Post Terbaik Blog

Pengikut ana

Isnin, 8 Oktober 2012

Umno Sembrong Dan Pencerobohan Kampung Bunian

  KLUANG - "Ini bukan kerja Umno." Demikian ketegasan Naib Ketua Umno Sembrong, Abdul Ghani Abdul Rashid yang menafikan penglibatan parti itu dalam kewujudan sebuah papan tanda ke 'kampung bunian', Kampung Muafakat yang tidak ada kediaman mahupun penduduk.Hutan macam mak bapak mereka yang punya

Menurut Abdul Ghani, walaupun papan tanda berkenaan memaparkan Umno cawangan Sembrong di atasnya, namun ia bukan perbuatan mana-mana ahli Umno dalam kawasan Sembrong.

“Pihak kami tidak akan membuat sebarang tindakan kerana kami tiada kuasa menurunkan papan tanda tersebut.

“Apa yang boleh saya katakan, kawasan itu memang tidak ada kampung, malah tidak ada permohonan menubuhkan cawangan Umno. Itu adalah perbuatan untuk menutup mata pihak
berkuasa daripada menyedari pencerobohan kawasan tanah Hutan Simpan Kluang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kewujudan papan tanda Kampung Muafakat di Jalan Kluang-Kota Tinggi berhampiran dengan Ladang Felda Bukit Tongkat yang diletakkan logo Umno dan bertulis Umno cawangan Sembrong.

Abdul Ghani berkata, Umno cawangan Sembrong tidak pernah ditubuhkan sama sekali dan penggunaan nama parti itu amat dikesali kerana ia menyebabkan masyarakat memandang negatif terhadap parti berkenaan.

“Pihak kami juga telah membuat aduan kepada Pejabat Tanah Daerah Kluang untuk mengambil tindakan ke atas aktiviti pencerobohan tanah di kawasan Hutan Simpan Kluang itu,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya pencerobohan yang dilakukan itu bukan hanya melibatkan orang di kawasan Sembrong sahaja, malah individu luar.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang, R Vidyananthan berkata, masalah pencerobohan yang berlaku di kawasan tanah Hutan Simpan Kluang itu akan diserahkan kepada pihak Pejabat Tanah Kluang.

Katanya, sehingga ke saat ini, belum ada pihak yang merujuk kepadanya untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Masalah pencerobohan tersebut sudah saya ketahui pada tahun lepas hasil aduan peneroka dan penguatkuasaan daripada Pejabat Tanah sudah dilaksanakan. Namun masih belum ada penyelesaian hingga kini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Vidyananthan berkata, pada masa ini, pihak Pejabat Tanah juga tidak pernah merujuk kepadanya dari segi penguatkuasaan undang-undang untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, jika perkara itu dirujuk kepadanya, beliau akan cuba untuk membantu menyelesaikan masalah pencerobohan tersebut.

“Setakat ini, maklumat yang saya perolehi, peneroka haram yang terlibat kebanyakannya terdiri daripada orang luar. Hanya dua atau tiga orang sahaja yang berasal dari Sembrong.
Bagaimanapun kita masih tidak tahu siapa yang terlibat.

“Saya berharap Pejabat Tanah daerah Kluang dapat menyelesaikan segera masalah ini dengan mewartakan tanah berkenaan secepat mungkin,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan kewujudan 'kampung bunian' di jalan Kluang-Kota Tinggi berhampiran ladang Felda Bukit Tongkat yang hanya mempunyai papan tanda, tetapi tiada sebarang perumahan dan penduduk.

Sebaliknya, siasatan Pejabat Tanah Daerah Kluang mendapati, kawasan seluas 254.9 hektar di situ telah dipenuhi tanaman kelapa sawit dan sayur-sayuran hasil pencerobohan yang dilakukan selama bertahun-tahun lamanya tanpa disedari mana-mana pihak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan