Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Khamis, 26 Januari 2012

Dulu tuduh puak Erdogan sekarang tuduh Parasit pula


IRC


Oleh: hanzarbosnia


"
Semenjak PAS mula dikenali dan disayangi oleh rakyat, ditambah dengan kejayaan dalam beberapa PRU yang lalu, penyakit yang telah lama melanda dan merosakkan UMNO kini serba sedikit mula merasuk dan meracuni pemikiran sebahagian kecil ahli-ahli PAS. Sesungguhnya, musuh-musuh PAS telah mengetahui bahawa keteguhan pendirian politik PAS dalam memperjuangkan Islam tidak sesekali mampu diganggu gugat dengan penjara, siksaan, ancaman dan sebarang tindakan kekerasan.


Perjuangan PAS telah merasai kesemuanya, daripada kemiskinan, siksaan dan kezaliman, dikurung didalam penjara sehinggalah yang gugur syahid dalam memperjuangkan Islam melalui platform PAS. Kini, musuh-musuh PAS telah beralih arah dengan menggunakan perang saraf yang penuh licik. Mereka mengetahui bahawa kekuatan PAS tidak mampu ditembusi dengan serangan-serangan dari luar parti.

Ternyata strategi perang saraf ini lebih merbahaya dari segala bentuk peluru dan senjata yang wujud di muka bumi ini. Ditambah lagi dengan sokongan mendadak dan penyertaan keahlian dari pelbagai golongan masyarakat. Musuh-musuh PAS mengetahui bahawa salah satu cara terbaik melemahkan PAS ialah dengan mewujudkan pelbagai prasangka sesama ahli PAS yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan perbezaan pendapat, meskipun hal sedemikian dibenarkan syarak.

Jika dahulu di era 70-90an, tidak ramai yang berani mengaku dan mendakwa bahawa dia ialah ahli PAS. Jika dipilih menjadi wakil rakyat ketika itu, kadangkala beliau menjadi lebih miskin daripada keadaannya ketika sebelum menjadi wakil rakyat. Memberi ceramah disana sini, menghadiri mesyuarat dan pelbagai urusan parti, semuanya dari poket sendiri.

Malah, untuk memilih seseorang calon bertanding dalam PRU mewakili PAS pun kadangkala lebih sukar kerana tidak ramai yang berani mengorbankan kerjaya dan nama kerana tahu kedudukan PAS di mata rakyat Malaysia. Ceramah-ceramah PAS hanya dibuat di surau-surau kampung yang usang dengan kadangkala bilangan yang hadir boleh dibilang dengan jari.

Namun, dalam kepayahan dan kesukaran perjuangan PAS ketika itu, Allah telah mengurniakan pejuang-pejuang Islam yang tulen dan hebat seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Almarhum Ustaz Hassan Syukri, beberapa pimpinan PAS serta ramai lagi pejuang-pejuang tidak ternama yang kini telah meninggalkan kita.

Golongan yang telah pergi ini mungkin tidak pernah bermimpi untuk merasai karpet-karpet tebal, dingin 'aircond' bangunan-bangunan cantik dan kerusi-kerusi empuk yang kini bukan asing lagi bagi perjumpaan dan mesyuarat parti. Apa yang lebih menghebatkan mereka ialah tidak kedengaran suara-suara melabelkan golongan-golongan tertentu sesama ahli dan pimpinan PAS walaupun PAS menerima kemasukan beramai-ramai ahli ABIM, Suara Islam dan IRC.

Meskipun Almarhum Ustaz Fadzil noor berasal dari ABIM, tetapi ketokohannya lebih terserlah didalam PAS sehingga berjaya mengembalikan kepimpinan ulama daripada Asri dan pengikutnya. Kepelbagaian dalam jamaah PAS telah dikuatkan kerana ukhwah dan mahabbah diperkuatkan melalui keseragaman fikrah dan perjuangan. Kesemuanya kelihatan teguh bersatu di dalam saf di bawah panji perjuangan PAS, meskipun terdapat pelbagai pandangan dan gerak kerja parti hasil daripada perbezaan latarbelakang mereka.

Melobi untuk jawatan dalam parti adalah sesuatu yang aneh, apatah lagi untuk kecewa apabila tidak dipilih memegang jawatan kerana benih ketaqwaan yang takut akan masuliyah akhirat disebalik jawatan-jawatan itu. Kesemua pimpinan PAS amat dihormati oleh ahli-ahlinya walaupun wujud perbezaan pendapat didalam sesuatu perkara.

Kini, sokongan teguh daripada rakyat mulai diterima PAS hasil penderitaan golongan pejuang terdahulu PAS. Disaat perjuangan PAS telah ternama dan masyhur, kebendaan dan status kini seolah-olah terselit mengatasi keinginan untuk memperjuangkan Islam. Meskipun penyakit ini hanya melibatkan sebahagian kecil sahaja pejuang PAS, namun kesannya amat memudaratkan kepada perjuangan PAS jika dipandang enteng.

Dengan bilangan ahli dan penyokong yang semakin bertambah, masing-masing mula tertipu dengan bilangan penyokong yang ramai ibarat peperangan Hunain. Entah siapa-siapa sahaja boleh mendakwa dirinya penyokong-penyokong tulen PAS sedangkan mereka sendiri tidak pernah diuji cubaan dan dugaan sepertimana yang dialami oleh golongan pejuang tulen terdahulu PAS yang meringkok dalam penjara, dianiaya dan gugur syahid sebagai syuhada.

Jikalau dahulu, fokus utama semua pejuang PAS ialah melawan dan menumpaskan musuh-musuh sekular daripada menguasai masyarakat. Anehnya, disaat PAS mula dijulang, wujud pula segelintir pejuang yang lebih suka menghabiskan ilmu, harta dan masanya untuk menyerang 'kelompok-kelompok' rekaan sendiri didalam jamaah PAS.

Golongan berpenyakit ini lebih rela berdiam diri membiarkan dakyah-dakyah golongan sekular, tetapi dengan pantas menghunuskan muncung senjata kepada ahli PAS yang berbeza pendapat dengan mereka. Segala bahan dan bukti-bukti lapuk dikorek, dibentangkan dan ditakwilkan mengikut acuan permusuhan bagi menguatkan hujah-hujah mereka.

Ukhwah Islamiyah dipijak-pijak demi memperjuangkan persepsi-persepsi yang menggembirakan golongan sekular. Mudhorat yang kecil diperbesar-besarkan, manakala mudhorat yang besar dipandang sepi oleh golongan ini yang hanya Allah sahaja yang tahu apa kepentingan dan kasihnya kepada PAS..

Dalam menyokong pimpinan dan pendapat dalam isu-isu tertentu, kadangkala emosi lebih mengatasi rasional sesetengah ahli PAS. Sekiranya terdapat sedikit perbezaan pendapat, maka orang itu akan terus dilabel secara zalim dengan pelbagai gelaran. Label-label yang diwujudkan musuh dipopularkan pula oleh golongan yang kecewa seperti Erdogan, Kerajaan Perpaduan, Golongan Profesional, "Orang Anwar', Parasit dan bermacam-macam lagi. Mengharapkan semua orang mempunyai satu pendapat yang sama adalah merupakan suatu perkara yang mustahil. Sehebat-hebat sahabat nabi saw, masih lagi wujud pelbagai pendapat dalam menangani sesuatu perkara.

Berlapang dadalah akan pendapat yang berbeza sebagaimana imam As-syafie yang menghormati Imam Malik yang berbeza pandangan fiqh. Sesungguhnya, keberkatan dan pertolongan Allah itu sentiasa mengiringi sesuatu keputusan yang diputuskan secara berjamaah. Hormatilah setiap pimpinan walau apa jua latarbelakang kerana pemimpin yang telah dipenjara, dipukul dan disiksa adalah lebih berharga daripada pemimpin yang hanya melangkah masuk ke dalam jamaah dengan hanya memutar suis pimpinan secara pantas tanpa perit getir perjuangan.

Dalam menghayati sirah nabawi, kita dapat melihat bagaimana golongan musuh-musuh Islam mengungkit-ngungkit permusuhan para pejuang Islam setelah mereka bersatu dibawah satu panji perjuangan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai, serta ingatlah nikmat Allah suatu ketika dahulu (ketika Jahiliyyah) kamu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu, lalu jadilah kamu dengan nikmat Allah tersebut orang-orang yang bersaudara. Dan ketika kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya agar kamu mendapat petunjuk.” “Dan hendaklah terdapat di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.”(Ali ‘Imran: 103-104.)

Sebab penurunan ayat di atas adalah berkaitan dengan kisah golongan Yahudi Madinah yang cemburu terhadap ukhuwah di kalangan umat Islam ketika itu. Persaudaraan umat Islam yang lahir di antara Bani ‘Aus dan Bani Khazraj serta persaudaraan yang lahir di antara Golongan Muhajirin dan Golongan Ansar adalah amat unik. Lalu orang-orang Yahudi menghasut umat Islam agar mereka kembali berpecah seperti ketika dalam jahiliyyah dahulu.

Mereka mengungkit kisah Peperangan Bu’ath, peperangan antara Bani ‘Aus dan Bani Khazraj yang berlaku sebelum mereka menerima Islam. Akibat daripada hasutan itu mereka hampir-hampir berperang semula atas dasar perkauman. Dengan peristiwa tersebut maka Allah Subhanahuwata’ala menurunkan ayat di atas. Maka mereka kembali sedar dan kembali berpegang dengan din Islam.

Marilah menghayati prinsip dan ajaran yang terkandung dalam surah ini. Berlapang dadalah dan kuatkan ukhwah sesama ahli PAS. Jika berbeza sesuatu pendapat sekalipun, janganlah tinggalkan ukhwah Islamiyah dan mahabbah imaniah dalam berbicara sesama ahli PAS. Jauhilah penyakit buruk sangka yang menyelinap didalam hati-hati kita. Biarkanlah mereka-mereka yang berpenyakit dibuai dengan kehebatan, pendapat dan hujah-hujah mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan