SUNGAI BESAR – Pengguna bekalan elektrik menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan penjelasan lanjut mengenai subsidi bahan api oleh Kerajaan Persekutuan dicetak dalam bil diterima.

Pengguna, Osman Mokmin, 60, berkata, kekeliruan itu berlaku apabila dia terpaksa membayar jumlah perlu dibayar seperti yang tertera dalam bil sedangkan ada cetakan sejumlah subsidi bahan api oleh Kerajaan Persekutuan dalam bil yang sama.

“Selain itu, kutipan sebanyak 1 peratus daripada bil elektrik pengguna yang melebihi 300kWj sebulan juga agak mengelirukan dan ia perlu diperjelaskan supaya pengguna tidak membuat pelbagai andaian yang akhirnya boleh merosakkan nama Kerajaan Persekutuan.
“Kita juga tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memburukkan Kerajaan Persekutuan dengan kekeliruan ini,” katanya ketika ditemui, Sinar Harian di sini, semalam.


Kata Osman, disebabkan kekeliruan itu juga, pihaknya mengambil inisiatif menghubungi talian bebas tol dan pejabat TNB berhampiran untuk mendapatkan penjelasan.

“Kita diberitahu, perkara ini adalah berpandukan kepada kelulusan Kabinet dan pernah diumumkan dalam media.

“Mungkin pengguna terlepas pandang dengan pengumuman itu, tetapi mengapa TNB tidak mengambil inisiatif membuat hebahan notis terus ke rumah pengguna sepertimana notis gangguan bekalan elektrik. Ini penting supaya pengguna tahu dan tidak rasa tertipu,” katanya.
Menurutnya adalah menjadi satu keperluan untuk TNB membuat pembaharuan cetakan bil pengguna untuk memastikan kekeliruan seperti itu tidak terus berlaku.

“Sepatutnya, catatkan keseluruhan jumlah bil yang perlu dibayar mengikut tenaga yang digunakan dan kemudiaan barulah ditolak dengan jumlah subsidi bahan api.

“Dari situ barulah pengguna mengetahui lebih jelas jumlah sebenar yang dikenakan terhadap penggunaan tenaga elektrik seperti mana yang tertera dalam bil bekalan air, Syabas yang meletakkan jumlah sebenar sebelum subsidi Kerajaan Negeri dan selepas subsidi diberikan,” katanya./SinarHarian

PS : Sengaja bil kapitalis TNB disusahkan untuk rakyat faham, sama macam plan pemasaran syarikat MLM yang berbelit-belit susunan piramidnya, nak kira bonus pun susah, ianya disengajakan kerana senang nak kelentong ahli bawah.