Jawatankuasa yang tiada kuasa
Oleh Adil Mat Selamat
Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa pemilih Parlimen untuk meneliti status sistem pilihan raya ekoran kritikan dan dakwaan wujudnya banyak kepincangan dan kecacatan.
Kita sebagai masyarakat awam sudah tentu akan menyambut baik apa sahaja usaha melaksanakan penambahbaikan yang berkaitan dengan fungsi dan peranan institusi-institusi awam di negara ini, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman.
Sekilas pandang, kita boleh sahaja menganggap bahawa pentadbiran Najib mula memperakui dan tunduk kepada desakan Bersih 2.0 yang mahu kepada pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.
Di pihak kerajaan, sudah tentu perkembangan ini diharap akan dapat ‘mencuci bersih’ imej Najib yang telah tercalar di seantero dunia gara-gara silap percaturan ketika berdepan dengan rakyat ketika tuntutan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Dunia telah melihat bagaimana kerajaan berjanji, mungkir janji dan memutarbelitkan janji; dunia menyaksikan bagaimana polis bertindak agresif dan ganas terhadap orang ramai yang berhimpun secara aman. Dan kini kerajaan Barisan Nasional seperti menjilat kembali ludah sendiri.
Mengapa perlu ada jawatankuasa pemilih?
Namun, setelah kita renung dalam-dalam akan cadangan panel Parlimen ini, timbul beberapa kemungkinan dan kesan yang akan berlaku dan seharusnya dilakukan.
Pertama, bukankah lapan tuntutan Bersih 2.0, jika dilaksanakan oleh SPR dengan perakuan kerajaan, sudah pasti tidak perlu diwujudkan jawatankuasa pemilih Parlimen ini? Bukankah dengan mewujudkan jawatankuasa itu ia akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung satu lagi beban kos?
Kedua, bukankah tuntutan Bersih 2.0 itu sudah amat jelas, ia ditujukan kepada SPR, bukan meminta penubuhan jawatankuasa yang lain? Mengapa tidak distrukturkan kembali, baik dari segi prosedur, proses, akta atau letakkan sahaja SPR di bawah tanggungjawab Parlimen?
Jika langkah ini diambil, selain dari perubahan proses dan perlaksanaan pilihan raya yang akan menjadi lebih bersih dan adil, SPR juga akan dilihat lebih telus kerana mereka akan menjawab terus kepada Parlimen, duit rakyat juga yang selamat.
Ketiga, dan yang paling penting, timbul persoalan di kalangan kita sebagai rakyat, oleh kerana ada keganjilan dan keanehan ini, benarkah jawatankuasa Parlimen itu mampu membawa perubahan yang diharapkan?
Jika kita perhatikan betul-betul, penubuhan jawatankuasa seperti ini seakan sudah menjadi ‘trend’, dan bukan sebagai jalan mencari penyelesaian.
Ke mana perginya hasil siasatan jawatankausa dan suruhanjaya?
Kita belum lupa pada penubuhan beberapa jawatankuasa seumpamanya seperti yang diwujudkan untuk kes kematian Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbaini Mohamed, adik Aminurashid; malah Suruhanjaya Diraja kes pita V.K Linggam suatu ketika dulu yang jelas siapa melakukan kesalahan, telah ‘dimatikan’ begitu sahaja oleh peguam negara.
Kesemua hasil siasatan jawatankuasa dan suruhanjaya ini (dengan entah berapa kosnya) tidak ke mana-mana. Malah kemampuan, kredibiliti dan keberkesanan dari hasil jawatankuasa-jawatankuasa ini terus dipersoalkan.
Jadi apa guna tubuhkan jawatankuasa atau suruhanjaya jika matlamatnya – keadilan – tidak tercapai?
Jika kita pertikaikan perkara ini, maka kerajaan akan menuduh kita macam-macam – tidak mahu menerima hasil siasatan, enggan terima keputusan, dan sebagainya. Maksudnya, walau pun pelaksanaan dan keputusan jawatankuasa dan suruhanjaya gagal menghasilkan kebenaran atau keadilan, kerajaan tetap mahu memaksa kita sebagai rakyat menerimanya.
Itulah yang terjadi dan bakal terjadi khususnya pada penubuhan jawatankuasa pemilih Parlimen yang baru ini.
Hakikatnya, penubuhan segala macam jawatankuasa sebegini hanya untuk menggambarkan bahawa kerajaan ‘pro-aktif’ atau ‘responsif’ terhadap kes-kes yang menjadi isu.
Pada hal, isu tersebut tidak akan ke mana-mana pun. Kemudian, kerajaan akan mendakwa mereka telah melaksanakan transformasi. Mudah sekali sifirnya!
Jawatankuasa pemilih hanya samaran BN
Adakah kerajaan boleh memberi jaminan bahawa penubuhan satu lagi jawatankuasa pemilih untuk penambahbaikan proses pilihan raya ini tidak akan mengikut jejak langkah dan hasil jawatankuasa-jawatankuasa yang telah dibentuk dahulu?
Jika tidak ada jaminan bahawa SPR itu telus, tubuhlah seberapa banyak jawatankuasa dengan sebanyak mana kos sekalipun, hasilnya tetap akan sama.
Hakikatnya, lapan tuntutan Bersih 2.0 itu harus dilaksanakan oleh SPR tanpa kompromi dengan mana-mana pihak. Bersih 2.0 bukan milik Pakatan Rakyat, bukan milik BN, ia adalah milik rakyat Malaysia yang prihatin.
Namun kita juga sedar, jika mengharap SPR dan kerajaan untuk berubah, ibarat menanti bulan jatuh ke riba.
Dengan bertambahnya penubuhan jawatankuasa, rakyat akan tambah dikelirukan lagi tentang peranan dan fungsi institusi awam dalam melaksanakan amanah mereka kepada rakyat.
Hasil kerja jawatankuasa ini kelak, sudah tentu akan dilaksanakan oleh pihak SPR juga yang masih belum telus. Maka, usaha ini hanyalah ibarat menukar sebatang tiang rumah sedangkan keseluruhan rumah itu sendiri sudah reput di makan anai-anai.
Jika kerajaan serius dan jujur, laksanakan sahaja lapan tuntutan Bersih 2.0. Dengan itu, PRU ke-13 ini dapat dilaksanakan secara bebas, adil dan bersih.
Apa yang nampak jelas, Najib sekadar mahu menyedapkan hati rakyat dan mencuri masa untuk UMNO dan BN membuat persiapan pilihan raya.
Jawatankuasa itu kelak, sama ada siap dengan keputusan sebelum atau selepas PRU ke-13, tidak akan punya apa-apa kuasa, jawatan tiada kuasa; sama seperti jawatankuasa dan suruhanjaya yang telah diwujudkan sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan