Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V T Singham membatalkan writ saman itu selepas membenarkan permohonan peguam Zulhelmi Wagiman, yang mewakili Ummi Hafilda, untuk menarik balik saman itu dengan kebebasan untuk memfailkan semula.
Singham bagaimanapun memberi amaran kepada Ummi Hafilda sekiranya beliau ingin memfailkan semula saman itu buat kali ketiga, itu adalah peluang yang terakhir untuknya berbuat demikian.
Ini adalah saman yang kedua difailkan Ummi Hafilda terhadap Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda dan Mkini Dotcom Sdn Bhd selepas saman pertamanya dibatalkan pada 13 April lepas oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof selepas peguam kedua-dua pihak tidak hadir ke mahkamah semasa kes itu disebut di hadapannya.
Ummi Hafilda mendakwa kenyataan Nor Azman itu dibuat untuk memalukannya dan berniat jahat seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal serta amat tidak jujur, selain terlibat dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengakibatkan pertuduhan liwat terhadap ketua pembangkang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan