Sumber MC
Sudah lebih 54 tahun Umno memerintah negara kita ini, dan dengan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing dan kuasa ekonomi orang-orang Melayu yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.
Jadi kenapa pula Umno dan Perkasa sering melaung-laungkan yang orang-orang Melayu sering dipinggirkan. Siapakah yang sebenarnya telah meminggirkan orang-orang Melayu selama ini? Dan kenapa pula sudah lebih 54 tahun Umno memerintah dengan DEB untuk membantu masyarakat Melayu, namum sehingga ke hari ini, orang-orang Melayu pada kebanyakan masih hidup di dalam keadaan miskin dan daif? Kenapa sehingga ke hari ini, di kebanyakan perkampungan masyarakat Melayu masih tidak mempunyai kemudahan air, jalan dan elektrik di kawasan-kawasan tempat tinggal mereka?
Kenapa pula dengan adanya Umno yang mendakwa dirinya jaguh Melayu, masih terdapat orang-orang Melayu yang buta huruf, tidak dapat menyambung pendidikan mereka ke peringkat yang lebih tinggi, ekuiti pemilikan orang-orang Melayu di dalam sektor ekonomi masih jauh ketingggalan walaupun terdapat sistem kuota yang melindungi mereka? Selain daripada itu, ramai pula muda-mudi Melayu yang terjebak di dalam kancah jenayah seperti lumba haram, gejala mat rempit, penagihan dadah, ragut dan sebagainya.
Di dalam bidang politik pula, kenapa pula timbul beberapa parti politik Melayu yang bukan Umno sedangkan Umno sering mendakwa diri mereka pembela Melayu yang tulen? Jadi, adakah Umno ini benar-benar jaguh Melayu dan sejauh manakah keberkesanan Umno ini sebagai jaguh Melayu seperti yang didakwanya selama ini?
Skandal dan penyelewengan yang merugikan
Kita telah melihat, menyaksikan dan membaca pelbagai jenis skandal dan penyelewengan yang telah banyak merugikan orang-orang Melayu. Wang-wang dan peruntukan yang sepatutnya disalurkan untuk membangun dan memajukan ekonomi masyarakat Melayu sering digunapakai oleh Umno dan kroni-kroni mereka yang berkepentingan diri. Akibat daripada itu, terjadilah bermacam-macam masalah, skandal dan penyelewengan bukan setakat ratusan Ringgit tetapi menjangkau kepada berbilion Ringgit jumlahnya.
Di sini kita paparkan beberapa jenis skandal dan penyelewengan yang sememangnya telah banyak merugikan orang-orang Melayu selama ini:
1)Skandal Bank Bumiputra Malaysia Bhd yang menyebabkan kematian,
2)Penyelewengan saham di dalam Renong Bhd,
3)Penyelewengan saham dan kerugian di dalam Sime Darby Bhd,
4)Dana Felda yang hampir kosong dan boleh dikatakan telah muflis kalau bukannya suntikan dana baru oleh kementerian kewangan,
5)Pemberian permit import kenderaan mewah kepada kroni-kroni Umno,
6)Skandal komisen pembelian kapal selam Scorpene yang berakhir dengan kematian,
7)Skandal dalam PSC-Naval Dockyard yang melihat kos pembinaan kapal-kapal perang meningkat secara mendadak,
8)Kos pembinaan lapangan terbang KLIA 2 yang semakin meningkat dengan mendadak,
9)Skandal upahan kepada FBC Media bagi mempromosi imej Najib dan Rosmah dengan pujian-pujian buatan sendiri,
10)Kerugian berturut-turut Penerbangan Malaysia (MAS),
11)Kerugian berturut-turut Perusahaan Otomobil Nasional (Proton),
12)Skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang mencatatkan kehilangan berbilion Ringgit,
13)Kerugian pelaburan dalam Tabung Haji,
14)Skandal kondo-lembu dalam National Feedlot Corporation Bhd (NFC),
15)Pemberian pinjaman KWSP tanpa faedah kepada pembeli-pembeli rumah yang tidak layak mendapatkan pinjaman perumahan,
16)Pemansuhan pembayaran balik pinjaman kepada KWSP oleh kementerian kewangan.
Dan jika dijumlahkan kerugian-kerugian yang dialami hasil daripada skandal dan pelbagai bentuk penyelewengan di senarai ini, bukan sahaja berbilion Ringgit, malah, jumlah yang bilangan angka yang lebih daripada berbilion Ringgit.
Jika sekiranya jumlah wang tersebut digunakan dengan cara yang telus, cekap dan jujur, sudah tentu jumlah tersebut akan mencukupi bagi membantu dan memanfaatkan masyarakat Melayu pada keseluruhannya dalam apa jua bentuk, tidak mengira, pendidikan, ekonomi ataupun sosial.
Kontrak bumiputra dimonopoli Umno
Mengikut polisi-polisi yang ditetapkan di dalam DEB, kontrak-kontrak kerajaan hendaklah diberikan kepada kontraktor-kontraktor bumiputra yang berkebolehan dan berkelayakan mengikut kelas-kelas yang akan ditetapkan.
Akan tetapi, orang-orang Melayu biasa selama ini tidak pernah diberikan kontrak-kontrak sepertimana yang ditawarkan mengikut perlaksanaan DEB, kerana hampir kesemua jenis kontrak yang ditawarkan telah dan sedang dimonopoli oleh kroni-kroni Umno yang kebanyakan terdiri daripada kalangan ketua-ketua bahagianUmno, ketua cawangan Umno, ahli-ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan Umno, ahli-ahli majlis perbandaran, ahli-ahli JKKK, ahli-ahli parlimen serta ahli-ahli dewan undangan negeri Umno.
Oleh itu, adakah orang-orang Melayu biasa dapat menerima kontrak-kontrak kerajaan yang selama ini dimonopoli secara terus oleh para pemimpin Umno ini? Sudah tentunya tidak. Dan jikalau mereka-mereka ini inginkan kontrak daripada kerajaan, mereka dikehendaki mengisi borang untuk menjadi ahli Umno terlebih dahulu, dan kemudiannya bertanding merebut jawatan dalam parti. Kalau menang boleh mendapat habuan, tetapi kalau kalah, apa pun tak dapat.
Sementara di kalangan ketua-ketua bahagianUmno, ketua cawangan Umno, ahli-ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan Umno, ahli-ahli majlis perbandaran, ahli-ahli JKKK, ahli-ahli parlimen serta ahli-ahli dewan undangan negeri Umno ini menjadi kaya raya, maka gelaran “bumiputra” digunakan dalam umum yang kononnya ada banyak orang-orang Melayu yang telah berjaya di dalam bidang ekonomi tetapi sebenarnya hanya kroni-kroni Umno sahaja yang berjaya menjadi kaya-raya sementara orang-orang Melayu biasa masih miskin, tidak maju dan terpinggir.
Siapakah meminggirkan siapa?
Persoalan yang masih hangat didengar pada hari ini, adalah menurut Umno dan Perkasa, orang-orang Melayu sering dipinggirkan, terutamanya di negeri Pulau Pinang yang dahulunya diperintah oleh Parti Gerakan di bawah Barisan Nasional (BN), di mana bekas ketua menteri Dr Koh Tsu Koon seringkali dituduh meminggirkan masyarakat Melayu, dan apabila Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh DAP mula memerintah Pulau Pinang, ketua menteri sekarang, Lim Guan Eng pula dituduh meminggirkan masyarakat Melayu dengan pemerintahan “kejam”nya.
Kerajaan negeri Pulau Pinang dilabel oleh Umno dan Perkasa sebagai kerajaan Cina Pulau Pinang, sementara kerajaan negeri Perak (sebelum Februari 2009) dilabelkan sebagai kerajaan boneka Cina Perak, manakala kerajaan negeri Selangor sering dicapkan sebagai kerajaan pengkhianat bangsa Melayu dan bermacam-macam lagi gelaran yang berunsurkan perkauman.
Soalannya adalah siapakah yang sebenarnya meminggirkan masyarakat Melayu selama ini? Parti Gerakan yang telah memerintah Pulau Pinang bersama dengan Umno sejak dari 1969 sehingga 2008, orang-orang Melayu masih terpinggir, Umno yang memerintah negeri Perak dan Selangor sejak dari tahun 1957 hinggalah 2008, masyarakat Melayu juga masih terpinggir, Umno yang telah menjadi tunggak utama di dalam kerajaan persekutuan BN sejak daripada 1957 sehingga sekarang dan punyai kuasa yang amat meluas untuk melaksanakan pelbagai jenis pembangunan didokong penuh pula dengan DEB, tetapi orang-orang Melayu masih dipinggirkan menurut Umno dan Perkasa.
Siapakah yang memerintah negara ini dan beberapa buah negeri selama ini, sebelum wujudnya Pakatan Rakyat? PKR dan DAP yang baru sahaja mengambil-alih tampuk pemerintahan beberapa buah negeri pada tahun 2008 telahpun dituduh mengkhianati dan meminggirkan orang-orang Melayu, Umno telah memerintah lebih daripada 54 tahun, lebih lama daripada mana-mana parti di negara ini dan masyarakat Melayu masih juga terpinggir, hidup dalam keadaan daif, tercirir dalam arus pendidikan dan pembangunan.
Ya, yang telah menjadi kaya-raya, mendapat jumlah wang dan harta yang banyak hanyalah orang-orang Umno sahaja, bukannya orang-orang Melayu. Orang-orang Umnolah yang selama ini telah meminggir dan merosakkan kredibiliti masyarakat Melayu pada keseluruhannya.
Adakah Umno membela nasib orang Melayu selama ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan