Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Isnin, 2 Januari 2012

2 Gergasi Penerbangan Tenat?


Situasi MAS, AirAsia kritikal?

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Tahun 2012 bakal menyaksikan cabaran baharu yang kritikal terutama kepada industri penerbangan negara yang dipelopori oleh dua syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia).

MAS yang dibelenggu masalah kewangan kurang memberangsangkan terpaksa berhadapan dengan penstrukturan semula pengurusannya dalam usaha menghidupkan semula hayat mereka.

Usaha ‘menghidupkan’ MAS telah menyaksikan teraju utamanya ditukar dengan muka baharu dan cadangan pertukaran saham antara syarikat penerbangan kebangsaan itu dengan syarikat penerbangan tambang murah negara.

Penstrukturan semula pengurusan melibatkan peletakan jawatan Pengarah Urusannya, Tengku Datuk Azmil Zaharuddin Raja Abd. Aziz dan diganti oleh Ahmad Jauhari Yahya.

Manakala, pertukaran saham pula menyaksikan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Tune Air Sdn. Bhd. (Tune Air) pemegang saham utama MAS dan AirAsia telah bersetuju untuk memiliki saham daripada kedua- dua syarikat penerbangan.

Tune Air akan memegang 20.5 peratus saham di dalam MAS dan Khazanah akan memegang 10 peratus saham AirAsia, sebagai tambahan Khazanah juga dicadangkan memiliki 10 peratus kepentingan di dalam AirAsia X pada harga yang akan dipersetujui nanti.

Isu pertukaran saham tersebut masih belum dimuktamadkan sehingga kini, tetapi agenda kerjasama tidak langsung telah dapat disaksikan.

Ia bermula dengan penggantungan laluan oleh MAS ke beberapa destinasi utama seperti Dubai dan mengurangkan penerbangan antarabangsa dari hab kedua mereka iaitu Kota Kinabalu.

Selain itu, desas-desus pasaran turut memberikan gambaran bahawa syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia iaitu AirAsia X bakal menamatkan penerbangan ke laluannya di Eropah iaitu London dan Paris pada tahun ini.

Adakah ia merupakan satu kebetulan atau ‘tolak ansur’ berlaku di sini antara kedua-dua syarikat penerbangan tersebut, memandangkan sebelum ini AirAsia begitu ghairah untuk memasuki pasaran Eropah dengan secara mengejut bakal menghentikan operasi mereka ke sana.

Begitu juga, MAS sebelum ini beria-ia mempertahankan Kota Kinabalu sebagai hab kedua mereka selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telah mengambil keputusan untuk mengurangkan perjalanan dari sana.

Alasan utama yang diberikan adalah untuk melaksanakan pelan rasionalisasi bagi mengurangkan kerugian.

Persoalannya sekarang adakah benar laluan-laluan tersebut memberikan bebanan kepada kedua-dua syarikat penerbangan itu.

Melalui pemerhatian, faktor muatan bagi laluan ke London dan Paris untuk AirAsia X boleh dianggap baik dan bagaimana pula perancangan syarikat penerbangan tambang murah itu untuk menakluki Eropah sekiranya dua laluan paling penting ditamatkan operasinya.

MAS pula, sebelum ini mengambil pendekatan meluaskan rangkaian dengan memperkenalkan laluan baharu dan menggunakan Kota Kinabalu sebagai hab kedua terutama untuk perjalanan ke Jepun dan sebagainya.

Walau apa tindakan yang diambil oleh kedua-dua syarikat penerbangan itu sama ada ia merupakan kerjasama atau tolak ansur, apa yang penting ia memberi manfaat kepada semua terutama penumpang.

Selain itu, ia juga perlu mengambil kira bersama-sama membangunkan industri penerbangan negara serta memberikan situasi menang menang kepada kedua-dua syarikat dan bukan hanya bersifat berat sebelah.

PS : Hasil banyak tapi terbaksa bagi-bagi, akhirnya dapat ciput saja, ini bukan niaga kacang putih, modal kacang putih kecil je, modal syarikat penerbangan besar, gaji pengarah dan kakitangan besar, hutang pun besar, tak pandai jimat cermat, peduli apa rugi, nanti kerajaan bantu tolong bayarkan, oh sedap dan senag niaga macam ni, kalau untung mereka sapu, kalau rugi RAKYAT kena tanggung bailout, sedut duit petronas, dan tabung KWSP, Tabung ATM sebagimana zaman kemelesetan krisis 1997, ini bahana krisis ekonomi kapitalis riba yang akhirnya akan tumbang...jom kembali kepada Islam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan