Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Selasa, 24 Mei 2011

Terkini gambar dan berita : Anak Yatim Al-Taqwa

Ditempatkan Di Lembah Azwen Sebelum Dapat Penempatan Baru


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (kiri) berangkat meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa, Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat hari ini. - Foto Sairien Nafis



SEKUMPULAN murid tahfiz melihat jenazah tujuh mangsa tanah runtuh untuk disembahyangkan di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Pekan Batu 14, Hulu Langat, tengah hari tadi. Mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Sungai Gahal itu dikebumikan dalam satu liang lahad selepas solat Zohor tadi. - Foto BERNAMA



ORANG ramai hadir ke lokasi tragedi di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa, Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, hari ini bagi mendapatkan gambaran lebih dekat situasi kejadian tanah runtuh selepas operasi mencari dan menyelamat berakhir kira-kira 5.30 pagi tadi dengan penemuan mangsa terakhir pada jam 5.05 pagi. - Foto Aizuddin Saad.

PEMANDANGAN bahagian dalam bangunan lokasi tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa, Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat yang rosak teruk dengan dipenuhi tanah dan batu daripada sisa runtuhan. - Foto Zulfadhli Zulkifli


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau lokasi tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, malam tadi. Dalam tinjauan itu, Muhyiddin mengumumkan bantuan kerajaan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa tragedi itu. - Foto Sairien Nafis


KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang menguruskan penempatan baru penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini yang selamat dalam tragedi itu pada Sabtu lepas.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah berbincang dengan Majlis Perbandaran Kajang supaya rumah anak yatim di lokasi kejadian tidak digunakan sehingga satu keputusan dibuat.

Kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengenakan kadar premium serendah RM1 kepada mana-mana pihak yang ingin menubuhkan pusat kebajikan di tanah milik kerajaan negeri.

"Ia bagi menggalakkan usaha murni itu selain memastikan mereka dapat beroperasi dalam keadaan yang lebih selamat.

"Kerajaan negeri boleh tolong, kalau ada tanah-tanah yang sesuai untuk pemohon baru, kerajaan sedia memberi kadar premium yang rendah," katanya selepas mendengar taklimat tragedi itu di tempat kejadian hari ini.

Pada masa ini, Lembah Azwen Resort menjadi tempat perlindungan sementara bagi 24 kanak-kanak yang terselamat dalam tragedi itu.

Wakil resort itu, yang enggan namanya disiarkan, berkata pihak resort terbabit menyediakan sebuah bilik penginapan bagi menempatkan kesemua kanak-kanak tersebut.

"Selain itu, pihak kami turut menyediakan chalet kepada guru-guru dan petugas rumah anak-anak yatim berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Resort itu, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian akan menjadi tempat perlindungan sementara bagi kanak-kanak itu sehingga mereka mendapat tempat baru disediakan oleh pihak berkaitan.

Terdahulu, kerajaan negeri Pulau Pinang turut menghulurkan bantuan berjumlah RM25,000 kepada mangsa dan waris tanah runtuh itu di mana setiap waris mangsa yang terkorban menerima sumbangan RM1,000, RM500 bagi setiap mangsa yang cedera sementara RM4,500 kepada rumah anak yatim berkenaan.

Sumbangan disampaikan oleh Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu yang mewakili Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan