ANAK dakwa prospektus FGVH tipu, fail injunksi
esok
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK)
mendakwa prospektus Felda Global Ventures Holdings (FGVH) "menipu"
kerana menyenaraikan tanah Felda di negeri Pakatan Rakyat sebagai aset
bagi tujuan penyenaraian di Bursa Malaysia.Presiden ANAK Mazlan Aliman berkata, negeri Pakatan khususnya Kelantan tidak pernah menyerahkan tanah untuk proses penyenaraian dan dinyatakan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri.
"Kenapa (ia) ditulis dalam prospektus ini? (FGVH) mengakui tanah itu aset dia, tapi kerajaan negeri tak bagi," kata pemimpin NGO yang dekat dengan Pakatan itu.
Mazlan yang juga ahli jawatankuasa Pusat PAS juga mendakwa, FGVH berbuat demikian bagi meyakinkan pelabur bahawa mereka mempunyai aset bagi tujuan penyenaraian.
Bercakap dalam sidang media di ibu negara petang ini, Mazlan malah mendakwa kerajaan BN di Perak dan Johor juga belum menyerahkan tanah negeri kepada Felda kerana surat tuntutan berkaitan baru dihantar pada 13 Jun.
"Baru sangat, macam mana Felda Global Ventures (boleh) masukkan dalam prospektus ini. Ini satu penipuan," katanya sambil mengangkat prospektus FGVH setebal lebih 1,000 halaman itu.
Kelantan akan diminta jadi saksi kes
Menurutnya lagi, sebanyak 18,000 hektar tanah peneroka "yang belum mendapat hak milik" di Negeri Sembilan turut dimasukkan dalam prosepktus bagi tujuan penyenaraian.
Ekoran perkara itu, Mazlan (kanan, berbaju biru muda) berkata, beberapa peneroka akan memfailkan injuksi menghalang penyenaraian FGVH susulan daripada keadaan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuantan pagi esok.
"Kita (juga) akan minta kerajaan negeri Kelantan menjadi saksi sekiranya kes ini didengari di mahkamah," tegas Mazlan yang belum mahu mendedahkan identiti pihak itu.
Sementara itu, Mazlan berkata, pihaknya juga akan meneruskan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kenyataan kontroversi "haram jadah" kepada peneroka Felda.
"Dia tak jawab. Kita akan teruskan sama malu dalam tempoh terdekat.
"(Jumlahnya) RM10 juta seorang," katanya sambil berkata lapan peneroka akan meneruskan tindakan undang-undang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan