Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Ahad, 9 Oktober 2011

Ada wang tapi hutang keliling pinggang







Jika Kerajaan ada duit kenapa perlu berhutang hingga mencecah RM437 Billion?

Dalam Buletin Utama yang disiarkan oleh TV3 tadi, ketika ditanya sama ada kerajaan mampu melaksanakan Bajet 2012 selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kundang dengan angkuhnya Najib menjawab “Kalau tak ada duit tak kan saya berani bentang semalam. Saya akan melakukan satu perbuatan membunuh diri dari segi politik kalau saya buat, saya bentang satu bajet yang tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan,”


Najib kata Kerajaan ada duit untuk melaksanakan budgetnya yang berjumlah RM232.8 Billion itu.. tapi dalam masa yang sama juga Bank Negara telah melaporkan hutang negara telah mencecah RM437 Billion.

Timbul persoalan disini.. Jika kerajaan yang ada sekarang ada duit kenapa perlu berhutang sehingga mencecah RM437 Billion?

Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun 2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.

PM: ‘Jika tak ada duit tak akan saya berani’ bawa bajet RM232b
October 08, 2011

RAWANG, 8 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan sememangnya mampu termasuk daripada segi kewangan untuk melaksanakan Bajet 2012 yang dibentangkan semalam.

“Kalau tak ada duit tak kan saya berani bentang semalam. Saya akan melakukan satu perbuatan membunuh diri dari segi politik kalau saya buat, saya bentang satu bajet yang tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan mampu melaksanakan Bajet 2012.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet dengan dana RM232.8 bilion.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kundang dan melawat cadangan jalan pintas menghubungkan Kampung Baru Kundang dengan Bandar Tasik Puteri Rawang di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, katanya, kerajaan memang berkemampuan dan rakyat hanya perlu menunggu pelaksanaannya.

Mengenai Belanjawan Bayangan Pakatan Rakyat RM220 bilion yang berbeza hanya kira-kira RM10 bilion dengan Belanjawan Kerajaan RM232.8 bilion, Najib berkata, soalan mengapa nampaknya nilai belanjawan pembangkang dengan kerajaan semacam hampir sama hendaklah diajukan kepada pembangkang.

“Itu kena tanya dia sebab bajet kita ni cara telus orang tahu, orang tahu bajet kita, barangkali dia tahu bajet kita. Jadi apa yang kita buat dalam lingkungan kemampuan kita dan kemampuan kita pun, kita telah bagi tahu daripada segi apa kita mampu lakukan,” katanya.

Mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa pengumuman beliau untuk mengkaji dan menaikkan elaun dan kemudahan anggota Parlimen jika disetujui kedua-dua pihak, tidak disokong oleh anggota pembangkang, seperti yang dilaporkan oleh laman Malaysiakini.

Najib berkata beliau difahamkan anggota-anggota Parlimen pembangkang mahukan kajian semula elaun mereka dan beliau hairan Ketua Pembangkang berkata sebaliknya.

Mengenai dakwaan Ketua Pembangkang bahawa belanjawan negara yang dibentangkan semalam tidak realistik, Najib berkata Belanjawan Negara dibuat berdasarkan fakta yang amat diketahui oleh kerajaan dan melibatkan banyak pihak termasuk pegawai-pegawai daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Jadi tidak mungkin mereka ini tidak mengetahui apa yang patut dibentangkan daripada segi fakta untuk keputusan Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.

Jadi apa pun yang penting sekali ialah pelaksanaannya dan apabila pelaksanaannya nanti berkesan segalanya akan terjawab dengan sendirinya, kata beliau.

“Kalau dikatakan tidak realistik maknanya kita tidak mungkin memenuhi janji-janji kita seperti terkandung dalam Belanjawan 2012 sebaliknya saya nak tahu apa yang dia akan kata kalau kita dapat melaksanakannya. Itu akan menjawab segalanya,” kata Perdana Menteri.

Mengenai reaksi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa kurang berita gembira untuk pekerja swasta berbanding kerajaan dalam belanjawan kali ini, beliau berkata faedah untuk kakitangan swasta bergantung kepada rundingan mereka dengan majikan masing-masing.

“Kita tak boleh mengarahkan pihak swasta tapi kita harap melalui rundingan terutama sekali bila kita telah wujudkan mekanisme untuk menentukan gaji minimum mereka boleh menimbangkan gaji minimum yang munasabah bagi setiap sektor pekerjaan,” katanya.

Mengenai perkembangan jentera Barisan Nasional (BN) Selangor selepas konvensyennya dua minggu lepas, Najib berkata jentera BN semakin bersemangat dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 semakin bertampah rapi tetapi mereka perlu berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.

Sebelum itu semasa berucap di Majlis Mesra Rakyat, beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan membina satu jalan pintas menghubungkan Kampung Baru Kundang dengan Bandar Tasik Puteri Rawang sejauh 3.2 km dengan kos RM4.2 juta.

Beliau berkata jalan ini akan memberikan manfaat kepada 10,000 penduduk sekitar apabila masa perjalanan dapat disingkatkan kepada lima minit berbanding dengan 30 minit jika mengikut jalan lama sejauh 20 km.

Najib juga berkata pihaknya akan berbincang dengan syarikat yang mengendalikan Lebuh Raya Latar yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Selangor supaya dapat menyediakan satu jalan keluar dari lebuh raya itu ke Kundang.

Beliau dimaklumkan pada masa ini hanya terdapat jalan masuk dari Kundang ke lebuh raya itu dan beliau berharap syarikat yang mengendalikan lebuh raya tersebut akan bersetuju dengan pembinaan jalan keluar ke Kundang dari Lebuh Raya Latar.


The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan