Oleh Fazli
PULAU PINANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pemberian kontrak bernilai RM2.45 bilion bagi membina pelantar minyak kepada tiga syarikat dipercayai milik kroni Umno Barisan Nasional (BN). Ketua Umum KEADILAN itu tidak menolak kemungkinan tiga syarikat itu dikhuatiri berperanan menyalur sebahagian keuntungan kepada Umno BN menjelang pilihan raya umum akan datang.
Saya mahukan wang itu dikembalikan kepada rakyat. Barulah kita mengangkat martabat serta taraf hidup rakyat. Saya nak jadikan Malaysia negara model, negara contoh apabila kita memerintah,” katanya.
Kira-kira 10,000 penduduk setempat mengikuti ceramah Anwar di Padang Awam, Taman Semilang, Seberang Jaya, malam tadi.
Beliau memberi penerangan berkenaan beberapa isu semasa dalam negara kepada penduduk di Pulau Pinang diselang-seli ‘usikan’ kepada pemimpin Umno Barisan Nasional (BN).
Awal Februari ini, Petronas mengumumkan pemberian kontrak Perkhidmatan Risiko (RSC) kepada Petrofac Energy Developments Sdn Bhd (Petrofac), Kencana Energy Sdn Bhd (Kencana Energy) dan Sapura Energy Ventures Sdn Bhd (Sapura Energy).
Sapura Energy, anak syarikat SapuraCrest Petroleum Bhd (SapuraCrest) dianugerah kontrak untuk membangunkan pelantar minyak dan gas berantai yang dianggar bernilai AS$800 juta (RM2.45 bilion) di persisiran pantai Semenanjung.
Kontrak itu ialah yang pertama dianugerah Petronas mengikut perjanjian minyak baru di Malaysia.
Mengikut perjanjian RSC, Petrofac yang memiliki 50 peratus pegangan ekuiti RSC akan mengendalikan operasi membangunkan pelantar terbabit manakala dua syarikat lain iaitu Kencana Energy dan Sapura Energy, masing-masing memegang 25 peratus kepentingan ekuiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kencana adalah Datuk Mokhzani Mahathir, anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini dinamakan sebagai antara individu terkaya di Malaysia dengan harta peribadi bernilai RM1.075 bilion.
Turut tersenarai dalam 40 individu terkaya di Malaysia yang dikeluarkan majalah Malaysian Business itu, adalah Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam ceramah itu, Ketua Pembangkang itu mengulangi komitmen Pakatan Rakyat untuk menunaikan janji Buku Jingga kepada rakyat termasuk mengurangkan harga minyak serta merta apabila mentadbir Putrajaya.
Beliau juga memberi jaminan terhadap Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN Umno pula, tidak akan ditindas mahupun dipenjarakan seperti amalan parti pemerintah itu terhadap pimpinan pembangkang.
“Saya mahu hantar Najib jadi duta besar Malaysia ke Mongolia,” kata Anwar disambut sorakan meriah dan tepukan gemuruh daripada hadirin.
Anwar juga mendedahkan gelagat Datuk Seri S Samy Vellu ketika beliau masih Timbalan Perdana Menteri, betapa Menteri Kerja Raya itu sentiasa mendesaknya menaik tol.
“September 1998, saya dipenjarakan, Oktober tol naik. Tak lama lagi, mungkin menteri berkenaan dianugerah Tun, Tun Tol,” kata Anwar disambut sorakan hadirin.
Kecelaruan Fitnah II
Anwar turut menyentuh kecelaruan pihak pendakwa raya dalam perbicaraan kes Fitnah II yang sedang berlangsung antara 14 Februari lalu hingga 25 Mac depan.
“Pendakwa sekarang bercelaru dengan bukti mereka sendiri. Pertama, muka surat laporan lain. Yang dia bagi saya dengan yang ada pada mereka, tak sama.
“Kedua, bukti tambahan. Mula-mula dalam laporan, bukti ditanda sampai B11. Tiba-tiba hari bicara, jadi B12 pula,” kata Anwar.
Beliau yakin kecelaruan itu adalah berkat doa rakyat yang menolak fitnah jahat pemimpin Umno BN kepadanya.
‘Ahli Parlimen BN tak perlu pandai’
Dalam nada seloroh, Anwar mengulas pertemuan Najib dengan Ahli Parlimen BN baru-baru ini.
Katanya, Najib memperuntuk masa tiga minit setiap seorang untuk sekadar memastikan mereka menyebut ‘setuju’ atau ‘tidak’ sahaja atas hal diusul Perdana Menteri itu.
“Kerja Ahli Parlimen BN tak payah pandai sangat, cuma kena pandai cakap ‘setuju’.
“Sebab itu bincang dengan Ahli Parlimen tiga minit, cuma kena tengok pandai sebut setuju atau tidak sahaja,” kata Anwar disambut hilai tawa daripada hadirin.
Ceramah Anwar berlangsung selama lebih sejam tamat menjelang pukul 12 malam. Sebaik tamat ceramah itu, hadirin berpusu-pusu berebut bersalaman dengan Anwar.
Tiga syarikat kroni dapat kontrak minyak RM2.45 bilion – Anwar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan