Arroyo ditangkap polis
MANILA - Polis Filipina semalam menangkap bekas presiden, Gloria Macapagal Arroyo kerana didakwa berkomplot dengan seorang panglima perang untuk menipu dalam pilihan raya.
Beliau boleh dipenjarakan seumur hidup kerana kesalahan tersebut.
Penangkapan itu berlaku selepas pihak berkuasa menghalang Arroyo, 64, daripada meninggalkan Filipina setibanya beliau di lapangan terbang Manila di sini dengan memakai alat penyokong leher.
Ketika itu, Arroyo mahu meningglakan Filipina untuk menjalani rawatan perubatan sakit tulang di luar negara.
Menurut polis, Arroyo bersama suami dan peguamnya semasa waran tangkap dihantar ke biliknya di Pusat Perubatan St. Luke di bandar Taguig, Manila tempat bekas presiden tersebut dirawat kerana sakit tulang.
Keputusan mendakwa Arroyo oleh Suruhanjaya Pilihan Raya semalam kerana menipu dalam pilihan raya senator pada 2007 turut menandakan kemuncak kempen Presiden sekarang, Benigno Aquino untuk mendakwa pemimpin itu kerana jenayah rasuah.
"Aquino berikrar untuk membawa Arroyo ke muka pengadilan selepas beliau memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya pada tahun lalu.
"Arroyo akan berada dalam negara dan berdepan dakwaan mensabotaj pilihan raya" kata Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima dalam satu kenyataan selepas sebuah mahkamah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas presiden berkenaan.
"Adalah menjadi hasrat kami supaya rakyat Filipina mendapat keadilan yang sepatutnya," tambah kenyataan sama.
Arroyo yang merupakan seorang bekas profesor universiti dan presiden wanita kedua Filipina didakwa melanggar banyak akta rasuah dan penipuan pilihan raya semasa era pemerintahan beliau dari 2001 hingga pertengahan tahun lalu.
Beliau beberapa kali menggagalkan usaha Parlimen untuk memecatnya ekoran dakwaan melakukan penipuan dalam pilihan raya semasa memerintah Filipina.
Beberapa pembantu Arroyo menyatakan beliau dirawat di hospital kerana menghidap sejenis penyakit tulang yang jarang berlaku.
Arroyo juga telah menjalani tiga pembedahan tulang belakang sepanjang tahun ini.
De Lima berkata, pemerintah tidak membantah Arroyo ditangkap ketika beliau dirawat di hospital.
Namun, pihak berkuasa tidak bertindak segera untuk menangkap Arroyo.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada bekas pemimpin itu akan ditahan sehingga perbicaraan berlangsung.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, penipuan undi itu berlaku di wilayah Maguindanao, selatan Filipina yang diperintah oleh keluarga Ampatuan.
Sekutu-sekutu Arroyo rapat dengan keluarga Ampatuan.
Keluarga Ampatuan mempunyai reputasi sebagai penglima perang dan melaksanakan pemerintahan di wilayah itu selama satu dekad dengan satu kumpulan tentera peribadi yang ganas. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan