Misteri! Benarkah Kampung Muafakat Tidak Wujud?
Ada papan tanda,
tetapi kampungnya tidak wujud, malah penduduk juga tidak kelihatan.
Begitulah kepelikan yang menerpa setiap orang yang melalui Jalan
Kluang-Kota Tinggi di sini yang tertanya-tanya dengan kewujudan
sebuah papan tanda bertulis Kampung Muafakat, berhampiran ladang
Felda Bukit Tongkat.
Ini kerana jika mereka masuk ke kawasan itu, lebih
kurang empat kilometer daripada papan tanda berkenaan, tidak ada
sebuah rumah
pun dijumpai. Sebaliknya kawasan yang dikatakan
perkampungan ini hanya dipenuhi tanaman kelapa sawit dan kebun
sayur-sayuran.
Menurut Pentadbir Tanah Daerah Kluang,
Abdul Malik Ismail, hasil tinjauan dan pemeriksaan pihaknya di kawasan
tersebut mendapati kampung yang dimaksudkan memang tidak wujud.
“Kawasan ini diterokai secara haram oleh
individu tidak bertanggungjawab.
“Papan tanda Kampung Muafakat
ini hanya diwujudkan bagi melindungi kegiatan pencerobohan haram di
sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Malik berkata, kampung itu
dipercayai diwujudkan oleh seorang ketua peneroka haram di dalam kawasan
tanah Hutan Simpan Kluang.
254.9 hektar kawasan ‘kampung’ diteroka
secara haram
Menurutnya, Kampung Muafakat tidak
pernah diketahui kewujudannya, malah ia tidak pernah mendapat kelulusan
daripada Pejabat Tanah Daerah Kluang.
“Jika tiada aduan diterima daripada
penduduk di kawasan Felda Bukit Tongkat, memang kami tidak menyedari
akan perkara ini.
“Hasil lawatan dan pemeriksaan di
kawasan yang telah dicerobohi itu kami mendapati, peneroka haram
ini telah mula menanam kelapa sawit, sayur-sayuran serta turut
mendirikan bangunan sarang burung walit,” katanya.
Abdul Malik berkata, hasil pemeriksaan
pihaknya juga mendapati seluas 254.9 hektar kawasan tersebut telah
diteroka secara haram.
“Memang tiada sebarang penempatan di
sini. Penduduk tempatan juga tidak ada melainkan pendatang asing yang
dipercayai bekerja sebagai kuli di kawasan kebun sayur tersebut.
“Selepas pihak kami membuat tinjauan,
semakan terus dilakukan oleh Pejabat Tanah Kluang dan hasilnya
kami mendapati status tanah kampung tersebut tidak pernah mendapat
kelulusan malah tiada permohonan dilakukan sehingga sekarang.
“Jabatan Perhutanan daerah Kluang pula
mengesahkan tanah yang diceroboh itu telah dibebaskan pada 1976 namun ia
masih belum diwartakan sehingga sekarang dan ia masih berada di dalam
penjagaan dan bidang kuasa mereka.
“Ia sekali gus membuktikan Kampung
Muafakat tidak pernah wujud,” katanya.
Usaha jejaki ‘ketua kampung’, pemaju
Dalam pada itu, menurut Abdul Malik,
pihaknya kini sedang berusaha menjejak ‘ketua’ dan ‘pemaju’ kampung
tersebut yang nama mereka tertera di atas papan tanda berkenaan.
Selain itu, tegasnya, Kampung
Muafakat kini berstatus tanah yang diceroboh kerana semua kerja tanaman
yang dilakukan di kawasan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada
mana-mana jabatan sama ada Pejabat Tanah ataupun Pejabat Perhutanan
Daerah Kluang.
“Berikutan daripada apa yang berlaku,
pihak kami akan mengadakan tindakan bersepadu dengan pihak polis, Rela,
Jabatan Perhutanan dan Jabatan Imigresen dalam masa yang terdekat ini.
“Ia harus dijalankan bagi menyekat
aktiviti pencerobohan haram ini yang dianggarkan aktif lebih sepuluh
tahun,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut juga akan
diadakan untuk mengetahui dalang sebenar yang memberi kebenaran kepada
individu terbabit untuk menceroboh tanah hutan simpan itu sehingga
menjadi ladang sayur dan kelapa sawit.
Pagar gajah juga rosak
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda
Bukit Tongkat, Md Yasa Awi Ba berkata, ‘kampung’ yang dikenali sebagai
Kampung Muafakat itu sudah lama wujud, malah hampir sepuluh tahun.
“Pada waktu itu, mereka yang menceroboh
kawasan tersebut tidak melakukan sebarang kerosakan di kawasan ladang
Bukit Tongkat. Jadi tiada aduan dibuat.
“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini,
mereka yang tidak bertanggungjawab telah melakukan kerosakan ke atas
pagar gajah serta parit gajah yang menjadi sempadan antara kawasan
ladang dan tanah hutan simpan Kluang yang diceroboh itu.
Disebabkan
itu ramai pemilik ladang mula bengang dan buat aduan kepada pihak
berwajib,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Md Yasa berkata, apabila pagar gajah
sudah dirosakkan, maka pemilik ladang mengalami kerugian kerana gajah
liar memasuki kawasan ladang dan memusnahkan tanaman.
Pengurus Felda Bukit Tongkat, Zainal
Abidin Jilani berkata, laporan mengenai wujudnya Kampung
Muafakat sudah lama diketahui malah terdapat juga individu dilihat
keluar masuk ke dalam ladang berkenaan. Beliau berkata, pada
masa ini kawasan tersebut sudah menjadi ladang sayur-sayuran dan
kelihatan seolah-olah sudah menjadi hak milik mereka.
“Pihak Felda setakat ini tidak pernah
mengambil sebarang tindakan ke atas mereka namun, disebabkan mereka
telah merosakkan pagar gajah, pihak kami perlu lakukan sesuatu.
“Bagaimanapun, saya harap masalah
tersebut dapat diatasi segera. Jika tidak peneroka Felda akan mengalami
kerugian dengan menanggung kos membaiki pagar serta parit gajah,”
katanya.
Umno Dan Pencerobohan Hutan
Umno Dan Pencerobohan Hutan
Kampung Bunian Tak Wujud
Tiada ulasan:
Catat Ulasan