‘Itqan Al-Muluk Bi Ta’Dil As-Suluk; kedaulatan Islam yang dikembalikan PAS
Undang-undang Islam yang digubal di zaman pemerintahan baginda Sultan Zainal Abidin (III) bukti Islam pernah berdaulat di negeri Terengganu.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata ‘Itqan Al-Muluk Bi Ta’Dil As-Suluk’ yang dikuatkuasakan pada zaman itu menunjukkan kepintaran Sultan selaku pemerintah.
“Perlembagaan Negeri Terengganu ‘Itqan Al-Muluk Bi Ta’Dil As-Suluk’, ini berlaku di zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin (III) yang menunjukkan kepintaran beliau.
“Baginda Sultan mewujudkan Perlembagaan Negeri yang digubal oleh Ulama-ulama dan Pembesar negeri waktu itu. “Itqan Al-Muluk Bi Ta’Dil As-Suluk” itu nama Perlembagan Negeri Terengganu,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika wawancara khas mengenai undang-undang Itqan Al-Muluk Bi Ta’Dil As-Suluk di zaman kerajaan Sultan Zainal Abidin (III) di kediamanya, pada Jumaat, 23 Disember.
Menurutnya, dalam Undang-undang negeri tersebut dicatatkan Terengganu sebuah negeri Islam yang dipimpin oleh orang Melayu yang beragama Islam.
Ustaz Hadi yang juga mantan Menteri Besar Terengganu tahun 1999-2004 mendakwa kerajaan PAS Terengganu berjaya mengembalikan semula kedaulatan Islam di negeri ini.
Menurutnya, kemenangan besar PAS yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999 telah meminda Perlembagaan Negeri Terengganu.
Katanya, kerajaan PAS Terengganu telah meminda Perlembagaan Negeri dengan meletakkan al-Quran, Hadis, Ijma’-ulama dan Qias sebagai hukum tertinggi negeri.
“Peranan kita (PAS) yang mencapai kemenangan (pilihan raya) besar tahun 1999. Kita (PAS) meminda Perlembagaan Negeri dengan meletakkan al-Quran, Hadis, Ijma’-ulama’ dan Qias sebagai hukum tertinggi.
“Ini kita (PAS) kembalikan semula kedaulatan Islam sebagaimana yang diasaskan oleh Nabi SAW yang tidak sempat disempurnakan oleh Sultan Zainal Abidin (III). Jadi kita kembalikan semula dan menjadi tanggungjawab kita,” jelasnya.
Kata Dato’ Seri Abdul Hadi, ini merupakan suatu catatan sejarah yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, pihak penjajah pernah menafikan kewujudan undang-undang Islam “Itqan Al-Muluk Bi Ta’Dil As-Suluk” setelah campur tangan Inggeris pada tahun 1928.
“Ini suatu catatan yang bersejarah walau pun penjajah menafikan selepasnya melalui campur tangan penjajah di Terengganu tahun 1928 dan penjajah masuk sepenuhnya di Terengganu selepas Malayan Union,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata Ustaz Abdul Hadi Terengganu menjadi negeri pertama yang dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya tahun 1959 selepas merdeka.
Menurutnya, penubuhan PAS di Terengganu tahun 1956 dan pilihan raya pertama berlaku tahun 1959 serta berjaya memerintah negeri.
“Terengganu ini negeri yang pertama dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya. Pilihan raya yang pertama selepas merdeka pada tahun 1959. PAS masuk tahun 1956 di Terengganu dan tahun 1959 adalah negeri yang pertama PAS menang di Malaysia,” ujarnya.
Katanya, kemenangan Islam di Terengganu tidak dapat bertahan lama kerana menghadapi tekanan yang hebat dari kerajaan pusat.
Menurutnya, kerajaan PAS Terengganu melalui detik sejarah yang pahit dengan istilah ‘dibelasah’ teruk berbanding dengan negeri-negeri lain.
“Cumanya, Terengganu cepat jatuh kerana asas-asas kita (Islam) diroboh oleh penjajah. Oleh kerana, kita ini negeri yang degil dan lawan penjajah. Maka, kita ‘dibelasah’ lebih teruk dari negeri lain.
“Bahkan, apabila kita (PAS) menang di Terengganu tahun 1959 pun kita dibelasah lebih teruk dari negeri lain. Bila kita menang tahun 1999 juga dibelasah lebih teruk dari negeri-negeri lain.
“Itu kita (PAS) kena tengok latar belakang dan puncanya kerana dendam ‘penjajah’ dalam konteks negeri Terengganu terus dibelasah hingga hari ini,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan