Penganalisis Politik Ramal Barisan Nasional Tumbang?
Facebook Bus Man
DUA bulan lalu, Najib
Altantuya minta maaf atas kesilapan-kesilapan lalu Barisan Nasional
(BN). Langkah itu tidak pernah diambil oleh mana-mana ketua BN, yang
lazimnya bertindak sebagai perdana menteri.
Semalam,
timbalannya, Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU)
sebagai penentu hidup atau mati BN.
Mesej Muhyiddin
itu ditafsir dari perspektif dan sudut masing-masing.
Ada yang
mengatakan BN bimbang, panik dan risau akan masa depannya.
Paling jelas,
kenyataan terbuka orang nombor satu dan dua semasa BN itu membawa mesej
yang jelas - BN perlu kekal berkuasa dan mahukan mandat untuk terus
mentadbir negara ini.
Mengulas kenyataan
terbaru semalam, penganalisis melahirkan pandangan yang berbelah bahagi
mengenai peluang dan masa depan BN pada PRU13.
Ada yang
mengatakan bahawa BN semakin bimbang dengan saingan sengit daripada
Pakatan Rakyat (PR) menjelang PRU13.
Ketika PR
melaungkan mahu Melangkah Ke Putrajaya , BN memberi
kenyataan-kenyataan sebaliknya.
Mesej itu dilihat
dari sudut psikologi.
Menurut
penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd
Sani, kedudukan BN semakin tergugat dengan saingan yang diberikan oleh
komponen PR dan ada kemungkinan akan berhadapan dengan kekalahan.
Beliau juga
berkata, kenyataan Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri,
memberi tanggapan PRU13 akan menentukan nasib antara BN dan PR dalam
mengemudi kerajaan pada masa akan datang.
"Saya melihat BN
akan hilang kuasa jika parti komponen tidak bersatu untuk memenangi
pilihan raya umum akan datang.
"PR memberi
saingan yang sangat sengit untuk merampas kerusi di Wilayah Persekutuan
dengan mengenal pasti calon terbaik untuk diletakkan di bahagian itu," kata
beliau ketika dihubungi lewat semalam.
Azizuddin turut
menekankan bahawa BN memerlukan kerjasama antara satu sama lain
termasuklah MIC, MCA dan Gerakan, dan bukan hanya Umno yang bekerja
keras untuk memenangi PRU13.
"Sekarang saya
melihat hanya Umno bertungkus-lumus menjalankan kempen dan giat turun
padang untuk meraih sokongan dan undi tapi parti komponen lain seperti
lepas tangan serta sangat lemah dan hampir tidak kelihatan mengadakan
kempen menghadapi PRU kali ini.
"Selain itu,
sabotaj antara ahli perikatan BN-Umno sendiri sedang berlaku dan mereka
seharusnya bersatu padu untuk memenangi PRU kali ini," katanya.
Dalam pada itu,
beliau juga menasihatkan agar BN turut memberi perhatian ke atas Sabah
dan Sarawak.
Kedua-dua negeri
itu menawarkan 56 kerusi Parlimen.
Ini kerana
katanya, jika dua negeri itu dimenangi PR bermakna kuasa pusat akan
berada dalam tangan perikatan tidak formal itu - yang dianggotai Pas,
DAP dan PKR.
Dalam temu bual
dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Setiausaha Agung PAS, Mustafa
Ali berkata pihaknya kini lebih yakin dan optimis menghadapi PRU13
bersama PR yang tersusun.
"BN tidak boleh
terlepas pandang Sabah dan Sarawak yang turut menjadi negeri jaminan
kemenangan bagi mereka, PR juga tidak perlu menang semua kerusi di sana
untuk rampas Putrajaya.
"PR semakin giat
untuk mengaut kerusi di dua negeri tersebut untuk menang dan jika BN
tidak mengambil langkah sewajarnya, tidak mustahil BN akan kalah pada
PRU kali ini," kata Azizuddin lagi.
Mengupas isu yang
sama, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berpandangan bahawa mesej
Muhyiddin menunjukkan bahawa BN sedang bekerja keras untuk memenangi
PRU13.
"BN semakin
bekerja kuat untuk hadapi pilihan raya ini kerana PRU kali ini tidak
semudah dulu.
"Jika BN kalah
pada PRU ini, sistem kerajaan juga akan turut berubah di bawah
pemerintah baru nanti," kata beliau.
Bagi penganalisis
dari Universiti Sains Malaysia, Sivamurugan Pandian, PRU13 memberi
ukuran kepada kemampuan BN untuk terus kekal berkuasa ataupun
sebaliknya.
Bagaimanapun
katanya, mesej Muhyiddin itu bukan menunjukkan kebimbangan BN sama
sekali.
Sebaliknya kata
beliau, "memberi keazaman kepada parti kompenan BN untuk terus
mempertahankan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen."
"BN juga perlu
membuat persiapan yang rapi untuk pilihan raya musim ini untuk mendapat
kedudukan yang lebih baik," katanya lagi.
Sebelum ini,
Muhyiddin juga pernah menarik perhatian dengan mengatakan bahawa PRU13
merupakan ibu kepada segala pilihan raya yang diadakan di negara ini.
Ketika ada yang
mengatakan BN semakin panik, peluang untuk perikatan yang memerintah
negara ini sejak merdeka masih belum berakhir. Kerisauan dan kebimbangan
ada pada semua parti yang bertanding - BN dan juga PR di mana satu
perikatan mahu kekalkan kuasa manakala yang satu lagi mahu
menggantikannya.
Itu matlamat
mereka.
Jika tidak apa
gunanya bertanding dana arena politik bernama PRU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan