Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Jumaat, 16 Mac 2012

Institusi Zakat Diragui Rakyat

Pelaburan Zakat di Malaysia Perlu dinilai Kembali

Oleh: DrTakiri

"Bangi 15hb Mac 2012. Pelaburan harta zakat di Malaysia perlu dinilai kembali. Hal ini kerana zakat adalah hak mutlak 8 golongan yang digelar Asnaf Zakat iaitu orang faqir, miskin, amil zakat, golongan muallaf, hamba yang membebaskan dirinya daripada perhambaan, golongan yang berhutang, fi sabilillah dan ibn sabil sebagaimana disebut oleh Allah dalam surah Taubat ayat 60. Selagi mana 8 golongan ini wujud maka yang wajibnya ialah mengagihkan zakat kepada mereka.

Melaburkan harta zakat akan mendedahkan harta zakat kepada 3 keadaan, iaitu samada menangguhkan agihan zakat kepada mereka, atau menghalang zakat sampai kepada mereka sepenuhnya, atau mendedahkan harta zakat kepada kerugian perniagaan menyebabkan hilangnya wang zakat yang sepatutnya menjadi milik mereka.

Kerana itu kebanyakan ulama semasa tidak membenarkan pelaburan wang zakat. Malah Ulama yang mengharuskan pelaburan wang zakat mensyaratkan bahawa pelaburan hanya boleh dibuat selepas keperluan Asnaf Zakat telah dilunaskan. Keputusan Lembaga Fiqh menyebut; harus secara dasarnya menggunakan wang zakat dalam projek-projek pelaburan yang berakhir kepada memberikan pemilikan kepada Asnaf Zakat atau pelaburan oleh agensi agama yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpul dan mengagihkan zakat dengan syarat ianya berlaku selepas dilunaskan keperluan yang mendesak lagi segera bagi golongan yang berhak dan juga dengan syarat adanya jaminan-jaminan sepenuhnya tidak berlaku kerugian"

Ada dua persoalan yang perlu dirungkai di sini dalam konteks pengurusan zakat di Malaysia.

Pertamanya, adakah segala keperluan Asnaf Zakat telah ditunaikan, sehingga segala orang faqir dan miskin sebagai contoh telah terbela?

Kedua, adakah di sana terdapat perniagaan dan pelaburan yang tidak terdedah kepada kerugian?

Praktik semasa agensi zakat di Malaysia telah mendedahkan beberapa kegagalan pelaburan zakat seperti yang berlaku paa beberapa negeri.

Oleh itu, Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat yang bermesyuarat semalam pada 14hb Mac 2012 mencadangkan agar:-
  1. Fatwa yang membolehkan zakat dilaburkan dinilai semula dalam konteks Malaysia. Memastikan semua Asnaf Zakat telah mendapat hak mereka.

  2. Menilai kembali pengurusan institusi zakat sedia ada untuk dilihat sejauh mana ia benar-benar telus dan amanah.

  3. Menilai kembali ketelusan agihan harta zakat di semua negeri-negeri di Malaysia.

  4. Meletakkan pengurusan zakat seluruh Malaysia di bawah pemantauan sebuah Kementerian baru iaitu Kementerian Wakaf, Haji dan Zakat tanpa menafikan hak setiap negeri untuk memungut dan mengagihkan zakat.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat

http://ulamak.pas.org.my"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan