Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Khamis, 1 Disember 2011

Krisis harga ikan melambung

Ikan Kembong Pelaling

Ikan Tongkol @ Aya



KUALA ROMPIN - Harga ikan di Pasar Besar Kuala Rompin, di sini, naik mendadak antara RM0.50 hingga RM5 sekilogram berikutan kekurangan bekalan bahan mentah itu akibat musim tengkujuh.

Rata-rata harga ikan laut mengalami kenaikan tinggi terutama ikan tenggiri yang dijual RM25 sekilogram berbanding sebelum ini RM20 sekilogram.

Seorang peniaga, Bahari Ismail, 51, berkata, musim tengkujuh menyebabkan nelayan tidak turun ke laut seperti kebiasaannya, mengakibatkan bekalan ikan di pasaran berkurangan.

“Mahu tak mahu kami terpaksa naikkan harga kerana bekalan yang kami terima berkurangan sejak awal November lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Bahari berkata, antara ikan lain yang mengalami kenaikan harga ialah selar, kembung, pelaling dan tongkol yang naik antara RM1.50 sekilogram sehingga RM4 sekilogram.

“Ikan selar naik RM4 menjadi RM12 sekilogram berbanding RM8 yang dijual sebelum ini, manakala ikan pelaling sebelum ini dijual RM6 sekilogram naik kepada RM9 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, kenaikan harga itu tidak mampu dikawal peniaga kerana mereka juga mengambil bekalan daripada peraih dengan harga yang tinggi.

Seorang lagi peniaga, Norzamani Kamal, 35, berkata, selain kenaikan harga ikan, hasil laut lain seperti sotong dan udang juga meningkat sebanyak RM2 sekilogram.

“Sotong saiz B biasanya dijual pada harga RM16 sekilogram, tapi naik kepada RM18, manakala sotong saiz C pula daripada RM13 kepada RM15 sekilogram.

"Udang ekor biru dijual pada harga RM30 sekilogram berbanding RM28 sekilogram,” katanya.

Seorang pembeli, Mo­hammad Abu Zaid, 53, ber­kata, kenaikan itu memberi kesan kepada pembeli yang terhimpit dengan kos hidup.

“Walaupun daerah ini dikelilingi hasil laut, namun harga ikan di sini dianggap tinggi menyebabkan penduduk rasa tertekan, ditambah kebanyakan harga barangan keperluan lain juga meningkat,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan