Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya (UM) menunjukkan sokongan ke atas Pakatan Rakyat (Pakatan) meningkat sekarang berbanding dengan kajian yang dibuat pada awal tahun ini.
Sokongan juga meningkat ke atas kerajaan Pakatan di Selangor dan juga Kedah, namun sedikit penurunan di Kelantan.
Kajian itu juga menunjukkan penurunan terhadap keyakinan rakyat bahawa BN akan terus menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum nanti.
Kajian itu dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13.
Kajian terbaru yang dibuat adalah pada 1 hingga 16 September 2012 di seluruh Semenanjung Malaysia.
Kajian sebelum ini dibuat dalam tempoh 31 Mac 2012 hingga 15 April 2012.
Bilangan responden ialah 1536. Kajian dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan etnik Melayu, etnik Cina dan etnik India.
Pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur.
Ditanya, parti mana akan menang dalam PRU-13, kajian Mac hingga April menunjukkan keyakinan kepada BN akan menang adalah 49% sedangkan kajian terbaru menunjukkan penurunan kepada 44% sahaja.
Keyakinan kepada Pakatan pula meningkat dari 21% kepada 30%.
Keyakinan kepada kerajaan Pakatan di Selangor juga meningkat dengan ketara dari 38% kepada 50% manakala untuk BN dari 28% jatuh kepada 16%.
Begitu juga di Kedah. Keyakinan kepada Pakatan naik dari 37% kepada 48% dan kepada BN turun dari 40% kepada 32%.
Namun untuk negeri Kelantan, keyakinan kepada Pakatan jatuh sedikit dari 44% kepada 41% manakala BN naik dari 27% kepada 32%.
Namun, kecondongan pengundi tetap kepada Pakatan Rakyat.
Najib jatuh merudum
Kajian itu juga mendapati, harapan rakyat amat tinggi agar berlaku perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
72% berharap supaya debat diadakan manakala hanya 17% tidak bersetuju dan 11% tidak pasti.
Menurut kajian itu, populariti Najib juga menurun dari 61% pada Mac lalu kepada 58% pada September 2012. -HD
Kajian: Jangkaan BN menang PRU13 susut
Peratusan jangkaan Barisan Nasional (BN) akan menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) merosot berbanding kedudukan awal tahun, demikian menurut hasil kajian terbaru diumumkan oleh pusat penyelidikan Universiti Malaya (UM), hari ini.
Sebaliknya, jangkaan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan mencapai misinya menguasai Putrajaya dan menggantikan BN di pusat meningkat.
Peratusan pengundi yang tidak pasti berhubung soalan yang membawa kepada jangkaan itu - "dengan andaian anda tidak memihak kepada mana-mana parti politik, parti manakah yang anda jangka akan menang di peringkat nasional dalam PRU13 dan menguasai Putrajaya", mengalami penurunan daripada 30 peratus kepada 26 peratus.
Kedudukan itu 26 peratus itu dilihat menggambarkan pendirian pengundi-pengundi atas pagar, yang akan memainkan peranan penting dalam PRU13.
Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (Umcedel) ini menunjukkan hanya 44 peratus mengatakan BN dijangka menang di peringkat nasional berbanding jangkaan 49 peratus Mac lalu. Dalam pada itu, peratusan keyakinan PR akan menang meningkat daripada 21 peratus kepada 30 peratus - satu tahap kenaikan yang besar.
Penemuam ini adalah berdasarkan kajian perbandingan yang dijalankan pada Mac-April dan September 2012. Kajian awal dijalankan antara 31 Mac dan 15 April lalu manakala yang terbaru dari 1 hingga 16 September.
Dalam pada itu, kajian yang sama menunjukkan bahawa bilangan responden yang yakin PR akan mengekalkan kuasa di Selangor meningkat besar daripada 38 peratus pada Mac kepada 50 peratus pada bulan ini.
Bagaimanapun jangkaan bahawa BN akan menang pula merosot daripada 28 peratus kepada 16 peratus. Jangkaan di kalangan responden yang tidak pasti kekal 34 peratus pada Mac dan September.
Senario yang sama ditunjukkan oleh data membabitkan Kedah.
Paras jangkaan PR akan menang di Kedah naik daripada 37 peratus kepada 48 peratus manakala di pihak BN pula menurun daripada 40 peratus kepada 32 peratus.
Jangkaan di kalangan responden tidak pasti menurun sedikit daripada 23 peratus kepada 20 peratus.
Selangor, Kedah dan Pulau Pinang dikuasai oleh PR pada Pilihan Raya Umum 2008. Pas memerintah Kelantan sejak 1990.
Kajian Mac-April menggunakan 2,282 responden manakala kajian terbaru membabitkan 1,536 responden.
Daripada 1,526 responden, seramai 1,041 melibatkan orang Melayu, Cina (385) dan India (110).
Dalam kenyataan hasil kajian yang dikeluarkan hari ini, Umcedel berkata, pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur.-SH
42 peratus Cina yakin hudud adil untuk semua
masyarakat Cina dikatakan fobia dengan cadangan pelaksanaan hudud oleh PAS, tinjauan Universiti Malaya (UM) mendapati sebanyak 42 peratus responden etnik itu percaya undang-undang Islam itu mampu menjanjikan keadilan kepada semua.
Hasil tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu juga mendapati sebanyak 26 peratus masyarakat India dan 62 peratus Melayu berkongsi pandangan sama.
"Terdapat keyakinan terhadap pelaksanaan hukum hudud dalam kalangan orang Melayu, namun masih terdapat keraguan terhadap cadangan pelaksanaannya dalam kalangan orang bukan Melayu," ringkasan kajian itu dipetik.
Dapatan mengejutkan itu dijalankan baru-baru ini melibatkan 25 peratus (385 orang) responden Melayu, sebanyak 68 peratus (1,041) Melayu dan 7 peratus (110) India.
Sebanyak 41 peratus responden masyarakat Cina pula menjawab "ya" apabila ditanya adakah perlaksanaan hudud mampu menghalang jenayah daripada berleluasa.
Bagaimanapun, sebanyak 51 peratus masyarakat itu merasakan hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana masyarakatnya yang berbilang bangsa dan agama. -mk
Muatturun Laporan Lengkap Kajian UMCEDEL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan