DEB Gagal: Teguran Istana Takkan Dipeduli Umno/BN
SHAH ALAM, 15 FEB : Kerajaan Umno/BN tidak akan sesekali beri perhatian terhadap sebarang teguran untuk penambaikkan pentadbirannya biarpun teguran tersebut datangnya dari orang kuat istana, ujar Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad.
Semalam, Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah menegur kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai sasaran kerana kemungkinan terdapat penyelewengan di peringkat perlaksanaanya.
"Saya sifatkan teguran itu sangat bertepatan. Orang politik sudah lama tegur, Ketua Audit juga selalu dan sekarang orang istana pula yang memberi teguran kepada kerajaan.
"Kita berharap dengan teguran ini dapat membawa penambahbaikkan dalam perlaksanaan dasar kerajaan," tegas Idris yang dihubungi melalui panggilan telefon.
Bagaimanapun beliau meragui teguran ini akan diberi perhatian ekoran segala teguran yang berlandaskan fakta dan angka sekalipun tidak pernah diperduli oleh Umno/BN malah segala teguran itu sering diperlekehkan mereka.
"Sebaliknya kita memerlukan transformasi politik dan juga perubahan sikap di kalangan kepimpinan negara.
"Sebagai contoh pemimpin Pakatan Rakyat telah terbukti dan teruji mentadbir negeri yang diperintah dengan baik," ujar Idris yang turut menjelaskan Pakatan berjaya mentadbir walaupun terdapat kekangan sumber kewangan daripada Kerajaan Pusat.
Idris turut bersetuju dengan kenyataan Raja Dr Nazrin bahawa kegagalan DEB merupakan kesan daripada pemimpin yang tidak amanah mentadbir dana yang seharusnya disalurkan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat.
Katanya selain amalan rasuah, amalan kronisme, sogokan dan salah guna kuasa telah menjadi budaya dikalangan pemimpin dan pentadbiran Umno/BN sehingga tidak lagi mampu dibendung.
"Sejak dari RMK1 hingga ke RMK10, kerajaan sudah memperuntukkan kira-kira RM 1.2 trillion dan setiap RMK diberi dana besar untuk membela rakyat yang susah yang kebetulan majoritinya Melayu.
"Malangnya DEB sentiasa gagal akibat pemimpin yang korup. Mereka hanya ingat rakyat menjelang PRU dan selepas menang mereka lupa rakyat dan berpaling mengutamakan kroni-kroni mereka," jelas Idris kesal.
Bagaimanapun, Idris yakin rakyat kini sudah mampu memilih antara pentadbiran yang telus membela rakyat dan kerajaan yang hanya bekerja mengikis harta dan khazanah milik rakyat.
"Kita lihat sahaja negeri Kelantan yang mana pada tahun 1990 berada di tangga ke-dua kedudukan negeri termiskin. Namun kini Kelantan sudah menurun kedudukannya dan menduduki tangga ke-enam.
"Sebaliknya Sabah menduduki tangga teratas diikuti Terengganu walaupun kedua-dua negeri pentadbiran Umno/BN ini kaya dengan sumber hasil bumi petroleumnya," akhiri Idris. -tvsnews
Raja Nazrin: 'DEB tidak berdosa, berdosa pelaksana'
KUALA LUMPUR - Raja Muda Perak Dr Raja Nazrin Shah menyelar sesetengah pihak yang tidak amanah dalam menjalankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga dasar yang baik itu gagal mencapai matlamatnya untuk membantu orang Melayu dan umat Islam.
Baginda bertitah akibat dari sikap itu, matlamat mahu mengimbangkan agihan ekuiti dalam kalangan ummah gagal dicapai dan dasar murni yang diwujudkan kerajaan itu pula dipersalahkan.
"Sedarilah, dasar tersebut tidak berdosa dan tidak pernah melakukan dosa,
yang berdosa adalah di kalangan mereka yang telah melakukan pelbagai penyelewengan di peringkat pelaksanaan. Akibatnya berlaku kerapuhan pegangan hak milik terutama di kalangan individu Melayu, lalu berlaku ketirisan hak milik harta dan ketirisan hak milik urus niaga bernilai tinggi," titah baginda semasa merasmikan Seminar Wakaf: Penjana Pembangunan di Bank Negara Malaysia di sini.
Menurut Raja Nazrin, kajian menunjukkan bahawa hanya enam peratus daripada kekayaan individu Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga dan hanya dua peratus sahaja disambungkan ke generasi seterusnya.
"Pola daya tahan pemilikan ekuiti di kalangan individu yang begitu sementara sifatnya akan memberi impak negatif dalam jangka panjang dan boleh menyebabkan ummah menerima nasib berdagang di bumi sendiri," titah baginda.
Baginda mengesyorkan satu mekanisme yang lebih berkesan perlu ada untuk memberi jaminan bahawa semua pegangan ekuiti Melayu Islam ini tidak begitu cepat terhakis.
Raja Nazrin turut melahirkan rasa kesal kerana ada individu yang bersifat "pagar memakan padi" yang telah menyebabkan beberapa institusi yang diwujudkan kerajaan untuk menjaga kepentingan ummah menghadapi masalah hingga muflis atau terpaksa diselamatkan oleh pemerintah.
"Konsep wakaf korporat difikirkan sebagai satu alternatif yang berpotensi menggantikan kaedah sedia ada. Konsep yang sedang dirintis ini menyuntik pendekatan arus niaga bersandarkan roh Islam... berpegang kepada konsep iman dan
takwa," titah baginda.
Idea wakaf korporat sudah pun tercetus sejak dari beberapa tahun lepas dan pada zaman dahulu ia berperanan sebagai sumber kekuatan ekonomi ummah sehingga ummah tidak perlu terlalu bergantung kepada dana kerajaan sehinggalah akhirnya ia berkubur akibat manipulasi penjajah, titah baginda.
Konsep ini telah dibuktikan kejayaannya di negara ini melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2006 yang boleh dijadikan rujukan untuk diterima pakai di peringkat lebih luas.
Menurut Baginda, bagi membolehkan konsep ini berjaya, idea itu perlu diangkat untuk pertimbangan di Persidangan Majlis Raja-Raja, selain mendapat sokongan ulama serta mendapatkan persefahaman di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri manakala individu yang dipilih memegang amanah nanti terdiri daripada mereka yang menghayati semangat Fisabilillah. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan