Nik Aziz: Daratkan minyak di Kelantan
Kata Mursyidul Am PAS itu, minyak dan gas ditemui di kawasan perairan Kelantan.
PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membenarkan minyak dan gas didaratkan di negeri itu.“Saya bercadang untuk menghantar sendiri surat tersebut kepada Perdana Menteri,” kata Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu.
Katanya, penemuan minyak dan gas itu di kawasan perairan Kelantan. Kosnya tentu lebih ekonomik kerana lebih dekat dengan Kelantan.
Telaga Surya dan Telaga Bumi dari Blok PM 301, North Malay Basin mengeluarkan 60,000 tong sehari atau 21.6 juta tong setahun.
Ia akan memberi pendapatan keseluruhan sebanyak RM5.24 bilion setahun mengikut harga pasaran minyak mentah dunia dengan andaian harga minima USD80.00 setong.
Sekiranya lima peratus royalti bermakna lebih RM262 juta setahun adalah hak rakyat dan negeri Kelantan.
Kerajaan Pusat sebelum ini dilapurkan akan membina paip di lautan berharga RM15 bilion untuk mendaratkan minyak dan gas ini di Kerteh, Terengganu.
Sebelum ini rombongan kerajaan negeri yang diketuai Exco Kanan, Datuk Husam Musa telah menghantar memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memohon royalti minyak diberikan kepada kerajaan Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan