Kekeliruan Pemikiran Politik Dr. Dzulkifli Ahmad: Satu Kritikan
Dua hari lepas saya membaca Sinar Harian edisi Terengganu berkenaan laporan dan ulasan wartawannya terhadap video rakaman Yang Berhormat Dr. Dzulkifli Ahmad (Dr. Dzul) yang disiarkan oleh www.mobtv.my di bawah tajuk ‘hentikan polemik hudud’. Hati saya berdegup kencang lebih-lebih lagi apabila selepas itu terbaca lagi tulisan beliau yang disiarkan oleh Muslim Profesional Forum bertajuk “Forging a political contest beyond hudud”.
Rasa tidak selesa menguasai diri apabila membaca ayat-ayat yang menggambarkan jalur pemikiran 'pelik' sedang berada di dalam barisan Parti. Antara ayat keladi sebagai contoh beliau menyebut, “hudud should no longer be an agenda for partisan political interest” atau “hudud sepatutnya tidak lagi menjadi agenda untuk kepentingan parti politik”.
Kekeliruan
kedudukan sama ada hudud sebagai “agenda dakwah PAS” ataupun ‘partisan
political interest’ jelas tergambar di dalam pemahaman Dr. Dzul.
Pemikiran politik untuk mengelak daripada menegaskan dasar parti amat
jelas daripada tulisan-tulisan beliau yang bukan sahaja terkini, tetapi
sejak daripada awal, antaranya sepertimana yang pernah disiarkan oleh
siasah di bawah tajuk: “Perlaksanaan Islam: Pas Perlu Keluar Dari Kotak
Lama”.
Berkenaan isu
hudud pada hari ini, adalah lebih parah apabila YB Salahuddin Ayub
mengiakan pendapat Dr. Dzul sehingga ia disifatkan sebagai “PAS
bersetuju”. Walhal pendapat Dr. Dzul dan pemikiran politik beliau adalah
salah dari segi‘ Politik Islam’ dan penjelasan Tuan Guru Nik Abdul
Aziz, kenyataan terbaruTuan Guru Presiden sebenarnya sudah tersirat
penegasan hudud sebagai dasar PAS. Sebenarnya artikel-artikel Tuan-Tuan
Guru tersebut memerikan bahawa PAS sudah mempunyai ‘rumah yang dah
siap’, sepatutnya tiada lagi ‘pahat yang berbunyi’.
Saya menghormati YB Dr. Dzul dan YB Salahudin
yang rajin bekerja di dalam parti sebagaimana rajinnya ahli-ahli yang
lain. Sekalipun begitu, penghormatan ini tidak boleh menghalang
kewajipan saya membuat penjelasan terhadap kekeliruan pemikiran yang
sudah ketara, dilihat konsisten dan berlaku berulang-ulang tanpa
tanda-tanda perubahan akan berlaku. Fenomena ini menjadi semakin bahaya
khususnya apabila beliau terlalu berani membuat kenyataan peribadi
berkenaan dasar penting Parti seperti isu kepimpinan non-muslim yang
mencetuskan kontroversi dan terbaru ialah isu hudud pula.
Pendekatan Dr
Dzul kelihatan tidak jauh berbeza dengan UMNO dari sudut matlamat akhir.
Kedua pihak ini mengatakan bahawa mereka bukan menolak hudud cuma cuma
tidak mahu lagi melaksanakan Islam dengan alasan-alasan tersendiri.
Sekalipun alasannya berbeza, tetapi keduanya melahirkan natijah yang
sama iatu Islam tidak perlu dilaksanakan ‘lagi’. Walau bagaimanapun, isu
adakah hari ini sesuai hudud dilaksanakan dan adakah perlaksanaan hudud
dianggap gopoh akan dirungkai dengan jelas dari perspektif fiqh Islam
dalam artikel saya yang akan dicoretkan selepas artikel ini, insyaallah.
Pendekatan
Dr.Dzul ini bukan pertama kali menimbulkan kekeliruan, bahkan pada akhir
2010 sebagai contoh, apabila Karpal Singh memberikan respon kepada
kenyataan TuanGuru Nik Abdul Aziz tentang hudud, tiba-tiba Dr. Dzul
bertindak mempertikaikan kewajaran PAS menimbulkan isu tersebut dengan
meletakkan perbincangan atau perdebatan isu ini sebagai negatif. Antara
yang menggamit saya untuk menongkah arus pemikiran ini apabila YB
Salahudin Ayub memberikan respon menyokong terhadap pendekatan Dr. Dzul,
menampakkan bahawa seni pemikiran ini mula menular di kalangan
pendokong PAS yang tidak mendalami ilmu agama. Fenomena ini dibimbangi
akan memandu PAS menyelusuri jalan yang bukan paksinya yang betul,
sekalipun matlamatnya betul.
Sama ada sedar atau tidak, pendekatan
pemikiran ini sekaligus sebenarnya telah bercanggah dengan pendekatan
Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden yang bertegas dan terus
konsisten dengan dasar ini. Sebagaimana yang disiarkan oleh
Harakahdaily, sudut pandangan Tuan Haji Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS
yang menyifatkan Polemik Hudud Perkembangan sihat adalah lebih
bertepatan dengan Politik Islam atau SiasahSyariyyah, iaitu melihat
polemik ini dari sudut yang positif dengan membuka ruang berbahas
berbanding sudut negatif iaitu mengelak dengan pelbagai alasan.
Pendekatan Dr. Dzul ini sebenarnya tidak selari dengan Mursyidul Am,
Presiden dan jugaTimbalan Presiden, hatta kaedah Politik Islam yang
telah diguna pakai oleh PAS sejak sekian lama.
Saya lebih selesa menggelarkan seni politik
Dr. Dzul ini sebagai seni “Politik Ular Daun”, iaitu suka berlingkar dan
menyesuaikan diri dengan warna sekitar, satu sifat makhluk Allah, guna
bagi menyelamatkan diri daripada disedari musuh dan mangsa. Sekalipun
ular daun tidak merbahaya, tetapi ia tetap mengganggu.
KEKELIRUAN
DISEBABKAN PENDEKATAN DR.DZUL.
Apa yang malang, ada yang menyokong pendekatan
ini dengan beralasankan polemik hudud ini dicetuskan oleh UMNO untuk
lagakan PAS dan DAP, maka pendekatan politik yang kononnya bijak ialah
mengelak daripada membincangkan isu ini, tanpa mengambil kira kekeliruan
orang ramai terhadap Islam dan perjuangannya akibat tidak memberikan
penjelasan dan penegasan. Pemikiran ini dengan kata lain, memikirkan
kehilangan undi khususnya undi non-muslim adalah lebih diutamakan
berbanding kekeliruan di kalangan pendokong parti, pencinta Islam serta
dakwah dan penerangan kepada non-muslim sendiri.
Sikap dan pendekatan ini dikenali sebagai
taqiyyah di dalam Politik Islam, iatu mulut mengungkapkan sesuatu yang
tidak sama dengan pegangan dan kepercayaan hati. Dalam kontek ini, hati
mahu melaksanakan dan mempertegaskan hudud, tetapi kenyataan diungkapkan
sebaliknya.
Taqiyyah yang dinaskan sebagaimanaayat 28
surah Aala-Imran, hanya dibolehkan dalam kes seperti Ammar bin Yaasir
yang bersifat defensive (mempertahankan diri) seperti menjaga nyawa.
Ibnu Abbas menyatakan tidak memudaratkan orang lain adalah syarat
penting ketika bertaqiyyah seperti tidak menimbulkan silap faham
terhadap Islam dan menyesatkan orang ramai serta mengelirukan mereka
tentang Islam, hakikat dan perjuangannya. Oleh itu, seni politik ini
tidak dilakukan oleh para sahabat di dalam banyak peristiwa sebagaimana
yang saya akan coretkan nanti di dalam artikel ini.
Para sahabat dan salafus soleh menggunakan
uslub lilin yang membakar diri bagi menerangi orang lain dengan cahaya
Islam. Jika taqiyyah tidak dibolehkan apabila boleh mengelirukanorang
ramai sekalipun dalam bentuk defensive (mempertahankan nyawa), maka
lebih utama untuk taqiyyah ini tidak dibolehkan dalam keadaan offensive
(iaitu untukmencapai kemenangan) dan menarik pengundi. Ini kerana,
defensive menjaga nyawa boleh dianggap darurat yang kadangkala boleh
mengharuskan benda yang haram,sedangkan offensive tidak bersifat
demikian.
KENAPA IANYA SALAH DAN SATU BIDAAH
BESAR DALAM POLITIK ISLAM?
Timbul persoalan di sini, kenapa “politik
ular daun” bagi mencapai kemenangan adalah salah dari segi
politik Islam dan tidak bertepatan dengan teladan nabi kita Muhammad
SAW? Untukmemahami perkara ini secara lebih mendalam, maka kaedah
darurat, siasah syariyyah dan lain-lain bab yang berkenaan perlu
dihadhamkan. Semua ini bukan sahaja mustahil boleh dicoretkan dalam satu
perenggan, hatta juga mustahil untuk memahaminya hanya melalui usrah
dengan seorang naqib kerana ianya perlukan kepada pengajian tekun,
khususnya pengajian ilmu usul yang tinggi.
Oleh itu, saya rasa cukup untuk kita merenung
kedudukan pemikiran ini dengan memahami beberapa peristiwa yang berlaku
di zaman nabi SAW.
Antaranya ialah Nabi SAW pernah menolak
tawaran sebagai raja yang bersyaratkan toleransi dalam agama ketika di
Mekah. Imam Tabari, Ibnu Kathir dan lain-lain menyebut, golongan
musyrikin meletakkan prasyarat untuk nabi menerima tawaran itu antaranya
ialah tidak mengkritik berhala dan tidak menegur adat-adat mereka yang
dianggap salah.
Persoalan fokus ialah kenapa Rasulullah SAW
tidak mengguna pakai “Politik Ular Daun”, iaitu menerima dahulu jawatan
sebagai raja dan menjadi orang terkaya dan kemudiannya dengan pangkat
raja dan harta kekayaan, maka Nabi SAW lebih mudah memahamkan orang
ramai tentang Islam? Kenapa Nabi SAW tidak berlunak dengan syarat
toleransi agama yang diletakkan oleh musyrikin Mekah bagi tujuan
mendapatkan kuasa politik, seterusnya memperkenalkan Islam dengan kuasa?
Jika pendekatan
‘Politik Ular Daun’ adalah betul untuk mendapatkan kuasa, nescaya
orang yang paling awal menerima pendekatan ini ialah nabi SAW kerana
tanpa kuasa politik di Mekah, risikonya adalah nyawa. Pun begitu, nabi
tidak mendapatkankuasa politik dengan pendekatan ‘Politik Ular Daun’.
Jika Nabi SAW tidak menerima pendekatan sedemikian rupa sedangkan
risikonya adalah nyawa, maka apa alasan Dr. Dzul mengguna pakai
pendekatan tersebut sedangkan tiada lansung risiko nyawa sebagaimana di
zaman Rasulullah? Bahkan jika Nabi SAW menerima syarat tersebut dan
menerima tawaran tanpa mempertegaskan dasar, maka menurut bacaan akal
pendek manusia, jalan ke “Putrajaya” Mekah adalah jauh lebih cerah dan
jauh lebih dekat berbanding dengan Putrajaya Malaysia dengan menggunakan
kaedah "politik ular daun". Tetapi kenapa nabi menolak?
Perlu difahami,
apabila Nabi SAW menerima kuasa politik dengan berhelah, orang ramai
akan terkeliru tentang hakikat Islam dan seolah-olah toleransi agama
adalah harus. Dr Said Ramadhan di dalam Fiqh Sirah ketika mengulas
peristiwa ini berkata: “Apa yang boleh digambarkan berlaku dalam
peristiwa ini ialah Nabi SAW meredai untuk memerintah dan menjadi raja
bersama-sama dengan mereka (musyrikin), dalam masa yang sama Nabi SAW
boleh menyembunyikan di dalam hati bahawa raja dan kuasa pemerintahan
adalah wasilah merealisasikan dakwah selepas itu (selepas mendapat
kuasa).” Seterusnya beliau menyambung: “akan tetapi Nabi SAW tidak
meredai tindakan politik seperti ini (menyembunyikan matlamat Islam)
sebagai salah satu wasilah dakwah kerana tindakan itu adalah bercanggah
dengan prinsip dakwah itu sendiri”. Seterusnya beliau menyebut, “jika
uslub pendekatan itu boleh menjadi kebijaksanaan dan cara politik yang
betul, nescaya perbezaan antara benar dan salah akan hilang, nescaya
benar dan salah bertemu (dilihat sama) pada titik alasan kebijaksanaan
berpolitik”.
Dalam konteks kita, jika golongan yang
benar-benar memperjuangkan Islam tidak lagi mempertegaskan Islam dengan
alasan untuk menang atau mendapatkan kuasa politik, dan golongan yang
batil seperti UMNO yang tidak mempertegaskan Islam juga menggunakan
alasan yang sama, maka bagaimana orang ramai boleh membezakan mana yang
betul dan mana yang salah? Jika begitu, maka akan tiada lagi beza di
antara PAS dan UMNO apabila PAS juga dilihat tidak mementingkan
perlaksanaan Islam dengan alasan maslahah politik dan kemenangan. Inilah
mafhum yang diulas oleh ulama-ulama ketika mengulas sebab pendirian
Rasulullah saw.
Politik Islam ialah politik yang
bermatlamatkan dakwah bukan dakwah bermatlamatkan politik. Dasar politik
Islam ini mementingkan kedudukan dakwah dan kesedaran orang ramai
terhadap Islam seterusnya mempengaruhi tindakan dan keputusan politik
mereka, bukan sebaliknya.
Lihatlah tindakan ghulam atau ‘budak’
dalam peristiwa Ashaab Al-ukhdud yang sanggup mati bagi menyedarkan
orang ramai. Dalam bahasa hari ini, PAS sanggup kalah politik jika kalah
itu lebih menyedarkan orang ramai berbanding menang yang boleh
mengelirukan orang ramai.
“Politik Ular Daun” ialah politik yang
mendahulukan kuasa politik dan kemudiannya dakwah. Dengan kata lain,
seni “Politik Ular Daun” ialah seni politikyang bermatlamatkan
kemenangan sebagai keutamaan dan meletakkan kefahaman orang ramai
tentang Islam dan kedudukan dakwah itu sendiri sebagai perkara yang
boleh dikemudiankan.
Suka saya tegaskan di sini bahawa, PAS
berpegang dengan prinsip “politik bermatlamatkan dakwah, bukan dakwah
bermatlamatkan politik”. Saya suka menyambung dan menegaskan ungkapan
ulama-ulama di dalam PAS yang menyatakan:“kita sanggup kalah pilihanraya
asalkan Islam dan umatnya terjamin, berbanding kita menang tetapi
kedudukan Islam tergugat dan umatnya berada dalam keadaan keliru”. Dari
segi akidahnya, berpegang dengan prinsip ini bukan bermakna kita akan
selamanya kalah kerana kalah dan menang bukan ditentukan oleh strategi
kita sebagaimana ayat 26 surah Aala-Imran. Saya berkeyakinan penuh
bahawa kita akhirnya akan menang dengan kemenangan sejati dengan melalui
jalan Politik Islam yang diajar oleh baginda Rasululah yang diredhai
oleh Allah kerana ini telah dijanjikan di dalam Al-Quran dan hadis-hadis
rasulullah saw.
SUNNAH INI DIFAHAMI OLEH PARASAHABAT.
Antara dalil
yang lebih jelas menunjukkan "Politik Ular Daun" ini salah ialah respon
oleh Jaafar bin Abi Talib dan rombongan muhajirin yang mendapatkan
perlindungan di Habsyah tentang isu yang ditimbulkan oleh UMNO Mekah di
zaman itu untuk melaga-lagakan dan memecah belahkan hubungan antara
Muhajirin dan Raja Habsyah yang bernama Najasyi yang memberikan
perlindungan politik kepada mereka.
Wakil UMNO ke Habsyah pada masa itu ialah Amru
bin Al-Aas dan Abdullah bin Rabiah yang belum lagi memeluk Islam. Amru
yang memang terkenal sebagai ahli politik yang licik cuba menghasut Raja
Najasyi membenci golongan muhajirin ini, seterusnya menghalau mereka
pulang ke Mekah untuk dibuli dan dibunuh. Semua helah wakil UMNO Mekah
seperti memburuk-burukkan Nabi SAW dan para sahabat menemui kegagalan.
Akhirnya mereka
mendapat satu idea, iaitu satu dasar penting pegangan orang Islam yang
boleh menjadi titik perbezaan fahaman dan titik pertembungan, seterusnya
diharapkan oleh wakil UMNO Mekah boleh memecahkan hubungan mereka.
Titik perbezaan itu ialah nabi Isa AS menurut Islam adalah Rasul dari
kalangan manusia biasa dan bukannya anak tuhan sedangkan Raja Najasyi
dan Habsyah yang beragama Kristian menganggap nabi Isa itu adalah anak
tuhan, bukannya manusia biasa. Sudah pasti dasar yang dipegang oleh
orang Islam ini bertentangan dengan kepercayaan dan pegangan Raja
Najasyi dan penduduk Habsyah yang menganut kristian.
Apabila Najasyi
diberitahu oleh Amru bahawa ajaran Muhammad yang dianuti oleh muhajirin
tersebut mendakwa nabi Isa manusia biasa bukan anak tuhan, beliau telah
memanggil para sahabat bagi mendapatkan penjelasan.
Sememangnya para sahabat berada di dua
persimpangan, antara bertegas bahawa nabi Isa bukan anak tuhan dan
manusia biasa, maka risikonya adalah dihantar pulang dan maut. Atau
mereka tidak perlu bertegas dan memilih untuk berhelah, bertangguh,
bertarik tali dan berding dong atau dengan lebih tepat "Politik Ular
Daun", maka dari segi bacaan politiknya mereka akan selamat. Antara dua
persimpangan tersebut, manakah satu yang dipilih oleh para sahabat?
Pilihan yang
dibuat oleh Jaafar ialah Politik Dakwah Islam, bukannya Politik Ular
Daun. Jaafar bin Abi Talib yang merupakan jurucakap kepada muhajirin
tidak teragak-agak menegaskan bahawa Nabi Isa adalah Rasul di kalangan
manusia dan bukannya anak tuhan sekalipun ia merisikokan nyawa mereka
sendiri. Beliau bukan setakat mendakwa nabi Isa bukan anak tuhan (dalam
bahasa hari ini, bertegas bahawa PAS akan laksanakan hudud), bahkan
Jaafar menerangkan kepada Raja Najasyi dan pemimpin Habsyah tentang
akidah Islam ini.
Mereka tidak hipokrit, berdolak dalik atau
minta bincangkan kemudian. Malah tiada seorangpun di kalangan sahabat
seramai 33 muhajirin itu menasihatkan kepada Jaafar bin Abi Talib,
RajaNajasyi, dan mereka yang berkenaan supaya jangan timbulkan polemik
kedudukan nabi Isa dengan alasan ini dicetuskan oleh wakil UMNO Mekah.
Lihatlah
bagaimana Jaafar mengambil peluang dakwah daripada polemik yang
ditimbulkan musuh dengan bertegas dan menerangkan kepada Najasyi tentang
dasar pegangan dan pandangan Islam terhadap kedudukan Nabi Isa,
sekalipun ia merisikokan nyawa mereka. Mereka memahami jika berlunak
atau mempamerkan keraguan atau tidak bertegas, maka mereka akan
mengelirukan Najasyi dan mereka yang ada di sekeliling tentang Islam,
sekalipun nyawa mereka selamat. Mereka tetap bertegas sekalipun mereka
tahu itu adalah perangkap UMNO Mekah kerana mereka ke situ bukan sahaja
sebagai muhajirin, tetapimereka juga sebagai pendakwah. Dengan kata
lain, kita bukan sahaja memahami bahawa kita adalah ahli politik, tetapi
kita juga perlu memahami bahawa kita juga adalah pendakwah yang misinya
memahamkan orang ramai tentang Islam.
Dalam bahasa moden, Raja Habsyah moden iaitu
Karpal Singh mempersoalkan tentang kemampuan dan keadilan hudud
sebagaimana Raja Najasyi juga pernah mempersoalkan benarkah Nabi Isa
bukan anak tuhan, bukanlah sesuatu yang pelik kerana mereka bukan
seorang Muslim.Yang mesti dilihat pelik ialah apabila UMNO yang
mempertikaikan hudud kerana mereka adalah muslim. Apa yang ditunjukkan
oleh Sahabat yang sepatutnya dicontohi oleh Dr. Dzul ialah menyambut
polemik itu dengan dialog, penerangan, muzakarah yang telus sekalipun
ianya dilihat bertembung di khalayak awam. Itulah sudut positif yang
sihat dan terbuka sebagaimana komentar Tuan Haji MatSabu. Kerja UMNO
untuk memecah belahkan itu memang tidak boleh dinafikan sebagaimana
kerja jahat musyrikin Mekah juga tidak boleh dinafikan. Orang yang jahat
memang sudah jahat, maka tak guna menyalahkan orang yang dah
sememangnya jahat. Isunya apakah bentuk pendekatan politk dan respon
kita terhadap politik orang yang jahat?
Apabila kita memahami politik Islam vs
‘Politik Ular Daun’, maka apakah alasan munasabah Dr Dzul untuk mengelak
daripada mempertegaskan dasar Islam seperti perlaksanaan hudud? Adakah
masih boleh beralasankan ini strategi UMNO? Atau boleh beralasankan
terdesak kerana pengundi-pengundi non-muslim terjejas apabila UMNO dan
MCA mereka dengan hudud? Apabila kita memahami politik Islam yang
bermatlamatkan dakwah, semua alasan itu adalah karut.
Lihatlah seni
Al-Quran berhadapan dengan persoalan-persoalan dan peluru-peluru
kekeliruan yang sentiasa dilempar oleh golongan musuh. Sekalipun
soalan-soalan dan kritikan dilemparkan, Al-Quran mengambil sikap
menerang dengan kebenaran, kadangkala dengan uslub yang lembut memujuk,
dan kadangkala dengan uslub yang keras menikam. Yang pasti bukan dengan
uslub ‘politik ular daun’. Setiap kali kritikan, komentar dan persoalan
bertujuan mengenakan Rasulullah di lontar, maka setiap kali itulah
jawapan penerangan daripada Al-Quran menjadi ‘back fire’ semula kepada
mereka.
Sebab itu kita
dapati banyak ayat Al-Quran dimulakan dengan ‘mereka bertanya’, ‘mereka
mendakwa’, mereka menyangka’ dan lain-lain yang akhirnya disusuli dengan
ayat menerang, menempelak dengan fakta dan lain-lain uslub Al-Quran.
MENANG
KALAH DISEBALIK PENEGASAN DASAR BUKAN KITA YANG TENTUKAN.
Apa yang paling
penting yang perlu diperbetulkan ialah kefahaman bahawa kalau kita
bertegas dengan dasar kita, maka kita akan kalah dalam pilihanraya.
Non-muslim tidak akan sokong kita apabila kita bertegas kerana mereka
takutkan hudud. Keyakinan kita akan kalah kalau bertegas dengan dasar
kadangkala bersarang kuat dalam diri mereka yang menganut fahaman
‘Politik Ular Daun’.
Perlu dipertegaskan, bahawa pemahaman ini
adalah salah sama sekali dengan akidah perjuangan, di mana kemenangan
dan kekalahan itu adalah daripada Allah untuk hamba yang menuruti
syarat-syaratnya. Keyakinan bahawa kalau amalkan PolitikIslam (bertegas
dan menerang) pasti kita akan kalah, manakala menggunakan“Politik Ular
Daun” maka pasti kita akan menang adalah keyakinan yang bercanggah
dengan akidah perjuangan.
Akidah perjuangan yang saya ditarbiah hatta
sewaktu mengikuti usrah Ikhwan di Mesir dahulu, bahawa Allah akan
memberikan kemenangan kepada orang yang memperjuangkan agamanya menurut
lunas-lunasnya. Itulah yang saya fahami daripada pengajian yang
bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah.
Lihatlah natijah penegasan Jaafar. Bacaan
politik pada awalnya memperlihatkan 99%merekaakan dihalau balik ke Mekah
jika mereka bertegas dan kontra dengan pegangannegara Habsyah. Tapi
adakah itu benar-benar berlaku? Jawapannya tidak dengan
setidak-tidaknya!!! Kerana natijah itu bukan bergantung kepada apa yang
difikiran oleh akal tetapi oleh Allah melalui sunnahNya.
Lihatlah natijah
penegasan Jaafaryang tidak sama dengan telahan akal manusia yang
sempit. Satu natijah yang mereka tidak pernah terfikir, yang mereka
tidak pernah merancang, tetapi ia adalah rancangan Allah untuk hambanya
yang benar. Iaitu Raya Najasyi tiba-tiba membenarkan dan mengiyakan apa
yang diperkatakan oleh para sahabat. Raja Najasyi seterusnya bersumpah
untuk terus mempertahankan mereka dan memberikan perlindungan. Akhirnya
bukan para muhajirin yang dihalau, tetapi wakil UMNO Mekah iaitu Amru
bin Al-As dan Abdullah bin Rabiah yang akhirnya dihalau dari Habsyah.
Raja Najasyi
akhirnya memeluk Islam setelah mengetahui hakikat kebenarannya. Itulah
kejayaan politik sebenar dan itulah yang saya harapkan berlaku kepada
Karpal. Itulah namanya seni politik Islam. Dan itulah yang dinamakan
akidah di dalam perjuangan dan politik bermatlamatkan dakwah.
SUNNAH
POLITIK DAKWAH DITERUSKANOLEH PARA IMAM.
Imam Ahmad bin Hambal antara yang mengikuti
jejak langkah politik bermatlamatkan dakwah. Bagi kepentingan dakwah,
mereka terpaksa mengorbankan diri bagi tujuan menerangi orang lain.
Pernah berlaku di zaman fitnah, Khalifah yang berpegang dengan fahaman
Al-Quran adalah makhluk telah mengarahkan untuk menangkap mereka yang
berpegang dengan akidah yang berlawanan dengan mereka. Antara yang
ditangkap ialah Imam Ahmad dan beberapa imam yang lain yang terus
bertegas menyatakan Al-Quran bukan makhluk. Ramai dikalangan ulama pada
masa itu mati dibunuh dan diseksa. Antara yang ditangkap dan diseksa,
ialah Imam Ahmad bin Hambal yang telah menyaksikan ramai rakan Ulama
seperjuangannya yang telah syahid.
Apa yang menjadi poin di sini ialah,
sekumpulan ulama jahat berjumpa dengan beliau di dalam penjara dan
menasihatinya supaya mengaku dengan lidah bahawa Al-Quran adalah makhluk
dan pendamkan sahaja rasa tidak setuju bagi menyelamatkan nyawa. Mereka
memujuk imam ahmad dengan menggula-gulakan bahawa tindakan itu tidak
salah kerana bersandarkan ayat 28 surah Aala-Imran. Jika Imam Ahmad
sanggup berbuat demikian, mereka akan membela dan mempertahankan Imam
Ahmad daripada diseksa.
Imam Ahmad memberikan respon bahawa, jika
beliau mengiktiraf dengan mulut perkara yang salah sekalipun hatinya
tidak begitu, maka beliau akan selamat tetapi ramai yang akan sesat.
Beliau mengungkapkan kata-kata yang masyhur: “apabila orang alim diam
kerana taqiyyah,yang jahil bertambah jahil, maka bilakan kebenaran akan
muncul?”.
Dengan ungkapan moden, jika PAS tidak bertegas
tentang penerangan dan penegasan dasar perundangan Islam yang
menyeluruh kerana mahukan kemenangan, bilakah orang ramai akan mengenal
kebenaran Islam? Akibatnya, orang yang jahil akan terus dengan
kejahilan, dan golongan zalim terus selesa dengan kezaliman sedang
golongan berpolitikkan ‘Politik Ular Daun’ terus berhipokrit.
PENEGASAN
PRESIDEN, MURSYIDUL AM DANPANDANGAN TIMBALAN PRESIDEN WAJAR DIHORMATI
DAN SEPATUTNYA DISOKONG.
Kenyataan rasmi Mursyidul Am, Presiden PAS
yang mengandungi penerangan tentang Hudud sepatutnya disokong dan di
sambung penerangannya oleh eksekutif-eksekutif parti seperti Dr. Dzul,
bukan menasihatkan supaya semua pihak berdiam. Pandangan Timbalan
Presiden, tuan Haji Mat Sabu bahawa polemik ini adalah positif
memperkuatkan sokongan terhadap penerangan Mursyidul Am dan Presiden
sebelumnya, sekaligus memahamkan supaya semua jentera eksekutif
(pelaksana) parti perlu menggerakan respon dalam bentuk penerangan.
Polemik hudud
ini yang sekalipun ditimbulkan oleh UMNO, ia boleh dipositifkan dengan
membincangkannya secara fakta dan hujah. Ia adalah positif dari
perspektif dakwah, sekalipun bacaan akal yang sempit dari perspektif
politik adalah negatif untuk kesan politik jangka pendek.
Kita sebenarnya
tidak perlu merasa hairan apabila UMNO sentiasa menjadikan isu-isu
seperti ini sebagai bahan laga dan bahan kempen menakut-nakutkan
non-muslim untuk mereka tidak menyokong DAP yang dilabelkan sebagai
bersekongkol dengan PAS dan hudud. Dalam masa yang sama pula, isu ini
dijadikan bahan kempen oleh UMNO untuk Melayu bahawa PAS bersekongkol
dengan DAP yang anti hudud. Sambutlah polemik ini dengan mengambil
peluang memberi penerangan dan penjelasan, kerana isu yang berstatuskan
polemik menjadikan setiap orang memasang telinga untuk mengetahui dan
mendengar penjelasan, maka isi dakwah itu lebih cepat memasuki hati dan
pemikiran mereka.
Sememangnya UMNO secara rasmi tidak pernah
menegaskan apakah pendiriannya terhadap Hudud. Media utama yang dikuasai
mereka seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian tidak pernah membuat
liputan dan interview apatah lagi nak terjah setiap pemimpin-pemimpin
tertinggi UMNO tentang pendirian mereka terhadap hudud.
Sebagai penutup,
saya menyeru kepada semua jentera PAS supaya menjadikan 6 garis panduan
Tahaluf Siasi yang telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulama sebagai
panduan. Antara yang berkait dengan isu ini ialah Garis Panduan ke 4
yang berbunyi: “tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan
menyampaikan dakwah.” Dengan kata lain, dengan tahaluf siasi,
maka kita berpeluang berkomunikasi dengan rakan non-muslim di dalam
Pakatan Rakyat. Maka gunakan ruang komunikasi itu untuk menerangkan
Islam yang menjadi dasar kepada PAS. Bukannya mengambil pendekatan takut
menyatakan dasar Islam apabila bersama-sama dengan rakan Pakatan di
kalangan non-muslim. Kita perlu memahamkan mereka tentang Islam dan
akhirnya terpulang kepada mereka membuat keputusan selepas mereka
memahaminya. Masalah kita sebelum ini, jambatan komunikasi antara kita
dan non-muslim tidak wujud bahkan disekat dan ditakut-takutkan oleh UMNO
atau BN dan jentera-jenteranya. Maka tahaluf adalah jambatan yang
terbaik untuk tujuan tersebut.
Saya meminta maaf kepada semua pihak
terutamanya Yang Berhormat Dr. Dzulkifli Ahmad dan juga Yang Berhormat
Salahudin Ayub jika tulisan ini mengguris. Saya terpaksa mengambil
pendekatan ini kerana pendirian politik beliau sudah mengundang
kekeliruan terhadap PAS oleh bukan sahaja di kalangan awam, tetapi di
peringkat pendokong PAS itu sendiri.
ZAHARUDIN MUHAMMAD
AKAN MENYUSUL SELEPAS INI ARTIKEL BERIKUT:
1. Apakah Hudud tidak boleh dilaksanakan pada hari ini di
Malaysia? Satu penjelasan kepada kekeliruan Dr. Dzul.
2. Know How dan Know What dalam isu hudud: strategi musuh yang dilihat termakan oleh Salahudin Ayub.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan