Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Jumaat, 1 Februari 2013

Najib, Mahathir Topeng Watak Agamawan





Oleh RUHI HAYATI THANI

Apabila Dr Mahathir Mohamad dikecam hebat setelah memecat Anwar Ibrahim, maka seluruh amal baiknya tertolak dan ditolak oleh rakyat. Dr Mahathir perlu mencari suatu watak yang boleh memurnikan kembali wajah dan watak Umno yang rosak itu.

Dr Mahathir sendiri sedar bahawa umat saat itu sudah menolaknya. Jika beliau masih mentadbir, maka Umno dan BN akan tumbang dengan sendirinya. Jika BN yang diterajuinya hari ini tewas, maka segala perilaku bejatnya terdedah dan salah laku pemimpin BN terburai dengan sendirinya.

Jadi, Dr M mesti mencari watak suci bagi menggantikannya. Lebih baiklah dia berundur, asalkan sistem BN tidak rebah. Dalam kelelahan mencari watak penggantinya, maka ditemuinya permata bersinar berwatak agama yang boleh kembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan BN.

Tiba-tiba saja, nama Abdullah Ahmad Badawi hadir di ingatan. Cucu ulama, mufti bertaraf wali dipilih sebagai penyelamat bahtera umno yang hampir karam di lautan bergelora. Dugaannya itu tepat. Umat tertarik kepada watak keperibadian agama Abdullah dan Umno menang semula.

Jadi mungkin ditilik daripada pola pemikiran Melayu hari inilah maka faham Mahathirisme telah mengenakan pelan tindakan tersirat, iaitu Mahathirisme akan meletakkan watak agama bertujuan mengekalkan kuasanya dan Umno, BN.

Salah satu cara yang mungkin telah dilaksanakan ialah dengan mengirim Najib Razak ke Palestin bertemu Hamas. Hamas banyak disokong orang-orang PAS sementara Fatah pula kerap disokong orang-orang Umno. Tetapi, bagaimana mahu menarik ‘orang atas pagar pro-PAS’ kepada Najib?

Maka, di sinilah letaknya kebijaksanaan Mahathirisme dengan membawa Najib Razak berjumpa Hamas itu. Dan, kalau ditakdirkan Najib Razak dikritik Yahudi antarabangsa, maka secara tidak langsung, sokongan umat Islam di Malaysia ke atas Najib Razak akan meningkat dengan cepat!

Setidak-tidaknya ada dua watak agamawan yang pernah dimanfaatkan Mahathirisme iaitu Anwar dan Abdullah. Tetapi dalam kes Najib Razak, oleh sebab watak agama tiada ke atas dirinya maka perlu sekurang-kurangnya watak agama dibancuh ke atas dirinya. Najib mesti jadi wira Palestin!

Anwar yang mempunyai pesona agama pada dahulunya, telah dibuang lalu diganti Abdullah dan ditendang juga akhirnya setelah menantu beliau melawan Mahathirisme. Kini, Anwar melawan. Lalu watak agama musuhnya cuba dikaburi dengan watak pluralisme dan pendokong liberalisme.

Tuduhan ini semua akan dilakukan berhari-hari dengan kesedaran bahawa, pengulangan hal yang salah itu akan menyebabkan umat menyangkakan hal itu adalah sesuatu yang benar. Sebenarnya, Anwar tidak sendirian ketika dikenakan imej pluralisme dan dan liberalism yang sesat.

Antara mereka yang turut dipalit dengan isu agama adalah Tengku Razaleigh apabila beliau telah didakwa memakai tengkolok yang kononnya berpalang salib. Serta-merta, merosot dan merudum sokongan yang sedia ada ke atas Ku Li. Hal yang sama kini sedang dilakukan ke atas Anwar.

Mahathirisme sudah membunuh watak agama bekas pemimpin semangat 46 itu, dan memuliakan warna agama penyokongnya seperti Najib Razak. Jika Najib melawan maka tidak mustahil Najib Razak juga akan disingkirkan Mahathir seperti mana tersingkirnya Anwar dan Abdullah itu.

Anwar dipecat Dr Mahathir selepas melawan, dan Abdullah kini juga ditolak setelah menantunya bermaharajalela di aras 4. Kini, tiba giliran Najib Razak pula yang sedang diwarnakan wataknya dengan jubah agama. Mahathirisme sangat menyedari faktor agama sangat penting demi undi.

Buktinya, Dr Mahathir juga hadir menyambut kepulangan Najib Razak sebagai ‘wira Palestin’ di lapangan terbang baru-baru ini. Utusan Malaysia akan berterusan mengangkat dan menjulang hal keperwiraan Najib Razak ini dan mengaitkannya dengan Islam dan satu-satunya harapan rakyat.

Dalam masa yang sama watak-watak PAS akan dijelikkan dengan fitnah dan tohmahan Khawarij dan Muktazilah. Ancaman berbentuk tiupan tipu daya dan hembusan helah boleh ditinjau dengan menyelak laman-laman sesawang Cyber Troopers Umno dan Utusan itu sendiri.

Percayalah! Kita kini bakal menyaksikan betapa agenda-agenda jahat sedang kencang dirancang  dengan cara membunuh watak kita bermodalkan alasan keagamaan. Ini kerana, Mahathirisme itu dalang yang menjulang watak agama BN sekali gus membunuh watak agama Pakatan Rakyat.

PRSB : Ini yag dikatakan menggunakan agama untuk kepentingan politikus2, politibai2 UmnoBn

Tiada ulasan:

Catat Ulasan