Jumaat, 11 Mac 2011
Tuntut Pilihanraya bersih sebelum PR Sarawak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini dilihat semakin keterlaluan sehingga seolah-olah telah mengundang rakyat mengalihkan tumpuan daripada pilihan raya kepada demonstrasi ke jalan raya.
Sehubungan itu, Badan Bertindak Demokrasi PAS dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) II menuntut pihak pemerintah supaya mengadakan pilihanraya yang adil di negara ini.
Pengerusi Badan Bertindak Demokrasi PAS, Mohamad Sabu menegaskan, Perdana Menteri perlu menilai kembali segala tindakan yang telah dilakukannya dalam perjalanan pilihanraya di negara ini agak benar-benar berada pada landasan demokrasi.
Menurut beliau, tujuan tuntutan pilihanraya yang adil dibuat supaya setiap keputusan pilihanraya akan dapat diterima oleh seluruh rakyat negara ini.
Katanya, namun keadaan hari ini berada di sebaliknya. Setiap keputusan pilihan raya amat meragukan semua pihak terutama pembangkang kerana ia dijalankan tanpa keadilan.
"Pihak Umno BN yang memerintah bukan sahaja mempergunakan segala jentera kerajaan dengan sewenang-wenengnya, tetapi juga turut mengawal dan memaksa SPR supaya memihak kepada Umno BN dalam pelbagai aspek," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Disebabkan keadaan itu, menurut beliau, hak-hak pihak pembangkang dinafikan sama sekali oleh pihak pemerintah dalam perjalanan pilihanraya di negara ini sama ada pada pilihanraya umum, pilihanraya negeri dan pilihanraya kecil.
"Terbaru, perkara itu boleh dilihat dalam perjalanan pilihanraya dan kempen pilihan raya kecil Dun Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu yang jelas memperlihatkan tindakan SPR yang dikawal oleh Umno BN sehingga seratus peratus memihak kepada Umno BN.
"Dalam masa yang sama, pihak pembangkang pula ditekan dengan pelbagai peraturan yang bukan-bukan termasuk dilarang mengadakan pondok panas dan pemasangan bendera parti. Kesemua itu bertujuan untuk memberikan kemenangan kepada BN," katanya yang juga AJK PAS Pusat.
Menyentuh tentang perjalanan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi yang turut memperlihatkan beberapa peraturan baru diperkenalkan SPR, beliau mengatakan kesemua itu jelas menunjukkan sikap SPR yang tidak profesional dan adil dalam melaksanakan perjalanan pilihanraya di negara ini.
Menerusi peraturan baru itu, SPR akan membenarkan tempoh berkempen selama 7 hari sahaja. Antara alasan yang diberikan pula termasuklah disebabkan kebimbangan SPR dengan kemungkinan tindakan provokasi oleh pihak pembangkang yang jelas tidak masuk akal.
"Dalam kita menuntut supaya tempoh kempen dipanjangkan kepada 3 minggu, SPR pula membuat peraturan baru seperti itu. Ini jelas memperlihatkan sikap perlawanan SPR dengan pembangkang, pada hal tuntutan kita itu adalah untuk keadilan dalam pilihanraya.
"Dengan tempoh kempen sependek itu, apa yang pembangkang boleh buat? Pembangkang sudahlah tidak diberikan ruang bersuara menerusi media kerajaan dan media arus perdana, tidak banyak wang pula.
"Jadi kesemua itu adalah untuk memberikan keuntungan dan kemenangan kepada Umno BN yang memerintah dengan cara yang cukup jelas dan terang-terangan," katanya.
Dengan itu juga, tegasnya, bagaimana rakyat boleh bertahan yang tentunya akan memaksa rakyat berpilihanraya ke jalan-jalan raya nanti seperti yang telah berlaku di Mesir dan Libya.
Turut hadir pada sidang media itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Syed Azman Syed Mohd Nawawi dan calon PAS Dun Merlimau yang baru lalu, Yuhaizad Abdullah. -HD
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan