SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mewartakan 17 tasik, kolam dan bekas lombong di seluruh negeri itu untuk dijadikan sumber air tambahan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.
Beliau berkata, tujuan pewartaan ini adalah untuk menyediakan sumber air tambahan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air sekiranya berlaku kemarau atau krisis air di negeri itu.
“Persampelan tahap kualitinya telah dilakukan supaya boleh digunakan pada waktu kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Keadilan Daily hari ini.
Menurut Elizabeth, Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) juga telah digalakkan pengunaannya di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.
Malah, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melalui Damansara Jaya Residents and Owners Association (DJROA) adalah di antara pihak yang telah memulakan sistem SPAH ini, yang dilancarkan pada 6 November lalu.
Jelas beliau, sistem SPAH ini juga telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Petaling Jaya, di mana kegunaan utama sistem ini adalah untuk menghasilkan ‘eco enzim’, menyiram tanaman dan pokok-pokok hiasan di sekolah, membekalkan air kepada dua kolam ikan hiasan dan digunakan untuk pembersihan secara berkala.
Beliau berkata, melalui penggunaan sistem itu, ia secara tidak langsung mendidik kesedaran tentang kepentingan penjimatan air kepada orang awam.
“Kerajaan Negeri mengesyorkan PBT lain untuk mengikut contoh MBPJ, khususnya dalam penggunaan sistem SPAH,” kata Elizabeth yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan.
Elizabeth berkata, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sendiri akan mempergiatkan promosi penggunaan sistem SPAH pada tahun ini bersama dengan beberapa pihak.
Tambah beliau, buat masa ini, projek dan program yang dijalankan adalah masih di tahap penilaian dan akan dikembangkan lagi berserta penambahbaikan.
Sehubungan itu, pelbagai kempen dan program yang selari dengan pelaksanaan konservasi air ini dianjur kerajaan negeri bagi memupuk budaya penjimatan air serta kesedaran pengguna terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air.
Program tersebut dimulakan dengan Sambutan Hari Air Sedunia 2011 pada 2 April ini disusuli dengan Program Pemuliharaan Sumber Air Melalui Kitar Semula Sisa Minyak Masak.
Selain itu, Program Qua-Qua LUAS pula mendedahkan peserta dengan faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai, seterusnya diberi tunjuk ajar bagaimana untuk mengukur kualiti air sungai secara kimia dan biologi.
Menurut Elizabeth lagi, Jawatankuasa Tetap Hal-Ehwal Pengguna juga akan menjalankan kempen kesedaran jimat air pada tahun ini.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10190
Tiada ulasan:
Catat Ulasan