga anaknya berseronok
sempena cuti sekolah.
Katanya, sebelum kehilangan anak
bongsunya itu disedari, dia melihat mangsa bergelak ketawa bersama dua
beradiknya yang lain, namun tidak menyangka itu kali terakhir dia
melihat anaknya.
“Salah seorang anak memaklumkan Pek Sheng berjalan bersama saya
sedangkan saya langsung tidak melihatnya ketika itu.
“Saya hanya mampu berdoa agar Pek Sheng dijumpai dengan selamat
walaupun saya tahu harapan itu agak tipis. Saya tidak sangka keseronokan
kami berakhir dengan kejadian sedih ini,” katanya yang tinggal di
Kluang, Johor.
Tah Jek membuat laporan kehilangan anaknya itu di Balai Polis
Sungai Lembing sebelum gerakan mencari dan menyelamat dimulakan jam 2
petang kelmarin. Bagaimanapun, operasi dihentikan jam 6 petang berikutan
cuaca gelap.
Sementara itu, Penguasa Kanan 1 Bomba di
sini, Zulfahmi Sutaji berkata, mayat mangsa ditemui dalam sebuah lubuk
oleh penduduk kampung kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi kali
terakhir mangsa dilihat.
“Selepas mendapat maklumat dari
penduduk tempatan, anggota saya terus menyelam ke lubuk berkenaan dan
menjumpai mayat mangsa di dasar lubuk itu dan dibawa keluar.
“Punca kejadian masih lagi disiasat dan tidak menolak kemungkinan
mangsa tergelincir ke dalam lubuk berkenaan sebelum lemas,” katanya
ketika di temui di Balai Polis Sungai Lembing selepas operasi berkenaan
dihentikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan,
Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, semakan mendapati
keluarga itu tidak memaklumkan kepada mana-mana pihak berkuasa sebelum
memasuki kawasan air terjun berkenaan.
“Kejadian ini boleh
dielak jika mana-mana pihak yang ingin memasuki kawasan rekreasi bagi
berkelah atau berkhemah memaklumkan terlebih dulu kepada pihak berkuasa.
Ini bagi memudahkan kami merekodkan setiap butiran dan memberikan
nasihat kepada mereka untuk tujuan keselamatan.
“Selain
itu, kawasan rekreasi juga perlu dilengkapi papan tanda amaran mencukupi
bagi memberi maklumat kepada pengunjung di samping menyediakan
kemudahan yang mencukupi untuk keselesaan pengunjung,” katanya.
metro/