Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Khamis, 29 Disember 2011

PRU 13 : PAS kecilkan jumlah kerusi di Johor


JOHOR BAHARU: PAS negeri Johor memutuskan untuk mengurangkan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad berkata, mereka “menyerahkan” lebihan kerusi yang pernah ditandingi pada PRU 2008 kepada DAP dan PKR.

“Kesemua kerusi Dun dan Parlimen di Johor yang diserahkan PAS kepada DAP dan PKR itu merupakan kawasan campuran berdasarkan kedua-dua parti itu mempunyai kekuatan di kawasan terbabit,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Katanya, PAS Johor membuat keputusan untuk bertanding di lapan kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dun pada PRU-13, berbanding sembilan Parlimen dan 33 Dun pada PRU 2008.

Menurut Dzulkefly, pada 2008 PAS Johor bertanding di banyak kawasan kerana menyedari PKR Johor pada ketika itu tidak mempunyai kekuatan dan disebabkan kerana enggan memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN).

Pada PRU 2008, PAS Johor memenangi dua kerusi Dun iaitu di Maharani dan Sungai Abong.

Mengenai peluang PAS Johor pada PRU-13, Dzulkefly meramalkan dengan suasana politik negara pada ketika ini yang memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat, ia mampu membuat kejutan dengan “memecah kubu BN” di Johor.

“Kita berkeyakinan jika ‘gelanggang pertandingan adalah sama rata,’ Pakatan Rakyat Johor mampu memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi Dun untuk memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Johor yang merupakan kubu kuat BN mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dun.

Kata beliau, senarai calon-calon PAS Johor yang akan bertanding pada PRU-13 telah pun siap, tetapi ia perlu diperakui oleh kepimpinan parti pada peringkat pusat.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan