Bukan bumiputera monopoli industri halal
Arkib Utusan
KUALA LUMPUR 26 Okt. – Sejumlah 80 peratus pengusaha industri halal di negara ini dimonopoli oleh bukan bumiputera berikutan potensi besar dalam bidang tersebut.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industri Development Corporations Sdn. Bhd. (HDC), Datuk Jamil Bidin berkata, penyertaan kaum bumiputera dalam bidang itu ketika ini masih rendah iaitu sekitar 20 peratus.
“Hasrat HDC adalah untuk menggalakkan penyertaan bumiputera dalam bidang ini supaya seimbang dengan bukan bumiputera.
“Industri halal amat luas, bukan tertumpu pada produk makanan sahaja, malah ia merangkumi perdagangan, produk pengguna, kosmetik, bahan kecantikan, kesihatan, produk herba dan farmaseutikal,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program ‘Juara Halal’ di sini hari ini.
Menurut beliau, sejumlah 90 peratus pengusaha yang terlibat dalam industri ini terdiri daripada industri kecil dan sederhana.
Masalah itu telah menyekat peluasan pasaran, khususnya di luar negara yang pada umumnya memiliki peraturan ketat berhubung kelulusan kemasukan produk-produk terutama produk makanan dan farmaseutikal.
“ Sijil ‘Halal’ kita amat diyakini oleh masyarakat global terutamanya di Asia Barat berbanding sijil halal negara lain seperti Thailand.
“ Namun begitu, produk halal Malaysia kurang ditemui di luar negara,” kata beliau.
Jelasnya, perkara itu berlaku kerana pengusaha-pengusaha tempatan terdiri daripada IKS dan kurang mendapat pendedahan daripada segi pengembangan kewangan serta pemasaran.
“HDC dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengadakan pameran dan bengkel di seluruh negara bagi memberi kesedaran dan pendedahan mengenai potensi industri halal,” kata Jamil.
Sehubungan itu, HDC hari ini melancarkan program ‘Juara Halal 2007’ sebagai usaha untuk mengasah dan merangsang penyertaan dalam industri tersebut.
“ HDC akan memilih dan mengiktiraf jenama dan syarikat produk halal terbaik, justeru menaikkan reputasinya di peringkat global.
“Program ini juga dibuat untuk menghargai syarikat-syarikat halal yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam mempromosi produk dan perkhidmatan halal serta mempunyai potensi pengembangan perniagaan di luar negara,” tambahnya.
Syarikat yang terpilih dalam program Juara Halal akan mendapat manfaat dari segi akses kepada pelbagai geran kerajaan, insentif dan pinjaman pengembangan perniagaan, katanya.
Menurut Jamil, HDC juga melaksanakan program padanan perniagaan, di mana syarikat-syarikat akan diperkenalkan dengan rakan kongsi luar negara seperti dari Thailand, China, Bosnia, Uruguay dan Brunei.