KL Larut dibenar pohon batal keputusan exco S'gor
Syarikat KL Larut Sdn Bhd hari ini dibenarkan memulakan prosiding bagi memohon mahkamah mengusulkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang menolak permohonan syarikat itu memperbaharui pajakan melombong ke atas dua bidang tanah seluas 416.8 hektar di daerah Kuala Selangor.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ahmad Zaki Husin juga membenarkan KL Larut memohon agar mahkamah mengusul suatu perintah mengarahkan responden pertama, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, untuk meluluskan permohonan syarikat itu bagi pembaharuan pajakan lombong tersebut bagi tempoh 10 tahun selanjutnya selaras dengan Seksyen 66 (5) Enakmen Mineral (Selangor) 2000.
Dalam prosiding yang dijalankan di mahkamah terbuka, Ahmad Zaki turut membenarkan KL Larut memohon suatu perintah yang mengumumkan bahawa syarikat itu berada dalam posisi yang sah ke atas tanah tersebut berbanding dengan pihak berkuasa negeri sehingga responden pertama memperbaharui pajakan melombong atau sehingga perintah selanjutnya dibuat oleh mahkamah.
Mahkamah menetapkan 28 Jun depan untuk mendengar permohonan tersebut.
Selain Pengarah Tanah dan Galian Selangor, KL Larut yang memfailkan permohonan itu melalui Tetuan S.Kandasami & Co pada 3 Mei lepas turut menamakan Pentadbir Tanah Daerah Kuala Selangor dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd sebagai responden kedua dan ketiga.
Dalam alasan permohonannya, syarikat perlombongan itu mendakwa pada 20 Oktober 1999 pihak berkuasa Selangor telah meluluskan permohonannya untuk pajakan melombong dua bidang tanah berkenaan pada premium RM2,500 sehektar bagi tempoh 10 tahun dengan bayaran tambahan sebanyak RM25,000 sehektar bagi setiap tahun pembaharuan untuk tempoh tidak melebihi 10 tahun.
KL Larut mendakwa sebelum tamat tempoh pajakan 10 tahun yang pertama pada 14 Julai 2009 iaitu 12 bulan sebelum tempoh pajakan lombong itu tamat, pihaknya telah memohon untuk pembaharuan pajakan lombong tersebut bagi tempoh masa 10 tahun selanjutnya.
Syarikat itu yang diwakili peguam K.Saraswathy berkata di bawah Seksyen 66 (5) Enakmen Mineral (Selangor) 2000, responden pertama harus meluluskan pajakan lombong dalam masa enam bulan daripada tarikh pendaftaran permohonan untuk pembaharuan.
Dalam kes ini, permohonan KL Larut untuk pembaharuan pajakan lombong harus diluluskan pada atau sebelum 14 Jan 2010 kerana di bawah Enakmen tersebut, syarikat itu sebagai pemegang pajakan semasa berhak secara asas untuk pembaharuan pajakan lombong tersebut.
KL Larut mendakwa daripada meluluskan permohonannya, responden telah memajukan permohonan syarikat itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah menolak permohonan tersebut pada 26 Okt 2010 dan keputusan itu dikemukakan kepada peguamcara syarikat tersebut pada 20 April lepas.
Syarikat itu berkata sementara permohonannya masih dalam pertimbangan, Mesyuarat Stanco Tanah pada 24 Sept 2010 telah meluluskan permohonan oleh Kumpulan Semesta untuk mengeluarkan timbunan pasir dari sebahagian tanah tersebut.
KL Larut mendakwa penolakan permohonannya untuk pembaharuan pajakan lombong oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah ultra vires (melanggari batasan undang-undang) dan melanggari Seksyen 66 Enakmen Mineral (Selangor) 2000 sementara kelulusan Mesyuarat Stanco Tanah yang diberi kepada Kumpulan Semesta adalah tidak sah.
Syarikat itu mendakwa segala tindakan yang diambil oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mesyuarat Stanco Tanah dan kesemua responden adalah berat sebelah, mala fide (berniat jahat), melanggari undang-undang serta tidak sah.
KL Larut mendakwa pihaknya berada dalam kedudukan yang sah sementara menunggu kelulusan permohonan untuk pembaharuan pajakan lombong oleh responden pertama.
Bagaimanapun, pada 26 April lepas, syarikat itu berkata responden kedua dan Kumpulan Semesta telah campur tangan dalam kedudukan ke atas tanah tersebut serta telah cuba mengeluarkannya daripada tanah berkenaan secara paksaan.
Akibat daripada tindakan itu, KL Larut mendakwa pihaknya telah mengalami kerugian dan kerosakan.
- Bernama
Sabtu, 14 Mei 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan