Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Sabtu, 24 Disember 2011

Kemelut Ekonomi :Laluan MAS terpaksa ditutup







MAS Bakal Gulung Tikar ??


Malaysia Airlines (MAS) akan menggantung empat lagi laluan yang melibatkan rangkaian serantau Sabah awal tahun depan. Langkah berkenaan merupakan tambahan kepada pelaksanaan perasionalan yang melibatkan lapan laluan rangkaian antarabangsanya yang diumumkan minggu lepas.

Penggantungan berkenaan meliputi perkhidmatan dua kali seminggu laluan Kota Kinabalu-Osaka mulai 6 Jan, perkhidmatan tiga kali seminggu bagi laluan Kota Kinabalu-Perth dari 31 Jan, penerbangan empat kali seminggu bagi Kota Kinabalu-Haneda mulai 1 Feb, dan penerbangan empat kali seminggu bagi laluan Kota Kinabalu-Seoul dari 21 Feb.

"Penggantungan ini sehingga dimaklumkan kelak dan merupakan sebahagian daripada penyatuan rangkaian serantau yang melibatkan operasi pesawat satu lorong," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Jauhari Yahya dalam satu kenyataan.

"Kami akan mengkaji semula keadaan ini dalam masa kira-kira tiga bulan dari tarikh penggantungan laluan pertama dan akan memutuskan selanjutnya menjelang awal April 2012," katanya.

Semasa penggantungan itu, Ahmad Jauhari berkata MAS akan mengambil kesempatan daripada operasi perkongsian kod sedia adanya dengan Korean Air untuk menawarkan perkhidmatan penyambungan secara terus antara Sabah dan Korea Selatan menggunakan penerbangan terus pergi balik Seoul-Kota Kinablau.

"Kami juga akan terus menawarkan sambungan antarabangsa secara langsung ke Kota Kinabalu melalui penerbangan harian B737 sedia ada kami dari Hong Kong dan Taipei."

Di samping itu, beliau berkata, MAS juga akan menggunakan 86 penerbangan mingguan sedia ada antara Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengadakan sambungan segera kepada penumpang yang memilih penerbangan perkhidmatan penuh antara Sabah dan bandar-bandar Perth, Tokyo dan Osaka.

Dalam kenyataan itu, Malaysia Airlines menyatakan kekesalan di atas segala kesulitan penumpang akibat penggantungan laluan ini dan memberi jaminan akan memenuhi semua tempahan awal sehingga kini bagai laluan yang terlibat.

Syarikat akan menawarkan syarikat penerbangan alternatif, yang ditanggung kosnya, untuk meminimumkan ketidakselesaan penumpang, katanya.

Bagi operasi Sandakan-Kuala Lumpur, Malaysia Airlines akan terus menawarkan penyambungan ini melalui Kota Kinabalu, perkhidmatan 22 kali seminggu dari Sandakan dan 25 kali seminggu dari Kuala Lumpur, kedua-duanya dengan menggunakan penerbangan harian B737 dan perkhidmatan harian MASwings ATR yang kini beroperasi di antara Sandakan dan ibu negeri Sabah. ~bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan