SEBAHAGIAN kereta yang terperangkap di sekitar Jalan Batu Lintang, semalam.
Urusan pengguna jalan raya di Kuching tergendala 4 jam akibat banjir kilat
KUCHING: Ribuan kenderaan menghala ke pusat bandar raya ini terperangkap dalam kesesakan teruk hampir empat jam akibat banjir kilat yang berlaku, pagi semalam.
Hujan lebat sejak tengah malam menyebabkan sistem perparitan tersumbat sebelum melimpah ke hampir semua jalan utama mengakibatkan ia dinaiki air setinggi 0.3 hingga 0.5 meter.
Orang ramai yang dalam perjalanan ke tempat kerja serta pelajar sekolah tidak dapat melalui Jalan Rock, Jalan Green, Jalan Batu Kawa, Jalan Badarudin, Jalan Matang serta Jalan Sultan Tengah berikutan air parit melimpah.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata pihaknya cuba menyuraikan aliran trafik dengan mengarahkan kenderaan melalui laluan alternatif sementara menunggu banjir surut.
“Kesesakan teruk berlaku apabila banyak laluan utama dinaiki air antara jam 6 pagi hingga 9 pagi semalam, namun trafik kembali pulih selepas jam 10 pagi dengan semua jalan kembali dibuka kepada pengguna.
“Ini adalah kesesakan terburuk pernah berlaku di Kuching dengan anggota trafik diminta membantu orang ramai termasuk pengguna jalan raya yang terperangkap akibat banjir,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, ribuan penduduk sekitar Petra Jaya dan Batu Kawa yang keluar bekerja seawal jam 5.30 pagi terperangkap dalam kenderaan masing-masing dengan puluhan kenderaan dilaporkan turut mengalami kerosakan.
Kejadian banjir kilat ini berlaku selepas Sarawak berhadapan bencana banjir ketika sambutan Hari Krismas bulan lalu yang menyebabkan lebih 5,000 penduduk di Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Mukah terpaksa dipindahkan.
Banjir besar dijangka melanda utara Sarawak
MIRI: Banjir besar dijangka melanda kawasan utara Sarawak terutama di Baram, Niah dan Suai, jika hujan lebat berterusan bagi tempoh beberapa hari lagi .
Berikutan itu, Pejabat Residen Miri meminta semua agensi bantuan serta pasukan keselamatan terbabit mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memantau kawasan yang rendah.
Jurucakapnya berkata, walaupun ketika ini belum ada kawasan di utara Sarawak dilanda banjir, penduduk perlu berjaga-jaga dan sedia dipindahkan jika keadaan memerlukan.
“Berdasarkan ramalan cuaca, kita menjangkakan hujan berterusan beberapa hari lagi dengan banyak kawasan rendah yang sebelum ini pernah mengalami banjir berisiko dinaiki air lagi,” katanya kepada Berita Harian.
Tahun lalu, beberapa kawasan penempatan penduduk sekitar Miri mengalami banjir teruk, khususnya di kawasan berhampiran pantai seperti di Suai, Niah, Bekenu serta beberapa kampung masyarakat Orang Ulu di Baram.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Daerah Niah, George Tan berkata, ketika ini belum ada kawasan di daerah itu dilanda banjir.
Namun, katanya, semua penduduk sudah diminta segera pindah jika paras air sungai berdekatan penempatan mereka terus naik.
“Kita mahu penduduk mengambil langkah lebih waspada jika air sungai di kawasan mereka naik. Jangan tunggu sehingga situasi menjadi bahaya baru berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, pegawai daerah Marudi, Joseph Belayong berkata, belum ada penempatan penduduk di Baram dilanda banjir, khususnya di kawasan Sungai Tutoh.
“Kita sudah minta semua pihak khususnya penduduk yang menetap di tebing Sungai Tutoh supaya pindah ke tempat tinggi jika paras air sungai itu naik mendadak.
“Langkah ini perlu untuk mengelak masalah yang lebih serius kerana arus sungai berkenaan deras dan boleh menghanyutkan kediaman penduduk,” katanya.
berita harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan