Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Jumaat, 11 Mac 2011

Punca virus yang menyerang Polis masih misteri



Kementerian belum kenal pasti sumber penyakit

KUALA LUMPUR: Jangkitan Adenovirus yang dikesan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini sejak seminggu lalu hingga mengorbankan seorang pelatih konstabel manakala 31 lagi dimasukkan ke wad termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU), masih menjadi misteri.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan belum mengenal pasti punca jangkitan itu yang sebelum ini dikaitkan dengan penyakit kencing tikus atau Leptospirosis. Difahamkan, ini kes pertama membabitkan jangkitan Adenovirus membabitkan kumpulan yang ramai di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sepasukan pegawai kesihatan sudah dihantar untuk merawat 412 pelatih inspektor dan konstabel yang kini dikuarantin serta memeriksa pusat latihan itu.

“Bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat jangkitan Adenovirus dan bukannya akibat penyakit kencing tikus, tapi kita belum mengenal pasti punca jangkitan itu.

“Kita masih menyiasat bagaimana jangkitan itu berlaku tetapi keadaan belum mencapai tahap wabak yang boleh mengancam komuniti di sekitarnya kerana virus itu tidak berjangkit melalui udara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selasa lalu, pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 25, meninggal dunia beberapa hari selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berikutan kejadian itu, pusat latihan berkenaan ditutup dan semua bentuk latihan kini diberhentikan bagi mengelak risiko jangkitan virus berkenaan.

Tinjauan Berita Harian semalam mendapati pusat latihan itu dikawal rapi dan sekumpulan pelatih dilihat membersihkan kawasan sekitarnya.

Beberapa pengamal perubatan ketika dihubungi mengesahkan jangkitan virus itu jarang berlaku di negara ini.

Adenovirus dikatakan sekumpulan virus yang berasal dari kelenjar Adenoid dalam kepala berdekatan rongga hidung yang berfungsi melindungi serangan penyakit, tetapi boleh menyebabkan jangkitan pada lapisan tisu saluran pernafasan, mata, usus dan saluran kencing.

Jangkitan Adenovirus biasanya menyebabkan penyakit membabitkan sistem pernafasan, namun ia juga boleh menyebabkan cirit birit, jangkitan selaput mata, jangkitan usus dan ruam serta masalah pernafasan akut (ARD).

Pengamal perubatan, Dr S Thiru, berkata Adenovirus yang tersebar melalui rembesan atau titisan yang keluar dari saluran pernafasan, memerlukan rawatan serta penjagaan rapi.

“Virus mula agresif bila antibodi rendah dan lemah. Biasanya, ia tidak bertindak balas kepada antibiotik kecuali ada gabungan jangkitan virus dan bakteria,” kata doktor sukarelawan itu yang pernah mengikuti misi kemanusiaan di beberapa negara dunia ketiga dan membangun, termasuk Palestin dan Pakistan.

Dr Thiru berkata, antara simpton awal jangkitan Adenovirus ialah demam panas, batuk, cirit-birit dan hilang selera makan sebelum pesakit mengalami komplikasi penyakit yang lebih serius seperti masalah pernafasan teruk dan radang paru-paru.

Syed Azwan Syed Ali
Berita Harian/-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan