Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Khamis, 13 Januari 2011

Hijrah kepada PR atau lompat kepada BN




Benarkah Anwar kehilangan detik saat terbaik selepas kegagalan rancangan 16 September?


Oleh Lim Hong Siang

Agak zalim seandainya sejarah dinilai sekadar pada kayu ukur menang-kalah. Dari sudut ini, Anwar Ibrahim mungkin dinobatkan sebagai tokoh besar jikalau rancangan 16 September 2008 berjaya untuk menukar kerajaan persekutuan.

Namun, apa yang berlaku sebaliknya, Anwar dituding jari apabila Barisan Nasional merampas kerajaan negeri Perak dari Pakatan Rakyat pada Februari 2009, dengan cara "lompat parti", sebagaimana yang diuar-uarkan Anwar sebelum ini.

Persepsi umum menganggap PR hilang asas moralnya (moral ground) untuk mengecam taktik BN kerana pendekatan "lompat parti" inilah yang disarankan Anwar sebelum ini. Malah, Pengerusi DAP Karpal Singh mendesak Anwar untuk berundur sebagai Ketua Pakatan Rakyat selepas rampasan kuasa berlaku di Perak.

Melihat kepada senario terkini, mungkin tidak kurang yang pesimis terhadap misi PR untuk menawan Putrajaya pada PRU ke-13. "Program 100 hari" yang dijanjikan Konvensyen PR pada 19 Disember 2010 - selepas siri kejadian negatif yang menimpa PR - tidak menerima sambutan memberangsangkan sebagaimana yang diharapkan.

Situasi terkini mencungkil beberapa persoalan, apakah Anwar telah kehilangan detik saat yang terbaik untuk menjatuhkan kerajaan persekutuan BN selepas 16 September 2008? Ia semestinya berbeza jikalau "Program 100 hari" diumumkan pada tahun 2008. Lantas ia mencungkil persoalan selanjutnya, mengapa tumpuan PR dialihkan kepada rampasan kuasa, sedangkan beberapa agenda terpenting seperti reformasi sistem pilihan raya, kehakiman, kebebasan media tidak diberi keutamaan yang setimpal pada ketika itu?

Malah, mungkin ramai yang masih meragui "30 kerusi" yang bakal berhijrah, seperti dakwaan Anwar Ibrahim ketika itu. Fenomena "keluar parti" selepas itu menambah kesangsian itu, apakah ia sekadar strategi Anwar untuk mengekalkan ahli parlimennya dalam PR - agar pakatan ini dimantapkan sementara meletakkan musuhnya dalam kedudukan bertahan?

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 6 Januari 2011 di pejabatnya, Anwar tetap mempertahankan rancangan 16 September-nya ketika dihujani pelbagai soalan yang mempertikaikannya. Beliau mengakui dirinya tahu sebelum kejadian "keluar parti" berlaku, meskipun tidak menguasai maklumat sepenuhnya, tetapi menafikan bahawa rancangan 16 September dibuat berdasarkan perkiraan tersebut.

Hilang asas moral dalam kes Perak

MR: Bagaimana kalau saya katakan, dengan adanya rancangan 16 September 2008 itu, ia menyukarkan Dato Seri untuk mempertahankan pendirian Pakatan Rakyat, bila Barisan Nasional merampas kerajaan negeri Perak dengan cara yang sama?

Anwar: Tak betul...

MR: Sebab ia melibatkan lompat parti. Dato Seri mendakwa lebih 30 orang ahli parlimen yang bakal melompat pada 16 September. Method lompat parti untuk menukar kerajaan ini digunakan dalam negeri Perak.

Anwar: Method lompat parti ini (digunakan) sejak tahun 1960-an dah-lah. Pastikan sejarah kamu betul. (Tahun) 1959 dah berlaku. Jadi, bukan masalah orang pindah parti. Dia pindah dengan program PR pada masa itu. Program yang kita (utarakan), maknanya dia pindah... orang yang menyetujui program, agenda PR, ok?

Kalau dia setuju, dia pindah, jumlah cukup, baru berkenan Raja. Isunya itu ialah agenda Pakatan. Baru lagi kerajaan ditubuhkan... siapa yang setuju agenda baik BN, kekal BN. Siapa yang setuju agenda PR, sertai PR.

MR: Tetapi pada pesepsi umum, mereka lihat PR hilang moral ground itu untuk mengkritik rampasan kuasa di Perak, sebab...

Anwar: Rampasan kuasa itu dengan apa? Kamu ugut orang, kamu beli orang? Kita bawa agenda. Kamu setuju tak kita pindah ISA, atau batalkan ISA? Kamu setuju tak Agenda Ekonomi Baru Malaysia?

Maknanya tak boleh? Orang itu mesti kekal? Makna saya kena kekal UMNO-lah, kalau itu argument-nya. Kita masuk dengan PR, siapa saja setuju agenda perjuangan PR, maka dia diterima.

MR: Tapi alasan ini juga boleh digunakan oleh UMNO-BN...

Anwar: Tapi kita bagi bukti, orang itu kena ugut, orang itu kena charge mahkamah. Orang itu ada hutang. Dan dia tak bagi tahu kata dia tak sokong agenda PR, apa dia?

MR: Pada ketika itu, 16 September, rata-rata melihat saat itu adalah kemuncak sentimen rakyat untuk menyokong PR...

Anwar: Masa itulah ya...

MR: Yang tsunami politik itu dicetuskan kerana masalah rasuah...

Anwar: Ya, agenda Pakatan. Jadi ahli-ahli parlimen Sabah dan Sarawak yang setuju agenda itu, termasuk peminggiran masyarakat Sabah, Sarawak. Kalau dia setuju, dia dalam BN. Tapi dia kata, Sarawak dia terpinggir. Dia datang jumpa, dia kata kita nak jadi sebahagian daripada program baru ini. Apa hak kamu nak nafikan dia? (Alasan diberikan) "Oh, tidak, tidak, sebab kamu bertanding atas tiket BN, kamu tak boleh sokong agenda PR." Tak boleh! Dia kata dia mahu, 'masyarakat kita terpinggir, kita nak ikut Pakatan', pada masa itulah....

MR: Tetapi bagaimana pandangan Dato Seri, pada ketika itu, soalnya ISA, sistem pilihan raya. Dia (isu-isu ini) dialihkan kepada rampasan kuasa untuk menawan Putrajaya?

Anwar: Dia masuk dengan agenda itu, kita jelas. Maknanya siapa saja masuk PR, dia mesti tolak ISA, dia mesti terima Agenda Ekonomi Baru Malaysia, itu sahaja. Apa hak kamu nak nafikan hak sesiapa, yang dalam UMNO, ahli UMNO atau ahli MCA yang kata "Now I have decided to join PR, because I reject ISA dan sebagainya..."

MR: Maksud soalan saya, fokus itu sebenar pada agenda-agendanya. Tetapi pada kemuncak itu, dia dialihkan kepada...

Anwar tetap tegas, bahawa PR menekankan agenda pada ketika itu, dan menerima mereka yang sanggup membawa perubahan bersama dasar PR. Beliau menolak tafsiran wartawan bahawa isunya dialihkan. Anwar kelihatan jelas enggan mendalami isu tersebut, apabila menepuk tangannya untuk meminta isu selanjutnya.

Pakatan "under siege"

MR: Kita melihat baru-baru ini PR keluarkan Program 100 hari...

Anwar: Maknanya kalau masa itu pun (16 September), program yg sama. PR, kita tak pernah berganjak dari prinsip itu. Mengapa saudara (wartawan) nak tafsir berbeda, seperti mana UMNO suarakan?

UMNO yang mengatakan, kalau PR ini... kita compromise. Kita jawab masa itu lagi, apa yang kita compromise? Prinsip kita tak compromise. Dasar ekonomi, siapa yang masuk, (dari) Sabah, Sarawak, bekas UMNO, kita tak kira. Kamu masuk PR, ini prinsipnya.

Prinsip ini, kita kemudian formulate, kita olah dengan cara terperinci dalam Konvensyen PR terbaru.

MR: Ia mungkin sudah kurang memberangsangkan?

Anwar: Memberangsang atau tidak ini masalah lain. Masalah kurang memberangsangkan kerana Perdana Menteri baru tukar, kempen yang berbeda, orang punya expectation (harapan) berbeda di negeri-negeri, dan isu juga berbeda. Itu biasa, nak sustain (kekalkan). Orang yang fikir masa itu enthusiasm dia boleh tubuh kerajaan cepat, dia sokong. Dia nampak tak boleh, dia lompat. Ada, kategori begitu. Jadi ini menimbulkan persepsi yang kurang baik di kalangan rakyat. Tapi ini harus kita betulkan.

Parti ini... (kerja kita) tidak setakat kita menulis. Parti kita ni under siege (dikepung dan diserang). Orang beli, orang ugut hari-hari. Orang kena charge, jadi dia kena hadapi itu. Dia tahan, dia duduk. Dia tak tahan, dia lompat.

Masa itu masih baru. Tahun 2008, keadaan macam Selangor. Dia bertahan bukannya mudah. Kamu bukan bekerja dalam keadaan biasa, kamu kerja dalam keadaan siege. Tiap-tiap hari kamu dikecam, dihentam...

Soal penulis, pengkritik duduk di luar, dia tak sedar. Kalau dia kena, belum tentu dia tahan. Sebab itu, saya fikir sekarang ni, kita dengan pengalaman ini, untuk mendapat kebijakan baru untuk memilih kader-kader, dan pendukung atau calon yang jauh lebih kental. Dia tak boleh bertahan kalau dengan yang dulu. Tekanannya berat, dan saya sebut ini dari awal. Kalau Dato Najib (gambar kiri) ambil alih, Dato Najib ni potensi, cara keras itu jauh lebih, daripada Perdana Menteri sebelumnya.

MR: Sebagai ahli politik berpengalaman, Dato Seri jangka tak, mereka akan lompat, selepas kemenangan tsunami politik itu?

Anwar: Ya, jangkaan tidak. Tapi kita tengok juga mutu orang itu. Dan kita juga tahu tentang beberapa rundingan dan sebagainya. Macam di Perak, itu kita tahu berbulan sebelum itu. Saya maklumkan kepada pimpinan Keadilan, PAS dan DAP. Dia tidak mengejutkan saat akhir.

(Ahli parlimen) Kulim Bandar Baru. Orang tahu enam bulan sebelum itu. Cuma pada masa itu, kita fikir, kita fikir pecat cepat ataupun tangguh.

Kita tengok. Rekod hutang, rekod kes mahkamah. Kemudian rundingan dia dengan... ataupun kenyataan-kenyataan.

Kemudian, macam (ahli parlimen) Kulim Bandar Baru , bila dibawa ke jawatankuasa disiplin, "oh tak boleh, kerana ada dua orang kafir dalam jawatankuasa". Itu semua akan mengundang tindakan yang tegas daripada kita.

Jadi nak kata kita tidak tahu, kita tahu. Mungkin kita tidak tahu semuanya-lah.

MR: Tapi dah menjangkakan-lah?

Anwar: Ya, sesetengah kita jangka. Macam Kulim (Zulkifli Noordin) kita jangkakan, kemudian Bayan Baru (Zahrain Hashim), buat kenyataan yang kaitkan dengan....

16 Sept sebagai strategi untuk elak lompat parti?

MR: Jadi, kalau saya katakan rancangan 16 September itu adalah untuk menarik mereka supaya kekal, kerana mereka ada harapan untuk berkuasa?

Anwar: Tidak juga.... Dia orang, dalam keadaan dia rasa kita boleh ambil-alih (kerajaan persekutuan), dia dukung. Dia berasa tak boleh, dia rasa patah semangat, dia keluar. Tetapi pada masa itu, bukan pada kiraan orang akan bertahan atau tidak. Pada masa itu, pada kiraannya, apa kita boleh buat agenda.

Kerana kalau berlaku, makna yang pertama kita lakukan ialah, bersihkan Suruhanjaya Pilihan Raya, supaya pilihan raya boleh segera diadakan, dengan mandat baru yang bersih. Kalau tidak, orang boleh bagi teori, tapi kalau kamu pertahan dengan kuasa yang ada, pilihan raya yang akan datang, pun dengan cara yang curang juga.

Beda kalau kita mampu ambil alih 2008. Kita tidak akan pertahankan kuasa selamanya satu penggal. Tapi kita akan bersihkan Suruhanjaya Pilihan Raya, dan kita akan dapat mandat baru yang lebih meyakinkan. Jadi dengan sendirinya terpadam isu 16 September.

Otherwise you tengok keadaan sekarang. Kamu boleh bertahan, tetapi pilihan raya masih... Pada hakikatnya sekarang, orang bimbang pilihan raya akan datang jauh lebih curang. Kerana jumlah undi pos yang jauh lebih banyak. RELA, tentera, polis...

Yang saya lakukan itu dua, iaitu we break the psychological barrier (kita pecahkan batasan psokologi), bahawa kalau ada pemindahan kuasa, ia tidak menimbulkan huru-hara. Orang terima yang itu. Dan keduanya, bahawa hanya dengan perubahan kuasa, kita boleh dapatkan pilihan raya yang bebas dan adil. Ia tak berlaku, bermakna kita hadapi cabaran yang lebih besar sekarang.

MR: Tiga tahun telah berlepas sejak PRU yang lalu, dan ada rakyat tidak merasakan ada perubahan yang besar dalam PR. Jadi, adakah Dato Seri menganggap PR telah terlepas detik saat yang paling baik (the best timing) untuk meyakinkan rakyat bahawa PR boleh mentadbir negara ini?

Anwar: Well..., yes because people are getting impatient, they had been waiting too long. But we tell them, that you know, we are under siege by the day. (...ya kerana rakyat semakin tidak sabar, mereka telah lama menunggu. Tetapi kita memberitahu mereka, tahukah kamu bahawa kita dikepung selama ini?)

Kamu memecah-belahkan kuasa itu, katak berada di sini sana. Dan media membuat kesimpulan. Siapa yang membuat kesimpulan? Media. Siapa yang mengawal media? Itu soalnya. Yang kata perception rakyat itu, kerana apa? Kerana kuasa media.

Tetapi di kalangan mereka yang mendapat maklumat media alternatif... Saya berada di Permatang Pauh semalam. Menarik. Pergi ke kedai kopi yang biasa, tak ada program, tak ada notis, kita kumpul. Kamu tahu? Oleh kerana...ya boleh jadi Permatang Pauh, ya? Kerana dia lebih peka... Saya pergi, (isu) Selangor dia bincang. (Pilihan raya kecil) Tenang dia bincang. Itu jauh lebih...bagi saya... positif! Ini cakap-cakap orang kampung ni, Melayu... yang dianggap selalu keliru, soal kuasa raja... dia tidak (keliru).

Maknanya, kalau dia lebih terdedah kepada maklumat media yang bebas, dan berpendirian jelas, bagaimana sekali pun asakan media tidak akan mengubah pendirian dia. Tapi soalnya, kita tidak mudah dalam hal ini, kerana soal media.

Dan kita juga kena tahu bahawa, UMNO tidak berdiam. Dia terus asak, dia terus beli, dia terus pecahkan. Dan dulu kalau blogger majoriti dengan kita, dia juga mampu membeli sebahagian daripada mereka. Ada jawatan-jawatan baru, dan ini sedikit sebanyak... Melainkan orang itu sedar, dia mungkin fikir ini independent bloggers. Dia no longer independent, they are UMNO bloggers.

Sebab itu saya caution orang-orang yang nak timbul perpecahan dalam parti atau PR, untuk fikir, apa alternatif dia? Melainkan kita meninggalkan prinsip kita. Dulu kita menentang ISA, sekarang kita sokong. Atau dulu kita kata Agenda Ekonomi Malaysia, sekarang kita sokong Dasar Ekonomi Baru. Itu isu fundamental yang kita tidak tolak-ansur. Tapi tak ada, tak ada tolak-ansur dalam isu itu.

Lompat parti satu demi satu

Wawancara kemudian dilanjutkan kepada isu "keluar parti". Meskipun isu ini agak lama, malah mungkin boleh dianggap "basi", tetapi MerdekaReview cuba mengeluarkan sesuatu yang mungkin terpendam dalam hati Anwar Ibrahim.

Beliau pada mulanya mempertikaikan istilah "orang rapat" yang digunakan wartawan, walaupun tidak berniat untuk menafikan bahawa mereka yang meninggalkan perjuangan itu adalah antara kawannya. "Orang yang ditafsir sebagai rapat dalam parti, itu orang yang paling banyak yang dicari. Dia (UMNO) tak akan cari... Kalau dia dapat umpamanya Ketua Cabang Pokok Sena, dia tidak...valuable. Dan offer tidak semahal itu," jelasnya.

Bagaimana perasaannya, apabila seorang demi seorang meninggalkannya? "Ya, tidak menyenangkan. Tiada sesiapa yang akan gembira dengan benda ini. Tapi saya realistik. Kalau kamu memandang kepada sejarah, kamu melihatlah sejarah semua pergerakan di serata dunia... Adakah ini masalah yang sebenarnya, apabila orang keluar, parti habis?"

Beliau mengambil contoh PAS, yang pernah menyaksikan sejarah bagaimana bekas Presidennya Asri Muda meninggalkan partinya, sebelum UMNO yang menyaksikan hampir semua Presiden Parti pernah meninggalkan wadah parti itu, termasuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn dan sebagainya.

MerdekaReview mengambil contoh Mohd Ezam Mohd Nor yang pernah bekerja sebagai Setiausaha Politik Anwar Ibrahim sebelum beliau dipecat selaku Timbalan Perdana Menteri. Ezam antara pejuang yang paling terserlah pada zaman Reformasi, sehingga ditahan di bawah ISA dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

"I knew him, selepas saya dibebaskan... Tapi intention dia, dia kata, 'erm... you know, we have to survive. Then, kalau kamu (Anwar) nak jadi Perdana Menteri, mesti jalan UMNO'. Itu dia punya pendirian, konsisten," kata Anwar, yang tidak terkejut apabila Ezam kembali ke pangkuan UMNO pada Mei 2008, selepas tsunami politik.

Apakah faktor di sebalik fenomena keluar parti, selain "habuan" yang dikatakan itu?

"Kamu dah struggle lama, kadang-kala susah, pressure, duit tak ada, macam-macam. So saya tak tahu apa yang sebenarnya. Tapi saya tengok, masalah hutang, kena charge mahkamah, ada hukum. Kemudian kalau kamu masuk saja, terus... semua settle! Sangat menarik dalam negara ini...," sindirnya.

Apakah beliau terasa sedih apabila kawan dan orang di sisinya meninggalkannya seorang demi seorang?

"Terasa? Yes. Tapi kadang-kadang dalam perjuangan, ia juga membantu. Pertamanya, bahawa kita pilih calon mesti yang betul-betul krediber dan wibawa. Itu pengajaran. Yang keduanya, kemungkinan ini proses pembersihan. Lebih baik sekarang. You menang besok, yang tak layak pun minta jadi menteri, bergaduh juga. Kadang-kadang kamu perlu terimanya."

"Kamu cukup tabah untuk berdepan dengannya?" aju wartawan, "Ya, kamu perlu begitu," jawabnya. Malah dengan nada ringan beliau mempersalahkan dirinya, "Boleh jadi juga kelemahan saya tentang sistem. Cara saya tu, saya lebih toleran. Kalau setengah orang, kalau ikutnya sebulan pertama dah pecatlah Zul (Zulkifli Noordin) tu, saya tangguh enam bulan..." (Bahagian kedua, bersambung)

Bahagian pertama: Prinsip Raja Berperlembagaan Anwar: Sultan perlu dapatkan nasihat MB

*Wawancara ini dijalankan oleh Chan Wei See (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina), Lim Hong Siang (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia) dan Ong Vic Kee (Wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina), di pejabat Anwar Ibrahim pada 6 Januari 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan