Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Rabu, 6 Julai 2011

Bersih: MB tawar Stadium Shah Alam



SHAH ALAM 5 JULAI : Kerajaan Selangor menawarkan kemudahan stadium di negeri ini untuk perhimpunan aman Bersih 2.0 kerana usaha untuk memupuk pilihan raya yang adil dan telus akan memanfaatkan rakyat, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata sekirannya penganjur Bersih 2.0 memohon untuk menggunakan stadium- stadium di Shah Alam, beliau akan meluluskannya tertakluk kepada syarat- syarat biasa yang dikenakan kepada pihak yang mahu menggunakan premis sebegitu.

"Sekiranya NGO Bersih meminta kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam, saya akan setuju. Bagaimanapun perhimpunan itu perlulah dilakukan dengan penuh tatatertib serta berdisiplin," ujar Khalid.

Khalid berkata, perhimpunan Bersih harus disokong oleh rakyat kerana ia bertujuan memastikan pengundi berpeluang memilih kerajaan yang terbaik menerusi pemilihan yang bebas daripada penipuan dan pembohongan.

"Secara peribadinya saya berpendapat, usaha Bersih adalah untuk memastikan pilihan raya di negara ini diadakan dengan adil dan bersih.

"Perhimpunan ini diadakan bukan untuk diri saya, tetapi untuk anak cucu saya pada masa akan datang. Golongan muda juga pastinya mahu tuntutan seperti itu dilaksanakan," kata beliau.

Tengah hari tadi penganjur Bersih 2.0 menghadap Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan akur dengan nasihat baginda supaya perarakan aman pada 9 Julai dibatalkan dan sebaliknya perhimpunan itu di adakan di stadium.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenavasan berkata pihaknya akan berkerjasama dengan kerajaan untuk memilih stadium yang sesuai bagi mengadakan perhimpunan itu yang dijangka membabitkan lebih 100 ribu peserta.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini mengecam hebat hasrat Bersih untuk berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum kepada Istana Negara bagi menuntut pilihanraya umum adil dan telus.

Lebih 150 orang ditangkap hanya kerana memakai baju dengan logo Bersih. Kerajaan dan polis juga dikecam kerana menahan enam orang di bawah Ordinan Darurat yang menentapkan penahanan tanpa perbicaraan.



Ulasan GB

GB dari awal lagi telah mencadangkan agar perhimpunan BERSIH 2.0 di adakan di Stadium Shah Alam.

GB dasarkan pilihan tersebut kepada beberapa faktor.

Stadium Shah Alam merupakan satu-satunya stadium yang terbesar yang dimiliki oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Stadium ini sering digunakan untuk penganjuran sukan bertaraf dunia, boleh memuatkan 100,000 orang dan hampir 8,000 tempat parkir kenderaan.

Mungkin ada yang mencadangkan Stadium Bukit Jalil.

Namun bagi GB, dari sudut kawal-selia, kedudukan geografi dan karenah birokrasi, maka Stadium Shah Alam adalah pilihan yang lebih tepat.

Kita akan mendapat kerjasama sepenuhnya dari kerajaan negeri Selangor seperti kenyataan Menteri Besar di atas berbanding dengan penggunaan stadium-stadium lain.

Dan yang paling utama kita tidak mahu provokasi - tak kira siapa dalangnya. Jika di Bukit Jalil masih terdedah dengan provokasi banyak pihak kerana sesiapa pun boleh diundang untuk masuk ke situ dan menimbulkan huru-hara.

Selain dari itu kita dapat membantu memajukan peniaga-peniaga di sebuah negeri Pakatan Rakyat yang mana kita telah awal-awal ditolak oleh peniaga-peniaga di WP.

Jadi, sekurang-kurangnya peniaga-peniaga kecil dapat menumpang mencari rezekinya di hari berhimpunnya peserta-peserta BERSIH yang MAJORITInya saya yakin ahli kepada parti komponen Pakatan Rakyat.

Biarlah PERKASA, PESAKA, Pattriot dan gerombolan FRU di Bukit Jalil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan