Kedai Rakyat 1Malaysia nak kemana?
15 NOVEMBER – Baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan bahawa susu segar 1Malaysia telah dicemari dengan virus E.Coli dan Coliform. Ia adalah hasil usaha Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua yang telah mendapat laporan ujian makmal ke atas produk tersebut.
Kini, bukan sahaja kualiti produk jenama 1Malaysia ini semakin dipersoalkan tetapi juga kemungkin produk-produk lain membahayakan kesihatan rakyat. Apakah kesan dan tindakan pihak berkuasa? Sama-sama kita tunggu dan lihat.
Langkah politik atau keperluan ekonomi
Melihat kepada usaha pihak kerajaan yang mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), ia adalah satu langkah politik, bukan untuk meningkatkan ekonomi negara atau meringankan beban ekonomi rakyat.
Ya, kesan pada ekonomi itu memang wujud, tetapi yang kita maksudkan sebagai langkah politik ini adalah manifestasi kepada simbol dan imej yang ditonjolkan terlalu berlebihan, melebihi dari rasional dalam hal perniagaan dan ekonomi.
Dengan kata lain, logo 1Malaysia ini dilihat terlalu menonjol seolah-olah inilah saja cara terbaik untuk menarik pembeli dalam mencapai objektif kedai ini iaitu meringankan beban rakyat.
Teorinya agak mudah, iaitu kerajaan UMNO-BN mencipta KR1M dengan hujah bahawa ia punya signifikan dengan slogan Najib Tun Razak iaitu ‘rakyat didahulukan’.
Makna konsep kedai rakyat 1Malaysia ini mementingkan kemampuan pengguna, iaitu rakyat untuk membeli barangan tersebut. Harga produk-produk ini didakwa sebagai antara yang paling murah. Ia bersesuaian dengan kemampuan rakyat yang majoritinya kelas bawahan yang tinggal dibandar besar.
Selain daripada harga, secara zahirnya produk dari kedai rakyat 1Malaysia ini dapat dikenal dengan mudah menerusi label atau pembungkusannya (packaging) yang menggunakan logo 1Malaysia.
Logo 1Malaysia bererti produk daripada UMNO-BN tetapi wang yang digunakan adalah milik rakyat kerana pembiayaannya adalah oleh kerajaan persekutuan yang hidup dan wujud semata-mata atas cukai rakyat dan sumber hasil negara.
Penjenamaan semula
Jenama asal produk-produk ini tidak begitu jelas sumbernya, tetapi yang nyata bahawa semua produk ini telah dibungkus semula dengan saiz dan berat yang berbeza-beza dari produk asal.
Inilah yang paling menonjol pada apa yang dikatakan produk kedai rakyat 1Malaysia.
Kesinambungan idea Tun Mahathir Mohamad (yang memgambil barangan orang lain dan dibungkus semula menjadi produk Malaysia seperti kenderaan keluaran negara) masih ‘dibeli’ oleh Datuk Seri Najib Razak. Cuma kali ini dengan ‘packaging’ dan label yang berlainan.
Jika kita dapat lihat laman web kedai rakyat 1Malaysia ini, tertera dengan jelas pautan ke laman 1Malaysia – laman web peribadi Najib dan laman web pejabat Perdana Menteri. Adalah jelas, ilham Perdana Menteri ini adalah semata-mata langkah politik bagi menggilap imej beliau dan pentadbirannya bagi meyakinkan rakyat dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.
Persaingan atau persengkokolan?
Jadi, bagaimana pula teori yang menunjukkan bahawa idea kedai rakyat 1Malaysia ini bukan berlandaskan keperluan pertumbuhan ekonomi?
Kita juga sudah sedia maklum bahawa syarikat Mydin merupakan satu-satunya pengusaha yang dilantik untuk membekal kesemua barangan kedai rakyat 1Malaysia. Kehairanan ini timbul kerana kita mengetahui bahawa dalam industri IKS, bukan hanya Mydin sahaja yang wujud, malah berpuluh-puluh lagi syarikat anak tempatan yang mempunyai kemampuan untuk membekal barangan tersebut.
Dalam aspek ini kita tidak nampak keinginan kerajaan untuk membuka peluang dan persaingan yang sihat dalam memberi pilihan dan meningkatkan kualiti produk kedai rakyat 1Malaysia. Bukankah namanya kedai rakyat dan objektifnya juga untuk rakyat, jadi mengapa hanya Mydin sahaja yang menjadi pembekalnya?
Adakah kerajaan Najib ingin mencipta taikun baru semata-mata untuk bersaing dengan Tesco, Giant atau Carrefour? Jika benarlah begitu maka ini bukan untuk rakyat, sebaliknya untuk kroninya.
Jika benar idea kedai rakyat 1Malaysia ini punya keperluan ekonomi yang mendesak atau benar-benar ingin membantu rakyat, mengapa pengusaha tempatan yang lain tidak diberi peluang untuk terlibat bersama secara terus? Adalah lebih baik jika idea ini diambil kesempatan untuk membuka peluang kepada pengusaha-pengusaha tempatan yang lain agar mereka dapat memperkenalkan produk mereka.
Dalam isu kedai rakyat 1Malaysia ini, kita tidak nampak faktor ekonomi itu lebih penting dari langkah politik Najib. Apabila sudah jelas bahawa idea kedai rakyat 1Malaysia ini adalah langkah politik beliau, maka tidaklah menghairankan kita jika kualiti produk-produk tersebut terus dipertikaikan oleh rakyat.
Hukum nilai itu sudah jelas, tidak ada barang berkualiti dapat dimiliki pada harga yang murah. Jadi janganlah kita menipu diri sendiri. Apa yang rakyat inginkan ialah, kewajaran dari segi kualiti, pilihan yang banyak, peluang yang sama rata dan imbuhan yang sewajarnya.
Jika ini gagal difahami oleh kerajaan, KR1M tidak akan kemana-mana, sebaliknya hanya menjadi jaguh kampung. Yang rugi tetap orang kampong, sejak dulu, kini dan mungkin selamanya jika UMNO-BN dibiarkan berleluasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan