Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Isnin, 2 Januari 2012

PAS Sebagai Doktor di Selangor

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi0fA2YtfUy5SzW2OMraA-r0R1x1GpIBjugIs8idcfEd-07HD0k-tZ7pOn4C3x9k_tmIoi5fKoa79cxfcfWonowzuD96L1kTObb7x-7oug0XrrzD_73IXC6D0iMZdw20V73nSrv0vZ1LC8/s400/khalid+samad+01.jpg





Politik Islam: Kaedah dan Pendekatan PAS Selangor


Oleh Khalid Samad
Saya ingin menjelaskan pandangan saya berhubung kaedah dakwah yang perlu diguna-pakai oleh PAS Selangor dalam keadaan PAS Selangor berada dalam kerajaan bersama PR. Bagi sebahagian orang yang tidak memahami proses dakwah, mereka menganggap kedudukan PAS Selangor sebagai ‘minor’ partner adalah tidak bermakna dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada perjuangan dakwah Islam yang dibawanya. Kekeliruan ini akan terus menghantui mereka sehingga persoalan ini dijelaskan.


Pada mulanya saya ingin mengatakan bahawa walaupun kerusi PAS adalah agak kurang, namun, kerajaan PR tidak boleh terus berkuasa tanpa adanya PAS bersamanya. Maka kedudukan PAS adalah sepenting parti komponen lain dalam PR. Oleh itu, tanggapan bahawa ‘minor’ partner adalah tidak berpengaruh atau tidak berkuasa adalah amat meleset sekali.

Kedua, dan ini adalah lebih penting, banyak kekeliruan boleh diperbetulkan oleh PAS sambil berkongsi kuasa dan di sini, saya ingin menjelaskan apa yang boleh diusahakan. Mungkin selama ini wawasan sebegini tidak diperjelaskan dan oleh itu ada yang menganggap tiada yang bermakna boleh dicapai melalui PR. Oleh kerana adanya tanggapan yang negatif yang sebegini, persoalan ini amat penting diperjelaskan sebelum PRU ke 13 ini. Di sini saya jelaskan matlamat yang perlu dicapai oleh PAS walaupun PAS hanya sebahagian dari kerajaan yang memerintah.

1. Membuktikan politik Islam adalah bersih dan PAS mampu menggantikan UMNO
Apabila PAS memerintah Selangor bersama PR, PAS menengahkan barisan pemimpin yang mampu membuktikan bahawa politik tidak semestinya kotor. Sering kita diberitahu “kalau PAS memerintah, sama sahaja. Orang PAS pun akan makan rasuah kerana politik itu kotor”. Selama 4 tahun memerintah PAS telah memberi suntikan ubat yang hebat kepada ummat Islam yang telah lama dijangkiti virus belaan UMNO ini. Mereka dapat melihat betapa bersihnya pemimpin PAS dan PR dan dengan itu terbukti bahawa politik tidak semestinya kotor.

Begitu juga pegangan khurafat bahawa hanya UMNO mampu memerintah. Pegangan ini dapat dilenyapkan dari pemikiran ummat Islam apabila terbukti kemampuan pemimpin PAS dan PR memerintah Negeri Selangor dengan baik dan cemerlangnya.

Walaupun ini dilihat sebagai persoalan remeh oleh sebahagian masyarakat Islam, ianya persoalan kefahaman dan aqeedah. Ia perlu diperbetulkan sebelum kita boleh harapkan sesuatu yang lebih dari ummat Islam dan rakyat jelata.

2. Membuktikan keadilan Islam terhadap seluruh manusia
Satu lagi kekeliruan besar yang telah lama disebar-luas oleh UMNO ialah kepercayaan bahawa Islam itu adalah Melayu dan Melayu adalah Islam. Berdasarkan fahaman sebegini, perjuangan untuk menjadikan Melayu sebagai ‘tuan’ adalah sebahagian dari perjuangan Islam. Berdasarkan fahaman ini juga, maka apa jua penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan, sekiranya yang mendapat manfaat adalah beberapa orang kroni Melayu, maka ianya diharuskan oleh Islam. Terbayang jelas seorang yang walaupun terbukti telah songlap RM 250 Juta, bertempik dengan beraninya, “Allah bersama kita. Allah bersama kita”.

PAS, dalam kedudukan memerintah melalui PR boleh menggunakan kedudukan yang ada untuk membuktikan keadilan Islam dan hakikat bahawa Islam itu didatangkan untuk manfaat manusia. Melalui tingkah laku para pemimpin PAS dan sikap serta pendirian mereka maka keadilan Islam boleh dizahirkan. Apabila PAS, di atas nama Islam menzahirkan keadilan Islam, maka ketakutan bukan Islam terhadap Islam akan turut dikurangkan. Pada masa yang sama, orang Islam juga akan semakin memahami bahawa Islam itu adalah rahmat untuk seluruh manusia, bukan untuk orang Islam atau orang Melayu sahaja.

3. Meningkatkan kefahaman ummat Islam dan bukan Islam terhadap ajaran Islam
Melalui perkongsian kuasa, PAS boleh berusaha untuk membuka seluasnya saluran dakwah dan pendidikan Islam yang formal dan tidak formal. Kejahilan ummat Islam terhadap Islam perlu ditangani dan begitu juga kekeliruan bukan Islam terhadap Islam. Kejahilan dan kekeliruan ini diusahakan UMNO selama ini supaya mereka kekal berkuasa. Apabila PAS berkongsi-kuasa, maka perlu tangani masalah ini secara berkesan lagi berhemah.

Sekolah agama perlu dibantu. Gaji para guru agama perlu dinaikkan dan segala usaha ke arah pembinaan kefahaman Islam yang mantap perlu dipertingkatkan. Masjid dan Surau perlu dijadikan medan ilmu untuk memuaskan ummat Islam yang sentiasa dahagakan ilmu. Jawatan-jawatan ketua-kampung, ahli JKK, ahli majlis, Nazir Masjid, Imam dan Bilal serta AJK Masjid dan Surau perlu dimanfaatkan untuk mengarahkan ummat Islam dan masyarakat kearah pemahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh. Sebelum ini, di bawah pemerintahan UMNO, kesemua saluran ini ditutup rapat.

4. Perubahan secara paksaan
Berdasarkan apa yang disebut di atas, pasti ada yang tidak berpuas-hati dsan mungkin akan berkata, “Soal membenteras rasuah, keadilan, kefahaman, aqeedah dan ilmu boleh perbetulkan oleh orang lain. Itu kerja dakwah, kita parti politik. Kita ada kuasa, kita guna kuasa dan paksa.”

Bagi mereka, selagi jualan arak di Seven-11 tidak dihentikan, kedai-kedai nombor ekor tidak ditutup, adanya manusia muslim yang tidak bersembahyang, tangan pencuri tidak dipotong dan penzina tidak direjam, maka Islam itu tidak berkuasa dan tiada manfaat segala yang lain. Membenteras rasuah, keadilan, kefahaman, aqeedah dan ilmu adalah perkara yang boleh diusahakan oleh golongan ‘pendakwah’ bukan golongan ‘ahli politik Islamik’!

Maka inilah juga sebenarnya sebahagian dari kecetekan ilmu yang ada di kalangan mereka yang menggelar diri sebagai ahli politik Islamik. Mereka menganggap bahawa cara hidup Islam itu perlu dipaksa ke atas masyarakat dan ahli politik Islamik adalah manusia pilihan Allah untuk memaksanya! Sedangkan perjuangan ahli politik Islamik tidak dapat dipisahkan dengan dakwah Islam dan setiap ahli politik Islamik adalah pendakwah.

Ahli politik Islamik boleh diumpamakan sebagai seorang doktor. Masyarakat pula sebagai pesakit. Pesakit sedang mengidap berbagai jenis penyakit sehingga tidak boleh berjalan dan berlari seperti orang yang sihat. Oleh kerana penyakitnya begitu kronik, pesakit terlentang atas katil. Seorang doktor yang bijak akan merawatnya sedikit demi sedikit sehingga pesakit semakin sihat, boleh duduk, bangun berdiri, berjalan dan akhirnya berlari. Sekiranya doktor memaksa pesakit itu untuk terus bangun dan berlari, tanpa terlebih dahulu merawat penyakitnya, pesakit itu akan pitam dan mungkin bertambah parah keadaannya atau lebih teruk lagi akan terus mati.

Kalau tidak mati sekalipun, apa yang dikhuatiri pesakit itu akan menggantikan doktor itu dengan doktor lamanya. Sedangkan semua sedia maklum bahawa doktor lama itulah yang selama ini meracuninya sehingga dia jatuh sakit pada asalnya!

PAS sebagai doktor baru mesti merawat penyakit-penyakit khurafat, kekeliruan dan kejahilan yang ditimpakan ke atas masyarakat oleh doktor asal masyarakat iaitu UMNO. Terapinya panjang kerana penyakitnya kronik. Namun PAS perlu bersabar kerana tidak mahu pesakit itu menggantikannya dengan doktor yang asal yang akan menjadikan penyakitnya semakin kronik.

Inilah kaedah yang perlu diguna-pakai oleh PAS Selangor. Jangan terburu-buru dan jangan memaksa. Tetapi tentukan risalah Islam itu dari segi keadilannya dan rahmatnya sentiasa kedengaran dan kelihatan jelas.

WaLlahu 'Alam

1 ulasan: