Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Khamis, 26 Januari 2012

Taman Sri Lambak pun Kekurangan Minyak Masak

Kluang : Stok minyak masak bungkus dan botol yang sedikit membelengu rakyat di sekitar Taman Sri Lambak Kluang apabila kehendak pelanggan khususnya di musim cuti perayaan yang meningkat tidak dapat dipenuhi oleh pekedai dan peruncit.

Ana sempat singgah dibeberapa kedai di sini mendapat maklumat dari pemilik kedai runcit bahawa bekalan agak meruncing. Malahan minyak masak tidak dipamer dirak jualan, apabila ada permintaan pelanggan, barulah stok dikeluarkan di bawah meja kaunter, dah macam jual barang terlarang pula, itu pun tak boleh beli banyak 1 kg saja. Minta yang botol besar 5 kg berharga RM13.90 pun payah dan terhad kepada pelanggan yang utama sahaja seperti peniaga goreng pisang dan warung.


Minyak masak bungkus kurang
Wartawan Sinar Harian

minyak  berkurangan

KANGAR – Kekurangan bekalan minyak masak bungkus semakin meruncing apabila permintaan pelanggan kini melebihi kuantiti yang dibekalkan kepada peruncit.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kedai di sekitar Kuala Perlis dan Kangar mengalami masalah sama.

Peniaga pasar mini dari Kuala Perlis, Tan Kok Bee, 56, berkata, masalah kekurangan minyak masak bungkus ini bukan sahaja baru berlaku, tetapi ia sudah berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu.

“Bekalan minyak masak bungkus sering kali tidak cukup. Sekali dapat dalam seminggu, sebanyak 200 bungkus sahaja yang beratnya sekilogram.

“Kalau hendak dibanding dengan dulu, memang kita dapat bekalan banyak daripada pengilang. Sekarang pengilang yang tentukan berapa boleh hantar kepada peruncit,” katanya.

Menurutnya, permintaan pelanggan terhadap minyak masak bungkus tinggi berbanding minyak masak yang dijual di dalam botol.

Kok Bee berkata, pelanggan berkunjung ke kedainya biasanya akan meminta minyak masak bungkus.

“Mungkin kerana harganya lebih murah iaitu RM2.50 sekilogram berbanding minyak masak botol lebih kurang RM3.25 sekilogram.

“Mahu tampung permintaan penduduk sekitar pada minyak masak bungkus pun tidak cukup, inikan pula ada pelanggan Langkawi yang berkunjung ke kedai saya,” katanya.

Sementara itu, pembantu peniaga runcit di Taman Sena, Kangar, Nor Azri Jaluddin, 25, berkata, kedainya hanya menjual minyak masak bungkus mengalami masalah kerana kekurangan bekalan minyak masak.

Menurutnya, dia hanya me-ngambil 60 hingga 70 bungkus minyak masak yang beratnya sekilogram setiap kali penghantaran stok.

“Buat masa sekarang bekalan minyak masak di kedai saya sudah habis. Memang minyak masak bungkus mempunyai permintaan yang tinggi, disebabkan kekurangan ini kami sebagai peniaga mengalami masalah bekalan.

“Saya tidak tahu apa puncanya kekurangan bekalan minyak ini, namun berharap masalah ini akan diselesaikan kerana permintaannya yang tinggi di pasaran,” katanya.

Pelanggan, Normah Hassan, 41, pula berkata, dia terkejut dengan bekalan minyak masak yang cepat habis di pasaran.

“Semalam saya tengok ada lagi minyak masak bungkus, tapi hari ini bila datang untuk membelinya, terkejut saya apabila pemilik kedai cakap sudah habis, sedangkan semalam masih banyak.

“Saya lebih suka menggunakan minyak masak bungkus kerana harganya yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan minyak masak botol yang harganya mencecah RM3 ke atas. Seperti saya yang datangnya dari golongan sederhana lebih baik kita cari yang lebih murah tetapi fungsinya sama,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan