Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Jumaat, 4 Mac 2011

Lanjut tempoh bayar saman tambah ‘sumber sampingan’





KUALA LUMPUR: Pelanjutan tempoh bayaran saman trafik dengan potongan 50 peratus yang diumumkan kerajaan sehingga 10 Mac ini bertujuan bagi meraih “sumber sampingan”, kata Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, kerajaan sengaja menggunakan alasan sistem tergendala dan kesesakan di kaunter pembayaran untuk melanjutkan tempoh pembayaran, walhal mereka mempunyai agenda lain.

“Ini disebabkan kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM1.5 juta hasil pembayaran saman tersebut walaupun diberi potongan 50 peratus.

“Apabila mendapati jumlah daripada pembayaran saman sehingga mencecah jutaan ringgit, mereka mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh pembayaran supaya dapat dijadikan “sumber sampingan” kerana jumlah saman tertungak keseluruhannya berjumlah RM17 juta,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily.com.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, mereka turut berbuat demikian bagi menampung dana kerajaan disebabkan ketirisan, pengaliran wang haram, rasuah dan sebagainya pada sumber tetap kerajaan.

“Maka ini adalah jalan terbaik bagi menampung perbelanjaan kerajaan,” kata beliau.

Mahfuz berkata, walaupun tempoh tersebut dilanjutkan namun sebenarnya ia akan menyusahkan rakyat kerana terpaksa berulang kali ke pejabat pos atau kaunter untuk melunaskan pembayaran saman.

“Memang menyusahkan rakyat, kalau beritahu awal-awalkan senang. Mereka tidak perlu beratur panjang membuang masa selain bersesak-sesak di kaunter bayaran,” katanya.

Beliau turut berpendapat rakyat yang membayar saman sebenarnya meringankan tugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis kerana mereka tidak perlu ke mahkamah menghadiri perbicaraan kes-kes saman tersebut.

“Saya menyeru supaya rakyat tidak bayar saman kerana memudahkan tugasan JPJ dan polis yang tidak perlu ke mahkamah tetapi senang mendapatkan duit.

“Hanya mahkamah yang boleh putuskan sama ada mereka bersalah atau tidak, maknanya sekarang orang yang bayar saman itu sebenarnya tidak tahu bersalah atau tidak, tetapi hanya tahu bayar sahaja, sekiranya dibicarakan, belum tentu mereka bersalah,” jelas Mahfuz.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan kepada JPJ dan polis supaya mengikut prosedur yang betul berlandaskan undang-undang sekiranya ingin menyaman pesalah trafik dan bukannya mengambil jalan mudah.

“Apabila kes ini dibawa ke mahkamah, polis tidak boleh menggunakan khidmat JPJ tetapi mereka sendiri mesti menyelesaikan dengan kaedah undang-undang. Sekiranya mahu pemandu ikut cara betul, mereka juga perlu ikut undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, Kase akan terus berkempen di JPJ utama setiap negeri kerana mahu melihat sendiri masalah yang berbangkit sebelum tarikh akhir pembayaran saman untuk mendapat potongan 50 peratus tersebut.

“Kita juga akan ke kaunter bayaran lain seperti pejabat pos untuk melihat sendiri masalah rakyat di samping mengedarkan risalah hapus saman ekor dan memberikan nasihat serta penjelasan berlandaskan undang-undang yang betul.

“Selain itu, kami akan memberi jaminan kepada mereka sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah, saman ekor akan dihapuskan kerana membebankan rakyat,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan