Dari isu Hudud ke Homoseksual: Pakatan Rakyat diperangkap
Sesungguhnya, "bulan madu" Pakatan Rakyat sudah tamat tempohnya. Malah, "keghairahan untuk menukar kerajaan persekutuan" di kalangan rakyat sedikit sebanyak menyurut selepas lebih tiga tahun lanskap politik Malaysia dilanda "tsunami". Namun, masih ramai yang yakin bahawa PR mampu menggegarkan Barisan Nasional dalam PRU 13 akan datang. Sekurang-kurangnya BN terpaksa berhempas-pulas dalam PRN Sarawak pada April 2011, mempertahankan kubunya di bumi kenyalang itu.
Seandainya PR mengekalkan momentum yang sedia ada, ditambah pula dengan usaha gigih dan kerja keras di peringkat akar umbi, maka gandingan politik ini dijangka berdaya untuk sekurang-kurangnya mengekalkan status quo, jikapun gagal menjangkau lebih daripada itu. Mengekalkan status quo bermakna Najib Razak terpaksa mengulangi nasib Abdullah Ahmad Badawi, kerana pengganti ini terbukti gagal dalam misinya mengembalikan "kegemilangan" UMNO-BN sebelum 8 Mac 2008. 【Baca: PRU 13 awal atau lewat, Najib tetap didesak berundur?】
Bayangkan, pergelutan antara Najib, Muhyiddin Yassin, Hishammuddin Hussein dan Zahid Hamidi, ditambah pula dengan Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaluddin kelak semestinya membuka ruang yang seluas-luasnya kepada PR. Ringkasnya, meminjam andaian yang tersurat dalam retorik pemimpin PR, "PR tetap akan menawan Putrajaya, kalau bukan hari ini, maka hari esok..." - kalau bukan PRU 13, maka PRU 14.
Dari Hudud, HIMPUN ke Homoseksual
Secara tiba-tiba isu Hukum Hudud dihidupkan semula, menjelang PRU 13. Disusuli pula dengan Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah, yang bertemakan anti-murtad, dan yang terbaru, isu homoseksual. Meskipun pendirian "setuju untuk tidak bersetuju" antara tiga parti gagal memuaskan semua pihak, namun sekurang-kurangnya isu Hukum Hudud diredakan untuk seketika, pada akhir September 2011.
Alasan PR untuk tidak menyertai HIMPUN juga diterima, setelah diperlihatkan bagaimana media kawalan UMNO-BN memberi liputan positif yang luar biasa kepada HIMPUN. Lebih-lebih lagi, kemunculan Presiden PERKASA Ibrahim Ali di Stadium Shah Alam pada petang 22 Oktober, menjadi alasan terbaik untuk pimpinan PR menjarakkan diri dari HIMPUN.
Namun demikian, PR akhirnya terperangkap dalam isu homoseksual, apabila memberi reaksi yang berlebihan terhadap isu ini. Apa pun yang dikatakan, misalnya "isu homoseksual melangkaui batas politik kepartian", gagal mengubah realiti bahawa isu ini wujud dalam konteks politik, dan adalah perangkap politik.
Selepas "gelombang hak asasi ancam Malaysia"...
Kita semestinya ingat bagaimana Ambiga Sreenevasan diserang dengan isu murtad, ketika peguam hak asasi ini memimpin gabungan BERSIH 2.0. Tujuannya jelas, untuk meleraikan PAS daripada perjuangan BERSIH 2.0, lantas melumpuhkan usaha mobilisasi perhimpunan pada 9 Julai 2011. Percaturan ini akhirnya digagalkan, dan isu reformasi sistem pilihan raya ini berjaya menarik sokongan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama - memberi tamparan sengit kepada regim UMNO-BN.
Gelombang BERSIH 2.0 terus mengombak, sehingga PM Najib Razak terpaksa berganjak untuk menawarkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - sebagai langkah memperbaiki imejnya dengan menjana "transformasi politik", kononnya. Namun, langkah ini tidak direstui sesetengah golongan konservatif - tidak kira apa juga sebabnya. Sebulan kemudian, pada 26 Oktober, kita disajikan kenyataan bekas Ketua Polis Negera Rahim Noor, bahawa Malaysia kini sedang berdepan dengan ancaman "gelombang hak asasi manusia" - ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan kedua PERKASA.
Lima hari kemudian, PERKASA menyasarkan program Seksualiti Merdeka 2011, dan isu ini terus menyarat dalam media cetak kawalan UMNO. Sebagaimana yang dijangkakan, "hak asasi manusia" digunakan NGO untuk mempertahankan golongan homoseksual, dan di sini beberapa pimpinan PR mula terperangkap.
Homoseksual: Jurang pandangan
Isu homoseksual telah lama diperdebatkan dalam masyarakat bukan Melayu-bukan Muslim, khususnya di kalangan komuniti Cina-Kristian. Paderi yang mengakui dirinya homoseksual, Ou Young Wen Feng (gambar bawah) sebagai kolumnis di Sin Chew Daily, akhbar Cina yang terlaris di Malaysia - telah menulis secara mendalam tentang isu homoseksual sepanjang beberapa tahun kebelakangan. Dari kitab injil hinggalah perspektif perubatan moden, hujah-hujah yang lama telah dicabar dan disanggah. Misalnya, terjemahan sesetengah istilah dalam kitab injil dipertikai, bahawa wujudnya ralat ketika kitab injil asal diterjemahkan ke bahasa lain.
Ada juga dakwaan bahawa "homoseksual" adalah sejenis penyakit. Maka, hujah ini dipersoalkan - jika homoseksual sejenis penyakit, apa perlunya pesakit itu dimusuhi, dan ditindas dengan cara yang keras? Apakah pesakit itu berdosa? Logik yang sama, apakah kita akan berdendam dan mengambil tindakan keras terhadap pesakit denggi, misalnya? Perdebatan ini terus didalami, malah dikemukakan fakta bahawa Persatuan Psikiatri Amerika (American Psychiatric Association, APA) telah mengeluarkan homoseksual dari senarai penyakit psikiatri (Diagnostic and Statistical Manual Of Mental Disorders, DSM-II) pada tahun 1973. Maknanya, homoseksual telah diiktiraf sebagai sifat semulajadi seseorang (biarpun minoriti dalam masyarakat), dan tidak boleh "diubati" agar diubah cenderung seksnya.
Pendedahan di atas bukan berniat untuk memaksakan nilai ini kepada masyarakat Islam, menyedari bahawa setiap agama mempunyai hukumnya sendiri (yang perlu dihormati) - tetapi untuk menunjukkan jurang pandangan antara muslim dengan bukan muslim dalam isu homoseksual. Sesungguhnya masih wujud bantahan terhadap amalan homoseksual, namun secara perbandingannya, masyarakat bukan Islam lebih toleransi terhadap golongan ini.
Maka sebarang cadangan untuk menggunakan kekerasan terhadap golongan homoseksual adalah tidak menyenangkan, dan mencungkil pertikaian. UMNO-BN tidak bermasalah dalam isu ini, kerana PERKASA, dan Utusan Malaysia telah memainkan "peranan" untuknya. Di depan masyarakat Islam, "perjuangan" ini dikreditkan untuk UMNO; di depan masyarakat bukan Islam pula, sebarang keterlanjuran yang keterlaluan akan dipersalahkan PERKASA dan Utusan Malaysia - bukan UMNO. Lagipun, UMNO-BN dari mulanya bukan parti politik yang mendukung hak asasi manusia.
Situasinya berbeza untuk PAS, PKR atau Pakatan Rakyat. Parti-parti politik ini berjanji untuk membela hak asasi rakyat, keadilan untuk SEMUA. Maka mereka akan berdepan dengan pertikaian - apakah PR mengiktiraf hak asasi seseorang dalam kecenderungan seks peribadinya? Apakah keadilan untuk SEMUA ini, termasuk keadilan untuk golongan homoseksual?
Maknanya, soalan-soalan ini akan terus membelenggu pemimpin PR, sebagaimana situasinya yang dihadapi "reformis" dalam PAS sebelum ini. Pernah pemimpin PAS dipersoalkan dalam forum terbuka, bagaimana rakyat diyakinkan bahawa PAS akan menghormati kebebasan bersuara dan berpersatuan jika parti itu berkuasa, sedangkan parti itu pernah mengambil pendirian keras terhadap Sisters-In-Islam, satu NGO yang dianggap bercanggah pandangan dengannya?
Perangkap: Jurang maklumat
Analisa ini bukan bertujuan untuk mendalami perdebatan isu homoseksual, tetapi untuk menunjukkan bagaimana isu homoseksual diwujudkan sebagai perangkap politik. Pemimpin PR semestinya sedar bahawa cabaran di depan mata mereka adalah untuk mengatasi jurang maklumat, antara bandar dengan desa - persaingan maklumat adalah antara faktor penentu kerajaan dalam PRU 13.
PR harus jelas, bahawa mereka gagal menandingi UMNO-BN seandainya menjejak langkahnya ke gelanggang untuk permainan perkauman atau agama sempit. Dengan jentera negara dan sumber yang ada dalam tangan, UMNO-BN akan mengerah segala tenaga yang ada untuk menyerang PR. Seandainya PR bersaing dengan UMNO-BN untuk menjadi wira "kaum" dan "agama" (dalam konteks perjuangan yang sempit), maka PR akan menemui ajal di gelanggang itu, malah gagal meraih simpati rakyat yang menuntut reformasi yang progresif.
Situasi hanya memihak kepada PR seandainya mengheret BN ke gelanggang untuk pertarungan isu nasional, berlandaskan nilai sejagat yang menyentuh SEMUA golongan rakyat. Jangan terkejut apabila gerak-geri sesetengah pemimpin PR dipertikai, atau disindir. Misalnya, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang sarat dengan butiran penyelewengan kerajaan BN didedahkan - Ketua Pemuda PAS nampaknya lebih ghairah dan bersemangat untuk respon kepada konsert Elton John. Mungkin ramai, khususnya golongan bukan Islam yang tertanya-tanya, apakah amalan rasuah 54 tahun lebih mengancam kepentingan negara, atau konsert dua jam dari seorang penyanyi gay?
Bukan sahaja PAS, malah sesetengah pimpinan PKR kelihatan juga hilang tumpuan ketika berdepan dengan isu-isu ini. Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, kini ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa pada 2 November menghantar memorandum kepada Presiden MCA, kononnya Chua Soi Lek telah menghina Islam. Sememangnya itu hak Fariz Musa untuk berbuat demikian, atas kapasiti penyelaras satu pertubuhan dinamakan Jingga 13. Namun, kesannya, MCA mendapat durian runtuh - untuk mendakwa kepada masyarakat Cina bahawa tiada bezanya antara PKR dengan PAS. Lebih-lebih lagi, dengan kes "ibu pejabat MCA disimbah cat merah" semalam - suka atau tidak, kini giliran PKR pula untuk membersihkan nama dirinya.
Isu yang lebih besar
Persoalannya, apakah tiada isu untuk PR buat masa sekarang? Laporan Ketua Audit Negara 2010 dengan sendirinya mendedahkan betapa dahsyatnya tahap rasuah dalam kerajaan. Lebih merunsingkan, pemuda PAS kelihatan lebih bersemangat untuk berdemo membantah homoseksual, pada saat-saat ribuan pekerja turun untuk berpiket membantah pindaan Akta Kerja 1955, semalam.
Hak PAS dan PKR untuk bersuara lantang dalam isu homoseksual tidak dipertikaikan. Persoalannya, apakah kekuatan Pakatan Rakyat sebelum ini? Apakah PR merasakan dengan mengutamakan isu homoseksual, mengetepikan isu rasuah, kebajikan pekerja, isu alam sekitar - maka PR mampu merampas sokongan dari BN, lantas menang dalam PRU 13?
Tindak-tanduk pimpinan PR tersebut bukan sahaja "hilang tumpuan", malah menawarkan diri untuk mengalihkan tumpuan rakyat dari isu rasuah. Dengan kata lain, mereka secara sedar atau tidak mengetepikan isu yang melibatkan kepentingan SEMUA, kemudian beralih untuk bertarung dengan UMNO-BN di gelanggang yang telah dipasang perangkap. Lebih dahsyat, mereka masih yakin bahawa mereka boleh menang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan