Selasa, 19 Julai 2011
Hadi: Pihak bantah PAS sokong Ambiga buta sejarah Islam
KUALA LUMPUR, 19 Julai — PAS menyifatkan pihak-pihak yang membantah PAS menyokong perhimpunan Bersih 2.0 dengan alasan ia dipimpin oleh bukan Islam, Datuk S Ambiga sebagai buta sejarah Islam.
“Nabi Muhamad S.A.W. menyertai perjanjian Al Fudul di Mekah untuk membantu mereka yang dizalimi ketika Nabi belum menyebarkan Islam. Dan Baginda berkata dalam satu hadisnya, sekiranya ia berlaku lagi (semasa sudah menyebarkan Islam), aku akan menyertainya.
“Jadi berdasarkan sejarah ini, orang yang kata kat PAS itu tidak tahu sejarah Islam sebenarnya,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara khasnya dengan Harakahdaily dan Harakah.
Beliau mengulas kenyataan ramai pemimpin BN khasnya di kalangan pemblog Umno yang mempertikaikan PAS yang menyokong perjuangan Bersih 2.0 yang dipimpin oleh Datuk S Ambiga.
Mereka membuat pelbagai dakwaan buruk terhadap Ambiga dan mengecam PAS yang menyokong dan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.
Turut menyertai perhimpunan itu dan ditangkap polis adalah Hadi sendiri yang terpaksa naik 'black maria' polis dan dibawa ke balai polis Jinjang.
Selain beliau turut ditahan ialah timbalannya Mohamad Sabu dan dua naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
Menurut Hadi, semasa Nabi belum menyebarkan Islam, bapa saudara beliau telah mengajaknya bertemu dengan para pemimpin Arab ketika itu di rumah Abdullah Al Judaan di kota Mekah.
Ia turut disertai sama oleh Abu Jahal dan Abu Lahab iaitu dua pembesar Quraisy ketika itu yang banyak menentang perjuangan Islam yang dibawa baginda.
Perjanjian yang dinamakan Al Fudul itu adalah bertujuan untuk mengikat janji bagi mempertahankan mereka yang dizalimi.
Selepas sudah menyebarkan Islam, Baginda menceritakan peristiwa ini kepada para Sahabat Baginda dan berkata, jika perjanjian sebegitu berlaku lagi, Baginda akan menyertainya.
“Saya yakin, Datuk Ambiga adalah profesional yang adil. Begitu juga Datuk Samad Said. Takkan mereka sama dengan Abu Jahal dan Abu Lahab. Jadi apa salahnya kita bersama-sama memperjuangkan kebaikan yang ingin dibawa oleh Bersih 2.0 pimpinan mereka,” kata Hadi lagi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan