Kes jambatan bengkok: Eskay dicabar sumpah laknat
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN mencabar ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah supaya melakukan sumpah laknat dalam kes jambatan bengkok.Naib Presiden AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, ini kerana Eskay sebelum ini menjadikan medium ‘sumpah’ untuk membuktikan kebenaran dakwaannya, dengan membelakangi prosedur dan prinsip undang-undang.
“Sekiranya Datuk T iaitu Eskay tidak berpuas hati kerana permohonan saman nya di mahkamah ditolak, AMK sarankan agar dia bersumpah seperti mana yang dilakukan dalam kes video fitnah yang kononnya dilakukan untuk menegakkan kebenaran.
“Ini lah akibat perbuatan cuba mempolitikkan sumpah yang sejak awal kami bantah kerana tidak berlandaskan prinsip undang-undang dan kebenaran,” sindir Rozan ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Rozan secara sinis berkata, AMK juga tidak gentar dengan kenyataan Eskay semalam, yang kononnya akan mendedahkan ‘perkara baru’ mengenai Anwar.
“Kami yakin sejak awal tuduhan terhadap Anwar bermotif politik. AMK tidak takut kerana kami yakin semuanya adalah strategi politik yang ternyata kempen untuk membunuh kredibiliti Anwar. Ia adalah semata-mata satu komplot,” tegasnya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenepikan saman sebanyak RM20 juta yang dikemukakan Eskay berhubung projek pembinaan jambatan bengkok.
Keputusan berkenaan dibuat hakim Datuk VT Singham dengan alasan penganugerahan projek itu tidak lagi wujud, maka tuntutan berkenaan juga perlu ditolak.
Eskay yang merupakan pengarah dalam syarikat Aman Agropreneur Sdn Bhd menamakan Merong Mahawangsa dan pengarah eksekutifnya Yahya Abdul Jalil sebagai defendan bagi dakwaan pelanggaran kontrak itu.
Sebelum ini, bekas pengawal peribadi Tan Sri Megat Junid Megat Ayob mendedahkan, Eskay membuat perancangan untuk membalas dendam terhadap Anwar.
Mohamad Mahti Abdul Rahim 63, berkata, Eskay memberitahunya akan menjatuhkan Anwar, kerana enggan menjadi saksi dalam kes itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan