Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Ahad, 25 September 2011

Putrajaya ‘boleh, patut bantu Kelantan laksana hudud’


KUALA LUMPUR, 25 Sept: Kerajaan pusat wajar membantu Kelantan dalam melaksanakan hukum hudud dengan meminda beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan selain memansuhkan Akta Mahkamah Syariah 1965 dan kerangka perundangan semasa membenarkan keadaan itu, kata pakar perlembagaan.

Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar) berkata Putrajaya perlu membantu dengan memansuh Akta Mahkamah Syariah yang “mengikat tangan Mahkamah Syariah.”

“Pusat juga perlu membantu dengan meminda beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan dengan memberi pengecualian untuk Kelantan.

“Selain itu, pusat juga perlu membantu dengan membenarkan polis dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan yang berada di bawah tangan mereka untuk melaksanakan tugas di sisi undang-undang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1994.

Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, ia boleh dibuat tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.

“Kalau MCA dan Gerakan tak mahu sokong tak apa,” katanya sambil menambah, sebenarnya apa yang Kelantan mencadangkan itu tidak memberi kesan kepada bukan Islam.”

“Contohnya sekarang, kalau orang Islam berzina dengan bukan Islam, orang bukan Islam tidak didakwa. Orang Islam tak boleh cabar hudud kerana di bawah Perlembagaan hak sama rata tidak terpakai dalam konteks undang-undang peribadi.

“Contohnya, sekarang perempuan Islam tak boleh cabar undang-undang poligami atau kuasa cerai suami atas alasan mereka didiskriminasi. Orang Islam kena faham Malaysia ada dua sistem undang-undang; jadi tak timbul tuntutan layanan sama rata,” kata beliau lagi.

Oleh itu kata beliau, “kesimpulannya cadangan hudud Kelantan itu boleh dilaksanakan dalam kerangka yang sedia ada.”

“Perlembagaan membenarkan cadangan itu. Kalau Karpal Singh tak setuju itu hak dia tapi dia kena sedar pendapat dia tidak mutlak. Satu lagi kesimpulan ialah faktor kritikal ialah kejujuran dan kemahuan politik,” katanya lagi.

Aziz berkata, apa pun yang Kelantan hendak ialah hak negeri melaksanakan hudud dan persekutuan perlu memberi kerjasama tetapi ini sukar berlaku kalau dilihat dari sudut isu royalti minyak.

“Hudud ini sebenarnya mempertingkat undang-undang jenayah syariah yang sedia ada. Kesalahannya, contohnya zina, sudah mengikut Islam. Apa yang perlu dipinda ialah hukuman,” katanya lagi.

Mengenai langkah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mendapatkan pandangan bukan Islam, Aziz berkata, sebenarnya tidak perlu mendapatkan pandangan mereka mengenai pendirian mereka.

“Kita kena faham tentang sifat sistem perundangan di Malaysia. Kita sudah pun ada sistem perundangan syariah yang berfungsi seiring dengan sistem konvensional,” katanya.
“Ia dalam lingkungan sistem Islam yang keluarga Islam beroperasi. Pada masa yang sama, kita ada sistem jenayah Islam,” kata Aziz.

Jelas beliau, jika hukum hudud dilaksanakan ia akan dilakukan dalam struktur tersebut manakala bukan Islam akan terus tertakluk kepada undang-undang jenayah semasa, yang peruntukannya diturunkan dalam Kanun Keseksaaan dan Kanun Prosedur Jenayah.

“Apa yang kita perlu lakukan ialah mengkaji semula sistem jenayah Islam semasa dan meminda peruntukan-peruntukan yang tidak selari dengan perundangan Islam,” katanya.

Sehubungan itu jelas beliau, Nik Aziz kelihatan memberi respons kepada beberapa pemimpin bukan Islam, dari MCA dan Gerakan serta DAP yang berpandangan bahawa ia akan menggantikan undang-undang jenayah semasa.



-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Komen