"Jika tidak dapat dibebaskan serta-merta pun, PAS menggesa agar tahanan tanpa bicara ini dapat dihadapkan ke mahkamah serta-merta supaya mereka dapat membela diri sekiranya kerajaan mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa mereka adalah golongan pengganas," tegas ketua penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,
Katanya, amatlah dikesali kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein "yang sekali lagi mengikut langkah melawan arus seperti dalam hal menangani perhimpunan BERSIH 2.0, dengan mengumumkan tahanan ISA akan kekal ditahan sehingga dua akta baru menggantikan ISA disiapkan.
"Dua akta itu pula, mengikut kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz - hanya akan dibentangkan tahun depan dan semua ini menambahkan perit kepada ahli keluarga tahanan ISA yang menaruh harapan tinggi sejak pengumuman Najib semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seharusnya, tegas beliau, menteri dalam negeri bertindak lebih bijak dalam hal ini dengan membebaskan semua tahanan ISA secepat mungkin.
"...sebagai langkah keikhlasan dan demi membantu Najib mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa pengumuman melakukan reformasi untuk kebaikan negara bukanlah hangat-hangat tahi ayam seperti apa yang melanda siri reformasi ekonomi yang diwar-warkan beliau.
"Kita yakin terdapat puluhan lagi yang ditahan dalam kem Kamunting sekarang dengan pelbagai tuduhan yang mungkin hanya berpunca daripada sangka buruk, dendam dan politik.
"... seperti yang berlaku pada enam ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini. Najib mesti memilih antara dua pilihan ini - sama ada mereka mesti dibebaskan atau dibicarakan," tegasnya.
Di samping itu, katanya, PAS juga menuntut kerajaan memohon maaf kepada tahanan ISA yang ditahan tanpa bicara, ekoran perdana menteri mengakui terdapat kepincangan dalam akta drakonian tersebut sekiranya beliau betul-betul ikhlas dalam reformasi ini.
"Janganlah pula cepat menolak tanggungjawab untuk memohon maaf, kepada bapa-bapa negara yang lalu, kerana mereka yang menggubal akta yang zalim ini.
"Sebaliknya Najib patut mewakili bapa-bapa negara yang lalu untuk memohon maaf kepada semua tahanan ISA kerana mereka adalah daripada rumpun yang sama iaitu Barisan Nasional.
"Sebagai tanda keikhlasan juga, kerajaan tidak boleh berlepas tangan begitu sahaja kerana mangsa kekejaman ISA terus tertekan sama ada dari sudut mental, fizikal mahupun spiritual. Nama mereka mesti dibersihkan akibat akta zalim ini," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan