Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Jumaat, 9 Disember 2011

Kurangkan Musuh Banyakkan Kawan : Fahami Pemikiran Kami


Pola pemikiran umat islam

Topik seterusnya yang tidak kurang penting untuk kita memahaminya dalam rangka kita ingin melihat perjuangan menegakkan islam secara menyeluruh dapat direalisasikan ialah dengan kita memahami pertarungan pemikiran yang berlaku dalam kotak pemikiran umat islam di zaman ini.

Di antara perkara yang mesti diberikan perhatian sewajarnya dalam usaha-usaha pembaharuan ialah mengutamakan setiap perkara yang berhubung dengan perlurusan pemikiran,pembetulan persepsi dan penilaian kembali metodologi pemandangan dan amal.Perkara ini sangat di perlukan sekali bagi setiap usaha pembaharuan yang diidamkan,kerana sesuatu yang mustahil apabila kita mengharapkan kerja-kerja akan berjalan dengan lurus namun pemikiran yang menjadi landasannya bengkok,seperti kata pepatah;

“Sampai bila bayang-bayang akan lurus jika kayu
yang dipancangnya bengkok”.

Barangsiapa yang memiliki persepsi buruk tentang sesuatu maka akan demikian pulalah sikapnya terhadap sesuatu itu,kerana sikap dan tingkahlaku adalah merupakan simbol dan perlahiran dari persepsi dan pemahaman terhadap sesuatu samada yang baik ataupun yang buruk.

Atas dasar ini pertarungan di medan pemikiran yang bertujuan untuk meluruskan persepsi salah dan bengkok adalah sangat penting dan mesti di beri keutamaan keatas usaha-usaha yang lain dan ianya merupakan satu jenis dari jihad yang besar dengan menggunakan Al-Quran sebagai senjata utama seperti yang disebutkan dalam surah Al-Furqan yang diturunkan pada period Makkah.Di samping ianya juga merupakan satu bahagian daripada jenis jihad dengan lisan dan penerangan seperti yang dijelaskan Baginda Nabi saw yang bermaksud :

”Jihadlah olehmu akan orang-orang musyrikin dengan menggunakan harta,jiwa dan lidahmu”.(hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal-Musnad juz 3 hlm 124 dan 153)

Pertarungan pemikiran di kalangan umat islam

Medan pertarungan pemikiran terjadi pada dua tempat:

PERTAMA: Di luar kalangan umat islam iaitu dengan kelompok mulhidin(kuffar)
Missionari dan kaum orientalis yang sedang melancarkan serangan terhadap islam samada dari segi aqidah,syariat,ilmu-ilmu warisan islam dan peradabannya.Mereka selalu siap sedia melancarkan serangan terhadap setiap jenis kebangkitan atau kesedaran umat yang diilhami islam dimana sahaja dan bila-bila masa.

[ Dari situ kita dapat menilai setiap gerakan atau organisasi islam yang membawa konsep atau method yang sama seperti yang dipraktikkan oleh Rasulullah saw,Khulafa ar-Rasyidin dan kerajaan islam selepas itu maka gerakan tersebut akan menghadapi mehnah dan tribulasi yang sama seperti yang pernah dialami oleh umat islam terdahulu samada mereka diburu,dibunuh,dipenjara dan di seksa atau digelar dengan pelbagai gelaran yang negatif.]

KEDUA: Di tengah-tengah umat islam sendiri.Seperti telah kita ketahui di tengah-tengah masyarakat islam ada beberapa kelompok dan aliran pemikiran yang berkembang,Antaranya:

Aliran Khurafat (Al-Tayyar Al-Khurafi)

Aliran ini memiliki asas-asas pemikiran dan ciri-ciri khas antara lain seperti berikut:

1) Ada unsur-unsur khurafat di dalam aqidah
2) Ada unsur-unsur bida’ah dalam masalah ibadah
3) Ada kejumudan (vacum) di dalam cara-cara berfikir
4) Mengikut cara takliq (mengikut sahaja) dalam masalah feqah
5) Ada unsur-unsur negatif dalam sikap dan tingkah laku
6) Sentiasa bertolak ansur dan mengalah dalam masalah politik


Aliran Tekstual (Al-Tayyar Al-Harfi)

Aliran ini meskipun memiliki sikap keras mempertahankan ajaran agama,namun begitu mereka memiliki ciri-ciri tersendiri yang dapat kita nampak dari para ahlinya,antara lain:

1) Suka berdebat dalam perkara aqidah
2) Mementingkan penampilan dalam urusan aqidah
3) Mengambil makna yang zahir sahaja dalam masalah feqah
4) Sering mementingkan sebahagian perkara sahaja
5) Semangat kerohanian (spiritual) yang nipis dan lemah
6) Bersikap keras dan tegas dalam cara-cara berdakwah
7) Berpandangan sempit dalam masalah khilafiyah
(tidak akomodatif)


Aliran keras dan tidak kompromi (Tayyar Al-Rafd wa Al-’Unf)

Aliran ini cenderung menolak semua bentuk sistem yang berlaku di tengah-tengah masyarakat meskipun banyak pendukungnya memiliki semangat perjuangan yang berkobar-kobar dan keikhlasan yang tinggi,namun ada beberapa ciri khas yang boleh kita nampak,antaranya:


1) Sikap tegas, keras dan komitmen yang tinggi dalam perkara agama
2) Keyakinan diri yang tinggi terhadap sikap perjuangannya sehingga memandang rendah terhadap seluruh unsur yang wujud di tengah masyarakat
3) Sikap curiga terhadap semua pihak yang lain
4) Memiliki cara berfikir yang sempit dalam memahami ajaran agama,realiti semasa dan sunnah Allah yang berlaku di dalam kehidupan ini.
5) Ingin segera memetik hasil perjuangan sebelum waktunya
6) Bersikap gopoh dalam menyalahkan pihak lain


Aliran yang terakhir adalah Aliran Keadilan yang akan di sebut ciri-cirinya pada kupasan yang akan datang...........

Aliran Keadilan ( al-Tayyar Al-Wasati )

Asas aliran ini ialah : keseimbangan dan keadilan di dalam memahami hakikat agama,kehidupan dan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah Ta’ala.aliran ini juga mempunyai ciri-ciri khusus seperti yang lain,namun mereka banyak memberikan tumpuan kepada hal-hal seperti berikut:

1) Memahami agama dengan cara menyeluruh,seimbang dan mendalam

2)Memahami reality kehidupan dengan lengkap.Semuanya diambil kira samada reality kaum muslimin ataupun reality semua musuh-musuh islam

3)Memahami benar sunnah Allah yang berlaku di dalam kehidupan ini yang tidak pernah berubah dan berganti

4) Memahami maqasid syariah ( maksud-maksud ) secara syumul dan tidak bersikap static (jumud) terhadap makna-makna yang zahir sahaja

5)Memahami erti kata keutamaan dan priority di dalam langkah-langkah perjuangan yang berkaitan langsung dengan kefahaman pertimbangan antara tugas-tugas yang dijalankan

6)Memelihara cara keterbukaan dan tolak ansur dalam urusan khilafiyah dengan aliran-aliran perjuangan islam yang lainnya.Kaedah mereka adalah ;Bekerjasama dalam perkara-perkara yang disepakati dan saling bermaafkan dalam perkara yang masih diperselisihkan.
7) Menggabungkan antara aliran salafiyah dan pembaharuan atau dengan kata lain;antara ciri keaslian dan tuntutan kemodenan

8) Mempadukan antara keaslian hukum syara’ dengan perubahan zaman

9) Membuka pintu untuk berdialog dengan pihak-pihak lain iaitu dengan golongan bukan islam atau dengan kelompok muslimin yang telah terjajah pemikiran dan mentalitinya oleh pengaruh barat.

10)Menampilkan islam sebagai satu-satunya alternative dalam pembangunan peradaban manusia yang intergrated dan menyeluruh demi menyelamatkan mereka dari kongkongan dunia materialisme

11)Menjadikan jihad sebagai satu cara untuk melindungi kemuliaan umat islam dan negaranya.

Aliran inilah yang menjadi ikutan kami dan sentiasa kami menyeru kepada kaum muslimin untuk menjadikannya sebagai satu jalan perjuangan menuju kepada kejayaan islam,kerana ianya selari dengan ajaran-ajaran al-Qur’anul Karim dan pedoman yang diberikan oleh Rasulullah saw dalam sunnah dan sirahnya dan telah pun dijadikan pedoman oleh para Khulafa al-Rasyidin,para sahabat dan generasi tabiin dan seterusnya yang termasuk dalam generasi pilihan.

Satu fakta yang tidak dapat dinafikan pada hari ini bahawa pihak-pihak yang memusuhi islam dan kebangkitannya,samada yang bersarang dalam tubuh umat islam sendiri ataupun dari luar,sangat gerun terhadap aliran ini daripada aliran yang lain.Bahkan lebih dari itu mereka lebih memusuhi gerakan aliran Keadilan islam ini lebih daripada yang lainnya.

Fakta sejarah dan semasa telah membuktikan hal tersebut apabila ramai tokoh-tokoh yang lahir daripada aliran ini (Ikhwanul Muslimin, AKP, Hamas, FIS , PAS, PKS, dan lain-lain) yang telah dibunuh ataupun ditangkap lalu diseksa menerusi berbagai komplot yang diatur rapi oleh pihak musuh islam khususnya puak yahudi Zionist, gerakan kristian,pemimpin umat islam yang menjadi talibarut ataupun komunis.

Oleh itu amat bertepatanlah sekali Firman Allah yang mafhumnya;

“Dan tidak akan sekali-kali redha ke atas kamu yahudi dan nasara, sehinggalah kamu mengikuti ajaran (millah ) mereka” (Al-Baqarah ayat 120).

Secara ringkasnya pengajaran yang boleh kita ambil daripada ayat di atas ialah:

1) Musuh islam sekali-kali tidak akan membenarkan umat islam mempraktikkan system islam secara menyeluruh sebagaimana yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah saw,Khulafa ar-Rasyidin dan generasi pilihan.

2) Sekiranya mereka mendapati system/sunnah tersebut cuba dipraktikkan maka mereka akan segera menghalanginya samada dengan melancarkan perang,memburu dan membunuh tokoh-tokoh utama gerakan itu ataupun memburuk-burukkan gerakan tersebut dengan memberi label yang negative supaya manusia lain membenci gerakan tersebut.

3) Neraca untuk menilai samada sesebuah gerakan islam itu menepati sunnah perjuangan para nabi dan rasul serta para sahabat adalah apabila ia di musuhi oleh dua musuh islam yang utama tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan