MARANG - Terengganu buat julung kalinya akan mempunyai sebuah dewan gimnastik apabila dewan yang berharga hampir RM1 juta di Kampung Pak Su Man, Bukit Payong siap dibina April tahun depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu Zainal Abidin Hussin berkata dewan tersebut akan memberi menfaat kepada atlet gimnastik yang kebanyakan berada di sekitar Bukit Payong untuk berlatih.

"Kita harap pembangunan sukan gimnastik di Terengganu akan lebih berkembang dan maju setanding dengan negeri yang lain pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Solat Hajat sempena pembinaan dewan gimnastik itu.
Zainal Abidin berkata kerajaan negeri dan persekutuan bekerjasama untuk membina dewan tersebut.

Beliau berkata sekarang ini kerajaan negeri sedang memberi tumpuan kepada sukan yang kurang popular seperti gimnastik supaya sukan itu lebih berjaya di negeri ini pada masa akan datang.

Zainal Abidin berkata kawasan seluas kira-kira dua hektar digunakan untuk pembinaan dewan gimnastik itu yang diharap akan melahirkan ramai atlet gimnastik yang berjaya dalam sukan itu pada masa depan.

Beliau berkata ketika ini, latihan gimnastik dijalankan di dewan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKK) Bukit Payong berikutan dewan gimnastik Sekolah Padang Mengkuang didapati tidak selamat.

Katanya sebahagian besar atlet gimnastik negeri Terengganu sekarang ini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong dan sekitarnya di samping Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Terengganu menggunakan kepakaran jurulatih dari China iaitu Yang Gang, 50, serta dibantu jurulatih tempatan Halimin Madun untuk memberi tunjuk ajar kepada atlet gimnastik negeri ini.- Bernama