Barisan
Nasional akui pernah tersilap guna ISA
Oleh: setisab
"Barisan
Nasional (BN) mengakui pernah menggunakan Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi 'sebab-sebab yang salah' pada
masa lalu tetapi menggesa para pengkritiknya supaya melihat ke arah masa
depan dan jangan asyik memikirkan sejarah.
Menteri di Pejabat
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata
demikian dalam sesi Dewan Rakyat semalam apabila beliau didesak berulang
kali untuk mengulas dakwaan penahanan 'berat sebelah' beberapa ahli
politik pembangkang semasa peristiwa Operasi Lalang pada 1987.
'Mengenai
insiden 1987... itu adalah insiden yang kami tidak akan ulangi.
'Tetapi,
kami mahu lihat ke depan dan tidak mahu memikirkan tentang
perkara-perkara berhubung pelaksanaan (ISA) ketika itu,' kata Datuk Seri
Mohd Nazri kepada Dewan Rakyat ketika menyimpulkan perdebatan mengenai
bacaan kedua Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah
Khas) 2012.
Menteri veteran Umno itu juga terpaksa menangkis
beberapa tuduhan yang ditujukan kepada Presiden parti itu yang juga
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu
adalah ketua Pemuda Umno apabila pihak kerajaan melancarkan serbuan ke
atas para pemimpin pembangkang pada 1987.
Mencelah, Encik Karpal
Singh, Ahli Parlimen Parti
Tindakan Demokratik (DAP) bagi Bukit Gelugor, meminta menteri itu
menjelaskan mengapa Datuk Seri
Najib tidak ditahan kerana didakwa mengeluarkan ancaman bersifat
perkauman untuk 'memandikan keris dengan darah kaum Cina'.
'Ketua
Pemuda Umno, yang hari ini adalah perdana menteri, dengan jelas
berkata, selepas menghunuskan kerisnya, bahawa keris ini harus merasakan
darah kaum Cina.
'Mengapa beliau tidak ditahan di bawah ISA?'
tanya Encik Karpal.
Ops Lalang dilancarkan pada pagi 27 Oktober 1987
untuk menghentikan demonstrasi para aktivis sosial dan ahli politik
pembangkang, dengan 106 orang ditahan di bawah ISA ketika itu."
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan