Aktiviti haram yang dilakukan sejak lebih enam bulan lalu itu, turut mencemarkan kawasan berkenaan yang juga lokasi tadahan hujan bagi empangan Sungai Lui.
Tidak terhenti di situ, kerakusan penceroboh terbabit turut memusnahkan pagar gajah di kawasan Ladang Felda Bukit Tongkat, akibat kerja penebangan pokok yang dijalankan.
Pemeriksaan menyeluruh bongkar aktiviti
Pengerusi Felda Bukit Tongkat, Zainal Abidin Jilani berkata, perkara ini hanya disedari setelah pemeriksaan menyeluruh oleh pengurusan Felda terhadap pagar gajah elektrik yang ada di sekeliling ladang.
Menurutnya, sejak Hutan Simpan Kluang itu diterokai, ladang kelapa sawit milik peneroka Felda sering dimasuki gajah dan ia semakin kerap berlaku.
“Akibatnya, peneroka Felda terpaksa menanggung kerugian yang tinggi kerana gajah yang masuk memusnahkan pokok kelapa sawit baru ditanam.
“Perkara ini berpunca daripada pagar gajah yang dirosakkan peneroka haram untuk memudahkan kenderaan berat keluar masuk ke dalam hutan yang diterokai,” katanya kepada Sinar Harian.
Tanggung kos baiki jalan
Tambahnya, kesan pencerobohan itu juga, pengurusan Felda Bukit Tongkat terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk membaiki jalan rosak di ladang yang digunakan peneroka haram terlibat.
Zainal Abidin berkata, bagaimanapun, pihaknya belum pernah bertembung penceroboh hutan simpan tersebut.
“Mungkin mereka memasuki hutan tersebut waktu malam kerana kami langsung tidak menyedari pencerobohan ini sehinggalah pemeriksaan menyeluruh dilakukan.
“Oleh itu, kami memohon agar tindakan yang lebih agresif dapat dilakukan pihak berkaitan seperti Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah daerah Kluang bagi membanteras keseluruhan kegiatan ini,” katanya.
Jelasnya, pada masa sama, pihaknya sedia membantu jabatan tersebut bagi menangani permasalahan ini dan berharap ia tidak berulang.
Operasi bersepadu bakal dijalankan
Sementara itu, Pejabat Tanah Daerah Kluang akan menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah Kluang bagi menangani masalah pencerobohan yang berlaku.
Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Abdul Malik Ismail berkata, pihaknya sudah mendapat pengesahan daripada Jabatan Perhutanan daerah Kluang bahawa tanah yang dicerobohi itu adalah kawasan Hutan Simpan Kluang.
“Jabatan Perhutanan juga sedia maklum kawasan tersebut sudah dicerobohi malah, sudah mengambil tindakan bagi menangani masalah tersebut,” katanya.
Penceroboh terus berdegil
Menurutnya, walaupun sebelum ini Jabatan Perhutanan telah menempatkan pegawainya selama enam bulan untuk memantau kawasan tersebut, penceroboh masih berdegil dan aktif melakukan kerja menebang pokok di hutan simpan itu.
Jelasnya, pihaknya akan be- kerjasama dengan Jabatan Perhutanan untuk mengadakan tindakan bersepadu bagi menangani masalah berkenaan.
Abdul Malik berkata, selepas tindakan tersebut dijalankan, pihaknya bersama Jabatan Perhutanan akan cuba untuk memulihkan kawasan Hutan Simpan Kluang itu.
PRSB : Siapa yang ada jentera berat dan lori balak kalau tak puak yang dapat permit dan rakan kongsi yang ada kilang kayu...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan