Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Khamis, 21 Julai 2011

UMNO dulu kini.....tunduk pada MCA



Oleh Zulkifli Yahaya

Saya masih ingat peristiwa pada minggu orientasi pelajar baru UKM tahun 1984, Zulkifli Mamat (sekarang Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Kelantan) selaku pengarah minggu orientasi telah memanggil beberapa orang pelajar yang dianggap melanggar tatatertib berpakaian naik ke pentas. Salah seorang darinya ialah pelajar lelaki berketurunan Sikh yang memakai gelang tangan. Mengikut peraturan minggu orientasi memakai gelang tidak dibenarkan, kecuali jika menjadi amalan agama.

Apabila diberitahu bahawa ‘kesalahannya’ ialah memakai gelang, pelajar Sikh tersebut melenting, “Ini adalah kepercayaan agama saya,” katanya. Dengan selamba Zulkifli menjawab, “maafkan saya, saya tidak tahu itu kepercayaan agama awak, teruskan memakai.” Kata-kata itu diucapkan di hadapan ribuan pelajar baru pelbagai kaum. Ramai yang memuji sikap toleransi Persatuan Mahasiswa UKM terhadap kebebasan amalan dalam agama masing-masing. Sikap toleransi itu menjadi antara sebab kepimpinan PMUKM dikekalkan apabila pilihanraya kampus diadakan sejurus selepas itu.



Saya sangat yakin bahawa Zukifli Mamat sengaja mencetuskan peristiwa itu bagi memberi kesan mendalam terhadap para pelajar, khususnya Non Muslim, bahawa kumpulan Islam menjamin kebebasan beragama. Memberi penjelasan melalui insiden lebih efisien dari hanya memberitahu secara lisan bahawa Islam menjamin kebebasan beragama.

Di sebalik kekecohan tindakan kerajaan negeri Kedah mengharamkan operasi pusat hiburan sepanjang bulan Ramadhan rupanya ia memberi kesan yang positif terhadap PAS di kalangan bukan Islam. MCA dan Gerakan mengetuai penentangan terhadap langkah kerajaan negeri itu. DAP pun tumpang sekali, bersuara kononnya langkah kerajaan negeri menafikan hak asasi bukan Islam untuk berniaga dan berhibur. Ketua Pemuda Gerakan, Tan Ken Liang ugut akan mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan negeri kerana menghalang hak bukan Muslim.

Kerana yang membantah dan menentang ialah masyarakat bukan Islam terutama masyarakat Cina, Menteri Besar memanggil Dewan Perhimpunan Cina Kedah sebagai wakil pengusaha 300 pusat hiburan untuk mendengar pandangan dan keluhan. Kira-kira 30 orang operator hiburan turut hadir.

Keputusannya, pengusaha bukan Islam boleh meneruskan operasi dengan syarat ia hanya untuk pelanggan bukan Muslim, tidak untuk orang Islam di samping beberapa syarat lain yang perlu dipatuhi.

Selepas berhari-hari media Cina melaporkan langkah kontroversi kerajaan negeri Kedah itu sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat bukan Muslim melalui laporan yang dimanipulasikan, tiba-tiba Menteri Besar meredakan semacam menjirus air di atas api yang menyala. Ia sangat dramatik dan memberi kesan positif yang mendalam di kalangan masyarakat Cina, berbanding jika dari awal kerajaan negeri telah membuat keputusan tersebut. Mereka nampak bahawa kumpulan Islam lebih toleran berbanding sebuah kumpulan Melayu yang rasis.

Pengusaha pusat hiburan diberi syarat keras supaya tidak membenarkan orang Islam memasukinya atau lesen mereka ditarik balik serta merta. Bermakna penguatkuasaan ini akan dilakukan oleh pengusaha pusat hiburan sendiri kerana tiada peruntukan pula untuk bertindak terhadap pelanggan, kecuali pelanggan melakukan kesalahan syariah seperti minum arak atau tidak berpuasa. Mana ada enakmen yang tidak membenarkan umat Islam menyanyi di karaoke?

Orang Islam tidak rugi apa-apa jika pusat hiburan hanya dipenuhi bukan Muslim. Lantaklah bukan Muslim nak berhibur tunggang langgang sehari suntuk pun. Rasulullah SAW sudah bersabda, “Dunia adalah syurga bagi orang kafir dan neraka bagi orang Mukmin.”

Peraturan tidak membenarkan pengusaha pusat hiburan menjalankan operasi di bulan Ramadhan bukan peraturan baru. Enakmen mengenainya dibuat pada tahun 1997 sewaktu Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar dan diwartakan pada 12 Febuari 1998. Sebahagian besar pengusaha pusat hiburan adalah bukan Islam, jika enakmen itu berkuatkuasa bermakna selama sebulan mereka tidak boleh cari makan dan sebulan juga kalangan bukan Islam tidak boleh masuk pusat hiburan.

Untuk tahun pertama peraturan itu diwartakan ia sudah tidak dapat dilaksanakan kerana mendapat tentangan kuat dari para pengusaha pusat hiburan dan pertubuhan Cina. Walaupun MCA dan Gerakan yang turut menyokong kelulusan enakmen tersebut tetapi apabila tentangan dari masyarakat Cina terlalu kuat, mereka kemudian berpaling tadah turut menentangnya. Maknanya antara sebab peraturan itu tidak dilaksanakan adalah kerana bantahan MCA dan Gerakan. Perkara ini tidak didedahkan oleh media. Ia berlarutan sehingga BN tumbang tahun 2008 tanpa dilaksanakan sehari pun.

Jika hari ini UMNO menuduh PAS tunduk pada DAP kerana tidak menguatkuasakan enakmen tersebut pada tahun ini, maka hakikatnya UMNO lebih awal telah tunduk kepada MCA dan Gerakan selama 10 tahun. Mengapa hal ini dilupakan? Akhbar rasis Melayu, Utusan Malaysia melaporkan ‘PAS tunduk pada DAP’ kerana melonggarkan peraturan untuk bukan Islam, bagaimana pula dengan negeri-negeri diperintah BN sekarang seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor; peraturan untuk menghalang umat Islam ke pusat hiburan pun tidak ada, adakah bermakna ‘UMNO telah tunduk pada MCA dan Gerakan’?

Larangan operasi pusat hiburan sepanjang Ramadhan di Kedah meliputi pusat karaoke, disko, pub dan persembahan terbuka yang boleh diakses dengan mudah oleh masyarakat awam seperti di restoran dan coffee house. Manakala pusat rekreasi seperti snooker, billiard, cyber cafe dan bowling dibenarkan. Persembahan budaya dan agama masyarakat bukan Islam dibenarkan dengan pertimbangan Pegawai Daerah.

Larangan terhadap operasi pusat hiburan di bulan Ramadhan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 4 Mei 2011 lalu selepas melihat senario semasa mutakhir ini yang menunjukkan kerosakan akhlak umat Islam, khususnya remaja, banyak disumbangkan oleh pengaruh pusat hiburan. Majoriti pengunjung pusat hiburan adalah anak Melayu/Islam sedangkan taukenya bukan Islam. 75 peratus atau 1.8 juta rakyat Kedah beragama Islam. Kepentingan 1.8 juta orang mesti menjadi keutamaan.

Timbul pula persoalan mengapa hanya berkuatkuasa di bulan Ramadhan, mengapa tidak laksanakan terus untuk semua bulan? Memang betul, sepatutnya begitu tetapi biarlah perkara yang baik ini dikuatkuasakan dulu di bulan Ramadhan. Baru mahu dilaksanakan untuk sebulan pun sudah kecoh seantero dunia jika mahu dikuatkuasakan di semua bulan tentulah cabarannya lebih besar. Namun tidak bermakna kerajaan negeri tidak mempunyai hasrat tersebut. Apapun, menguatkuasakan untuk umat Islam sahaja jelas lebih baik dari UMNO yang tidak menguatkuasakan kepada sesiapa pun.

UMNO yang sudah putus harapan terhadap sokongan masyarakat Cina terhadap mereka cuba meraih sokongan orang Melayu dengan menggambarkan PAS tunduk kepada bukan Muslim khususnya masyarakat Cina. Satu soalan yang dapat mematikan tuduhan mereka iaitu, jika BN kembali berkuasa di Kedah adakah mereka akan menghalang terus bukan Muslim berniaga pusat hiburan dan berhibur di bulan Ramadhan? Maka UMNO termonyeh-monyeh tidak berani untuk menjawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan